#4.1 Budak Meja Belakang

271 12 2
                                    

Tahun 1990. Darjah 3 Orkid.

Sewaktu awal tahun persekolahan, ayah menghadiahkanku sebuah diari. Naskhah lebihan yang diperolehi dari tempat kerja. Perkara pertama yang aku buat adalah menandakan segala cuti sekolah pada halaman kalender dengan pen kuning jenis highlighter. Senang sikit buat menghitung hari menanti detik bahagia. Hari Sabtu serta Ahad juga aku lorekkan sekali agar bilangan hari cuti tampak lebih banyak.

Pada waktu itu, aku belum faham fungsi sebenar sebuah diari. Jadi, aku menganggapnya sebagai buku conteng bertarikh semata-mata. Bagus juga kerana sebelum itu buku-buku teks SPBT yang menjadi mangsa eksperimentasi seni aku (minta maaf, pihak sekolah). Sementara cikgu sibuk mengajar di hadapan, aku melakar watak-watak Thundercats atau Ninja Turtles dalam diari.

Selain melakar kartun, sekali-sekala aku akan menyenaraikan nama murid-murid yang aku tidak suka (dalam kalangan rakan sekelas) ke dalam diari. Terutamanya yang sering mengejek aku. Setiap nama yang tertera disertai 'markah' mengikut tahap kebencian aku terhadap mereka. Tabiat aneh yang tiba-tiba muncul entah dari mana. Langkah-langkah awal ke arah menjadi seorang psychopath barangkali. Okeylah juga. Sekurang-kurangnya, aku tidak terjebak melukis gambar kemaluan manusia hari-hari seperti segelintir murid yang lain di dalam kelas kami. Kelompok itu lebih wajar menghadiri terapi.

(TEASER) Budak Meja Belakang - Shah IbrahimWhere stories live. Discover now