Lagi satu. Aku dapati cukup sukar mendapatkan keizinan guru untuk sesekali ke tandas. Alasan yang diberi, waktu rehat sudah diperuntukkan buat murid-murid.
"Kenapa kamu tak pergi tadi?"
Masalahnya, hal biologi tubuh manusia bukanlah sesuatu yang mudah dikawal. Tiba masanya, benda yang hendak keluar... perlu keluar. Apatah lagi murid yang memang berpenyakit. Cikgu patut faham.
Sedihnya, tiada kompromi dalam bab ini meskipun darurat. Segelintir guru akan tetap berkeras melarang. Akhirnya, berlakulah insiden tumpahan 'rendang' ke lantai kelas. Sudah banyak kali aku saksikan sendiri di hadapan mata. Kasihan murid-murid yang berkenaan. Semuanya lelaki. Pengamatan ini tambah menguatkan lagi pegangan aku terhadap hipotesis yang orang perempuan tidak perlu berak. Jangan kecam aku. Aku sembilan tahun.
Apa-apa pun, aku berazam seboleh-boleh tak mahu nasib yang sama menimpa diri. Maka, penyelesaian yang aku nampak cuma satu. Jangan makan langsung sepanjang tempoh waktu sekolah. Ya,sepanjang bersekolah di SKPR aku tidak akan menjamah sebarang makanan sehingga pulang ke rumah. Mencabar yang amat kerana epok-epok yang dijual di kantin tampak menggoda. Sungguhpun perut terasa lapar, aku tetap bertahan. Sesekali terkenalah juga serangan gastrik. Apa boleh buat? Risiko terkincit tidak berbaloi. Pernah aku cuba bawa bekal gula-gula Sugus perisa anggur dalam poket sebagai ikhtiar hilangkan mengantuk. Selalunya tak sempat makan pun sebab asyik kena rembat oleh geng pembuli durjana.
YOU ARE READING
(TEASER) Budak Meja Belakang - Shah Ibrahim
Não Ficção"Catatan pengalaman penulis ini membawa kita mengimbau kembali zaman persekolahan yang pernah dilalui satu ketika dahulu. Mereka yang membesar dalam era 80-an dan 90-an pastinya akan sering kali tersenyum dan mengangguk sendirian sambil membaca buku...