BAB 1

2.1K 40 1
                                    

Kampung Semangar

AURORA mengayuh perlahan basikalnya menyusuri tanah merah. Sebatang jalan yang belum bertar. Sesekali dia membelokkan basikal ke kiri dan kanan bagi mengelak lopak-lopak air yang agak luas.

Bauan segar rumput-rumput hijau menyapa rongga hidung. Hujan lebat yang turun mencurah-curah beberapa hari di kawasan itu menyebabkan lantai bumi lembap.

Aurora yang baru pulang dari kedai runcit setelah membeli ubat nyamuk, memberhentikan basikal secara tiba-tiba. Tidak jauh di hadapan, kelihatan sebuah kereta mewah berwarna biru metalik tersadai di tengah jalan.

Si pemandu bersungguh-sungguh menekan minyak untuk melepaskan tayar kereta yang tersangkut dalam lumpur. Namun, tindakannya itu gagal membuahkan hasil.

Aurora kembali mengayuh basikal sebelum berhenti di sisi kanan kereta itu.

"Assalamualaikum." Dia memberi salam kepada pemuda yang baru saja menurunkan tingkap. Pemuda itu kelihatan gelisah melihat jam tangan.

"Waalaikumussalam."

Suara serak basah pemuda itu menampar pendengaran Aurora. Wajah lelaki berkenaan terselindung di balik kaca mata hitam juga topeng muka. Aurora yakin itu bukan orang kampungnya. Takkan orang kampung memandu kereta sport jenama Lotus Evora?

"Kereta sangkut dalam lumpur ke encik?" tanya Aurora ramah.

"Ya," jawab pemuda itu ringkas, tidak mengendahkan Aurora.

"Dah lama ya sangkut?"

"Ya."

"Emmm... Encik drive guna top gear ya?" Aurora bertanya lagi setelah diam seketika.

Dia bukanlah arif sangat soal kereta. Tapi, itu bukan bermakna dia tak pandai membaca. Membaca kan jambatan ilmu.

"Ya."

Dalam diam, Aurora bercekak pinggang. Lelaki ni pandai cakap perkataan ya saja ke? Berlagak saja gayanya?! Mentang-mentang orang bandar!

"Tukar pada lowest gear. Saya akan tolak kereta encik dari belakang."

Sombong pun sombonglah. Nak tolong orang kena ikhlas. Aurora turun dari basikal dan selamba menapak ke arah belakang kereta.

Pemuda itu terkejut besar sebelum mengeluarkan kepalanya dari tingkap. "Eh, you nak buat apa?"

Terteleng kepala Aurora mencari wajah bertutup itu. Pandai pula cakap perkataan lain? You? Podah! Masuk kampung pun nak guna I dan you ke?

"Saya nak tolong tolak kereta encik."

"Tak payah. You tu kecil aje. Mana larat nak tolak kereta I."

Berkerut-kerut dahi Aurora. Orang nak tolong pun tak boleh? Banyak sangat songehnya. Apa, dia fikir Aurora ingin calarkan boot keretanya ke?

"Belum cuba belum tahu." Aurora meletakkan kedua-dua belah tangannya di bahagian boot kereta Lotus Evora itu.

Tuan punya kereta memandangnya lama sebelum berkeputusan menerima pertolongan Aurora. Dia kembali menekan minyak.

Vroom! Vroom! Vroommm!!!

Bunyi tayar bergeser atas lumpur memecahkan keheningan jalan yang agak sunyi. Geseran itu berjaya membasahkan tubuh Aurora yang berada berdekatan dengan tayar. Habis wajah dan tubuh langsing itu dibaluti cairan coklat kemerahan.

Tayar kereta masih belum lepas!

"I dah cakap kan..."

Aurora mendengus kecil. Boleh pula pemuda itu tergelak halus saat melihat situasinya. Bukan nak minta maaf atau cakap terima kasih. Geram sungguh!

Kekasih Encik Dingin Where stories live. Discover now