BAB 4

1K 28 1
                                    

BUNYI bising yang menghiasi kelas sedari tadi, tiba-tiba lenyap dan bertukar sunyi sepi. Seseorang melangkah masuk. Semua mata terhala ke arah hadapan, kecuali Aurora yang masih ralit dengan bacaannya.

"Ice..." Tini berbisik perlahan.

"Emmm?"

"Ice..."

"Apa?"

"Cikgu..."

"Cikgu apa? Pengetua? Biarlah dia," jawab Aurora perlahan.

Masak benar dengan perangai sahabat-sahabat sekelasnya yang akan membisu jika ada para guru atau pengetua menjengah tempat mereka menuntut ilmu itu.

Aurora tidak perasan yang suaranya didengari oleh setiap telinga yang berada di dalam kelas itu. Termasuklah insan yang baru saja muncul.

"Ice!"

Aurora bangun mendadak apabila Tini menjerit kecil. Agak bengang dengan sahabatnya yang suka mengganggu.

"Bangun semua!" Aurora memberi arahan agar semua pelajar bangun. Serentak semua pelajar berdiri.

"Se... lamat pagi cikgu!" Suara Aurora memecahkan keheningan kelas.

Selaku ketua kelas tingkatan lima, dia mengucapkan selamat pagi kepada setiap guru yang memasuki kelasnya. Namun, ucapan selamat pagi yang selalu diungkapkan Aurora, langsung tak formal. Masakan tidak, Aurora menggunakan lenggok suara Ehsan, salah satu watak dalam animasi Upin dan Ipin.

Dalam animasi Upin dan Ipin itu, Ehsan selaku ketua kelas akan memberi salam berentak penuh ceria kepada guru tadikanya. Aurora memberikan salam dalam nada yang sama dengan watak animasi tersebut. Tiada seorang pun guru-guru yang mengajarnya ambil endah atau protes akan hal itu. Waktu itu, animasi Upin dan Ipin agak terkenal dalam kalangan pelajar.

Cuma... Aurora tidak perasan bahawa saat itu, salamnya dilemparkan buat insan yang baru mengenali dirinya.

"Ehem!"

Aurora yang sedari tadi menundukkan kepala terkejut saat mendengar seseorang berdeham kuat. Seolah-olah ingin menahan gelak yang ingin terburai. Dia mengangkat wajah dan memerhatikan sekeliling. Siapa pula yang berani mentertawakan salam yang diberinya?

Setahu Aurora, keseluruhan kelas itu termasuk guru-guru sudah lali dengan cara dia memberi salam. Apa yang pelik sangat sampai hendak tergelak?

Mata Aurora membulat saat terlihat susuk tubuh yang dikenali sedang berdiri tegap di hadapan kelas. Pemuda itu ralit memerhatikannya. Renungan pemuda itu seperti mahu menembusi kepala Aurora. Senyuman kecil lelaki itu buat jiwa Aurora melayang entah ke mana.

Wajah Aurora membahang tiba-tiba. Hari masih siang. Takkan dia bermimpi? Mengapa pemuda itu berada di sini? Aurora bersoal jawab sendiri sebelum mencubit belakang tapak tangannya. Ingin memastikan yang dia tidak jadi Mat Jenin. Bermimpi di siang hari!

"Aduh!" Aurora mengaduh kecil dan mengetap bibir. Sah dia tidak bermimpi!

"Selamat pagi. Kamu semua boleh duduk."

Suara gemersik itu menyapa telinga Aurora. Setelah semua pelajar duduk, Aurora masih berdiri dan pegun melihat keindahan makhluk yanh dahulu sekadar mampu dilihatnya dari jauh.

Pemuda yang selalu berpakaian santai itu menyarung sepasang pakaian formal. Kemeja lengan pendek mendedahkan lengan kekarnya. Saiz pakaian itu juga sama fit dengan tubuh sasanya. Gaya yang sangat menggoda dan seksi! Mata Aurora terbeliak menyaksikan keindahan itu.

"Hei, mangkuk ayun. Duduklah. Jangan buat malu aku..." Tini merentap tangan Aurora yang bereaksi seperti patung cendana agar kembali duduk.

"Tini... dia... dia... Dia buat apa dekat sini?" Tergagap-gagap Aurora berbisik di telinga sahabatnya itu.

Kekasih Encik Dingin Where stories live. Discover now