SESEKALI pandangan mereka bersatu. Tangannya ligat melorek wajah polos itu di atas buku lukisan. Secangkir senyuman terbias di bibirnya melihat celoteh gadis berambut ikal itu. Inilah pemandangan yang indah buat dia hari ini. Ya, gadis itu terlalu cantik sehinggakan dia sanggup melorek wajah itu di atas bukunya. Siapa gerangannya? Entah, dia tidak tahu. Tapi saat dia baru melangkah masuk kira-kira tiga jam yang lalu, hatinya sudah diikat oleh gadis itu.
Tiba-tiba, kerusi kosong di hadapannya ditarik. Dia segera mengangkat wajahnya memandang gerangan yang datang tanpa diundang itu. Alangkah kagetnya Arjuna saat gadis yang diperhatikan itu sudah duduk berpeluk tubuh di hadapannya. Cepat-cepat dia menutup buku lukisan lalu tersenyum manis pada gadis yang berwajah kosong itu.
"Stalker?"
"Hah?"
Gadis itu mencebik geram. Dari tadi dia tak selesa apabila pemuda bertopi ini memerhatikannya dari jauh. Rasa macam 'dicabul' pun ada juga. Lantas, dia menarik kasar buku lukisan lelaki itu lalu dibeleknya sehingga ke halaman terakhir. Arjuna terpinga-pinga saat buku lukisan miliknya dirampas tanpa sempat dia menahan.
Dian tersenyum sinis. Dia geleng kepala tanda tak percaya dengan tindakan pelanggannya itu. "Kau stalker aku kan? Ni buktinya!" Tegasnya sambil mengangkat buku lukisan milik Arjuna. Giginya dikacip menahan geram. Siapa saja yang suka bila dirinya diperhatikan? Dia tidak kenal lelaki ini. Rasa gerun!
Arjuna garu belakang kepalanya lalu tersengih kelat. Dia terus mencapai buku lukisan yang dipegang oleh Dian itu. Namun, gadis itu sengaja mengeraskan buku lukisannya lalu bermulalah aksi tarik menarik. Beberapa orang pelanggan sudah terpinga-pinga melihat aksi kebudak-budakan mereka itu. Begitu juga dengan beberapa orang pekerja kafe yang sedang mengambil pesanan dan menghantar pesanan. Semuanya terkedu.
"Wei, koyaklah buku aku! Kau nak sentap sangat ni apahal? Bukannya aku cabul kau pun!" Tegas Arjuna. Berkerut dahinya bila kulit buku lukisan sedikit renyuk akibat tarikan kuat Dian itu. Boleh tahan juga kekuatan gadis ini.
"Macam mana aku tak sentap kalau kau buat aku insecure! Kau pandang aku macam nak terkam. Siap lukis muka aku pula tu. Banyak cantik muka kau!" Dian tak mengalah. Sakit hatinya bila mengingatkan Arjuna asyik memandangnya seperti seorang 'pencabul'. Sungguh, dia rasa seolah-olah kehormatan dirinya sedang diragut.
Arjuna pandang wajah Dian lagi. Mendengarkan kata-kata gadis itu membuatkan hatinya tercuit lucu. Tak semena-mena, dia ketawa kecil lalu melepaskan buku lukisannya. Nafas panjang ditarik lalu dihembuskan. Dia menongkat dagu sambil memerhatikan wajah Dian yang sudah berkerut itu. Marah-marah pun masih cantik.
"Muka aku memang cantik pun. Nanti lama-lama kalau kita gaduh macam ni mesti hati kau terpaut dengan aku, kan? Muka aku kan cantik." Dian jungkit kening kirinya mendengar kata-kata Arjuna. Dia tak mengerti. Keluhan berat terus dilepaskan.
"Dah! Aku tak nak dengar kau merepak lagi. Baik kau cakap dengan aku, apa yang kau nak sampai perhatikan aku? Aku ada hutang dengan kau ke? Ke aku dah sakitkan hati kau sampai kau renung aku macam nak terkam?" Bertalu-talu soalan dilemparkan oleh Dian. Buku lukisan Arjuna diletak di atas meja. Menyedari mereka sedang diperhatikan, Dian terus kembali berlagak tenang.
Malu memang malu! Rasa macam nak balik rumah dan berkurung dalam bilik saja.
"Aku nak gunting."
"Gunting?" Bertambah kerutan di dahi Dian tatkala lelaki itu meminta perkara diluar dugaan.
"Ya, gunting. Supaya hati aku yang dah diikat dengan cinta ni boleh terputus. Ni semua salah kau tahu. So, kau kena bertanggungjawab sebab kau dah buat aku jatuh cinta pada kau," ujar Arjuna tanpa menyembunyikan perasaannya. Sememangnya dia jenis yang berterus terang. Dia tak suka menyembunyikan perasaannya kerana kenangan silam sudah mengajarnya untuk berterus terang.
Dian terpempan. Luahan hati lelaki tak dikenali itu benar-benar boleh buat dia sakit jantung. Semudah itu ke seorang lelaki menuturkan ayat-ayat cinta buat seorang gadis? Mahu menyakiti hati seorang gadis dengan ayat-ayat manis mereka? Sudah! Dian sudah serik! Tak mungkin dia biarkan kisah lama berulang kembali.
"Kau memang nak mati eh?" ugut Dian sambil menggenggam tangannya. Mahu saja dilayangkan penumbuknya. Namun, memikirkan kafe milik abangnya ini dipenuhi dengan pelanggan, membuatkan niatnya terbantut.
Arjuna ketawa kecil dengan ugutan Dian itu. "Ganas, tapi cantik. Aku suka!" ujar Arjuna dengan nada yang teruja.
"Gila! Kau..."
"Lah... apa pula yang kau buat kali ni, Ar?" belum sempat Dian menghabiskan kata-katanya, kedengaran suara garau dari belakangnya. Serentak, Dian dan Arjuna memandang gerangan yang menegur itu. Dian sudah terkebil-kebil melihat keberadaan abangnya. Sepertinya abang dan lelaki di depannya ini kenal antara satu sama lain. Tapi siapa gerangan lelaki ini?
YOU ARE READING
LAGU BUAT DIAN
KurzgeschichtenLapan tahun mereka membawa hati yang lara setelah dikecewakan. Lapan tahun berlalu mereka ditemukan dengan ketentuan takdir apabila si sengal tiba-tiba muncul di kafe yang sering menjadi tempat persembahan si dingin. Tanpa mereka sedar, takdir yang...