#6 Malas

94 7 2
                                    

Bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia (BM), murid-murid dikehendaki menulis sinopsis sebulan sekali bagi bahan bacaan yang dipinjam daripada perpustakaan sekolah. Satu bulan, sekurang-kurangnya satu buku. Cukup tempoh, cikgu akan menyemak. Perkara pertama yang akan aku lakukan adalah segera bergegas ke perpustakaan untuk mencari buku yang sinopsisnya sudah tertera siap pada kulit belakang.

Judul, ilustrasi kulit hadapan mahupun ketebalan sesebuah buku tidak penting pada waktu itu. Objektif utama adalah menjejaki jalan pintas bagi menyelesaikan tugasan bosan yang diberi. Malang sungguh, buku-buku sebegini cukup pantas disambar. Memandangkan tubuh ini agak gedebab, akulah yang terakhir sekali sampai di perpustakaan dalam keadaan termengah-mengah. Tak sangka pula ramai dalam kalangan rakan sekelasku yang turut memasang agenda serupa.

Tambah mengecewakan, rata-rata kesemua buku yang aku capai secara rambang daripada rak perpustakaan tidak memaparkan sinopsis secara lengkap. Bagaimanakah sesebuah kisah itu berakhir? Apakah nilai-nilai murni yang dapat dipelajari? Siapakah watak-watak utama? Aduh, mengapalah maklumat-maklumat sebegini tidak disenaraikan sahaja terus secara terperinci buat kesenanganku?

Setelah memaksa diri mengharungi halaman pertama dan helaian terakhir buku yang terpaksa dipinjam, sinopsis cerita kemudiannya dikarang menggunakan daya imaginasi sendiri. Pada kenaifan aku, tidak mungkin cikgu BM sudah khatam membaca kesemua buku di perpustakaan sekolah. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Kenakalan ini kerap kali memakan diri. Maklumlah, anak murid cuba menipu guru.

Pernah sekali bagi sinopsis buku Ali Baba & 40 Orang Penyamun, aku menceritakan bagaimana gua simpanan harta hasil rompakan 40 penyamun dibawa lari oleh Kasim Baba menggunakan sebuah lori. Tanpa aku ketahui, plot filem P. Ramlee jauh tersasar daripada hikayat klasik yang sebenar. Akibatnya, puting pedih seminggu.

(TEASER) Budak Meja Belakang - Shah IbrahimWhere stories live. Discover now