Part 9: LUAHAN BUAT ARJUNA

56 6 0
                                    


SHAZWAN kaku apabila matanya tertancap pada Dian yang sedang menghampirinya. Senyuman tergaris di bibirnya tatkala melihat penampilan baru Dian itu. Gadis itu kelihatan polos dengan berbaju kurung biru laut dipadankan dengan tudung bawal berwarna merah jambu. Namun, ketika dia melihat wajah Dian, senyumannya mati. Wajah tegang Dian membuatkan dia bersalah dengan kesilapannya pada gadis itu dulu.

"Dian!" Ketika Dian melintasinya, Shazwan segera memanggil gadis itu. Perlahan-lahan dia kalih ke belakang. Semuanya perlu ditamatkan saat ini juga. Ya, semua persoalan yang dia tinggalkan buat Dian selama dia menyakiti hati gadis itu harus ditamatkan.

"Dian... boleh saya berbincang dengan awak?"

Dian tersenyum sinis dengan soalan Shazwan itu. Bibirnya diketap sebelum dia kalih menghadap wajah Shazwan. "Bincang? Tak ada benda yang perlu dibincangkan lagi, Shaz. Aku dah penat menunggu untuk kau jelaskan semuanya pada aku. Pada pandangan kau, perasaan aku yang kau hancurkan tu tak ubah macam sampah! Itu penjelasan yang aku faham, Shazwan," tegas Dian. Suaranya naik seoktaf. Berhadapan dengan Shazwan membuatkan dia dibakar dengan api kemarahan.

"Saya tahu saya salah. Tapi..."

"Cukup! Aku tak nak dengar apa-apa daripada kau. Di antara kita dah tak ada apa-apa dan tak ada benda yang perlu dibincangkan lagi! Lapan tahun kau sakitkan hati aku. Lapan tahun kau tinggalkan aku dengan persoalan. Apa aku ni tak cukup baik ke untuk kau? Aku ni tak layak ke nak bahagia dengan kau?"

"Dian..."

"Tunggu aku habis cakap dulu! Kau dengar sini Shazwan... kau tak payah tunjuk muka kau depan aku lagi! Aku tak nak Hani salah faham pasal kita. Kita dah berpisah dan kau dah ada kehidupan yang baru dengan Hani. Terima kasih sebab pernah bahagiakan aku." Dian segera membidas kata-kata Shazwan. Sudah cukup sudah, dia menjadi tunggul selama Shazwan menyakiti hatinya. Biar dia pula yang bersuara saat ini.

Tanpa berlengah, Dian kembali melangkah ke wad yang ditempatkan oleh Arjuna. Namun, langkahnya kembali terhenti saat lengannya dicengkam kuat oleh Shazwan. Berkerut dahi Dian saat tangan Shazwan sudah melekat di lengannya. Dia pandang sekeliling. Kelihatan beberapa orang jururawat yang menjaga kaunter sudah terkebil-kebil melihat ketegangannya dan Shazwan.

"Lepas..."

"Maafkan saya sebab menyakiti hati awak, Dian. Maafkan saya sebab ragut kepercayaan awak. Maafkan saya sebab anggap awak sampah dan patung yang tak berperasaan. Saya tahu bukan mudah untuk awak maafkan dan lupakan khilaf saya pada awak. Saya kesal sebab curang pada awak. Tapi saya akan sentiasa doakan kebahagiaan awak dengan dia," luah Shazwan. Matanya sudah bertaup dengan Dian. Dia tersenyum simpul pada gadis yang sudah tergamam dengan kata maafnya itu. Perlahan-lahan, lengan Dian dilepaskan. Tiada apa lagi yang perlu dibahaskan.

Dian kaku. Kakinya bagaikan terpasak di atas bumi. Hanya pandangannya saja yang menghantar pemergian Shazwan. Tangannya digenggam erat. Terasa beban yang menghuni hatinya terlepas saat bekas kekasihnya memohon kemaafan daripadanya. Dian hanya mengangguk. Ya, itu yang dia harapkan daripada Shazwan selama hatinya disakiti. Dia mahu Shazwan memohon sebuah kemaafan daripadanya.

"ARJUNA... bangunlah. Dah hampir dua minggu kau tidur panjang. Aku perlukan kau untuk hiburkan aku. Aku rindu perangai semenggah kau, rindu semua lagu yang kau nyanyikan untuk aku. Aku dah ada jawapan untuk lamaran kau. Kau tak nak dengar ke jawapan ni? Bukan kau dah tunggu lama ke?"

Keluhan berat terlepas dari bibir. Dian kemam bibir sambil dipandangnya wajah pucat Arjuna. Sudah seminggu dua hari lelaki itu koma selepas pembedahannya. Sungguh, Dian rindu. Rindu pada setiap telatah Arjuna yang menjengkelkan namun sering membuatkan seorang Dian Elina terhibur.

LAGU BUAT DIANWhere stories live. Discover now