Part 4: Kisah Arjuna dan Dian

76 8 8
                                    

RINTIK-RINTIK hujan yang mengalir di luar tingkap menjadi tatapannya. Dia tersenyum simpul mendengar suara hujan yang begitu tenang di halwa telinga. Mahu saja dia membuka tingkap kereta dan menikmati bau hujan namun memikirkan keberadaan si abang ada di sebelahnya dia terpaksa membatalkan niatnya. Nanti tak pasal-pasal dia dibebel oleh si abang lagi.

                "Aku nak tanya sikit boleh?" soal Taufik sambil mengawal stereng kereta. Mereka pulang ke rumah ketika itu. Si ibu sedang menunggu kepulangan anak-anaknya saat ini.

               "Pasal kawan kau?" tebak Dian. Taufik pandang wajah Dian yang masih termenung di tepi tingkap itu. Kaget. Bagaimana Dian dapat menebak soalan yang ingin diajukan kepada gadis itu?

                "Kau tak selesa ke dia ada kat kafe tu? Sebab aku tengok kau dingin sangat dengan Ar. Bila dia tegur kau... aku tengok kau macam tak suka. Kenapa? Sebab dia dah confess?" Dian kerut dahi dengan soalan si abang. Pandangannya terus dihala memandang raut wajah Taufik. Keluhan berat dilepaskan.

               "Eh, kenapa dengan kawan kau tu hah? Kalau orang tak sudi maksudnya aku memang tak sudi. Tapi yang dia beria-ia nak pikat aku tu kenapa? Meluat tahu tak!" rungut Dian sambil berpeluk tubuh. Dia mendengus kuat. Sudah sebulan lebih dia menghadap lelaki bernama Arjuna itu dan sebulan ini jugalah hidupnya tiba-tiba jadi kacau.

             Taufik tertawa kecil dengan rungutan adiknya. Tangannya hinggap di atas ubun-ubun Dian lalu diusapnya kasar. Terasa lucu melihat muncung di bibir gadis itu.

           "Aku tanya ni, bukan buat lawak!" Dian merengus lagi lalu ditepisnya tangan Taufik yang sudah mengusutkan rambutnya yang diikat tocang itu. Terasa rimas apabila rambutnya dikacau.

        "Kau nak tahu pasal Arjuna tak? Yalah, mesti kau bingung kan kenapa bedebah tu tiba-tiba muncul dalam kafe kita. Eh tak, sebetulnya kafe tu hak milik dia seorang. Dia cuma tanggungjawabkan aku untuk menjadi pengurus kafe milik dia," ujar Taufik lalu memijak pedal brek ketika mereka berhenti di hadapan lampu isyarat berwarna merah.

      "Apa kena mengena dengan aku? Tu urusan kau dengan budak tu je kan. Lagi pun aku cuma bantu kau apa yang patut je. Semua tentang budak tu tak penting dalam hidup aku," jawab Dian acuh tak acuh. Dia menjelingkan matanya ke atas.

       "Eh kau ni. Aku cepuk kang! Dengarlah dulu apa yang aku nak cakap ni... kau perlu kenal dan tahu siapa Arjuna tu. Kalau bukan sebab dia dah lama kita hidup merepat sebab arwah abah abaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan kalau bukan sebab dia jangan harap kau boleh sambung master dekat Cambridge," tegas Taufik. Mahu tak mahu dia harus kenalkan siapa Arjuna yang sebenarnya. Sungguh, dia terpempan melihat layanan Dian terhadap sahabatnya itu.

           Mendengarkan kata-kata si abang membuatkan Dian tercengang. Benar, kalau abangnya tidak bekerja sudah semestinya hidup mereka semakin susah dan jika bukan kerana biasiswa yang dimohon oleh abangnya sudah lama dia masih makan hati berulamkan jantung di bumi Malaysia ini. Melihat bekas kekasihnya dirampas oleh bekas sahabat baiknya sendiri. Dia turut terkesima setelah mengetahui Arjunalah insan yang sudah membantu keluarganya. Memberikan pekerjaan kepada si abang.

          "Arjuna bukan jenis lelaki buaya macam arwah abah mahupun bekas kekasih kau. Mungkin cara dia layan kau buat persepsi kau terhadap dia sentiasa buruk. Sebab tu kau layan dia dingin. Aku faham apa yang kau rasa Dian tapi aku juga faham apa yang Arjuna rasakan buat kau. Dia seorang yang ikhlas dalam membuat kebaikan dan dia langsung tak pernah berkira dengan kebaikan yang dia lakukan. Aku bukan nak lebih-lebihkan dia tapi ini realiti yang kau perlu tahu... untuk hapuskan persepsi buruk kau tentang dia," jelas Taufik lagi. Dari ekor mata, dia dapat melihat Dian sudah termenung. Barangkali sedang menghadam kata-katanya ini.

LAGU BUAT DIANWhere stories live. Discover now