BAB 3

1K 20 0
                                    

SUASANA hingar-bingar dalam kelas 5 Prinsip Akaun. Saat itu, kelas lengang tanpa guru. Hanya 33 orang pelajar menjadi penghuni. Ada yang membaca komik, ada yang tidur dan selebihnya berborak tanpa menghiraukan persekitaran.

"Ice, sepupu aku kirim salam." Tini tersengih-sengih di sebelah Aurora.

"Sepupu kau yang mana satu ni?" tanya Aurora dengan dahi berkerut.

Dia menutup novel Harry Potter yang selalu menjadi peneman di masa senggang. Aurora menatap mata Tini lama. Beberapa kali sahabat baiknya itu mengatakan hal yang sama. Namun, dia tidak ambil endah atau menghiraukan salam yang diutuskan kepadanya melalui Tini.

Tini bukanlah orang lain dalam hidup Aurora. Sahabat baik sejak sekolah rendah telah dianggap seperti darah daging sendiri. Rumah gadis itu terletak tidak jauh dari rumah Aurora. Hampir keseluruhan keluarga Tini dikenali Aurora, begitu juga sebaliknya.

Aurora bingung. Sepupu Tini yang mana satu, berbaik hati untuk kirim salam kepadanya saban hari?

"Dia baru balik dari London," sambung Tini dengan mata yang penuh maksud  tersirat.

"Eh, dia pernah tengok muka aku ke? Setahu aku, aku ni tak cantik sampai ada lelaki nak berkenalan?"

"Errr... Itu aku tak pasti," tutur Tini teragak-agak. Cuba menyembunyikan sesuatu.

"Emmm... Dia asal dari London atau Jepun, aku tak kisah. Asal dari negara rambutan pun aku tak kisah. Kau tahu kan yang aku ni setia?" Aurora selamba berseloroh. Ada saja ayat merepek yang keluar dari bibirnya.

"Setia pada siapa?"

"Hero akulah!"

"Puih! Meluat sungguh aku mendengarnya." Tini membunyi seolah-olah dia meludah kegelian.

Aurora tergelak besar dan geleng-geleng kepala. Suka betul melihat reaksi meluat sahabatnya itu. Dia kembali membaca novel, enggan meneruskan perbualan sia-sia itu dengan Tini.

"Kalau aku cakap sepupu aku tu sama handsome dengan hero sungai kau tu, macam mana?" sambung Tini cuba memasang perangkap.

"Really?" Cepat sekali Aurora memberi tindak balas. Bersinar-sinar matanya memandang wajah Tini.

"Ya."

"Kalau handsome, kau kenalkanlah dengan aku."

"Mata keranjang sungguh kau ni, kan? Pantang dengar lelaki handsome, sibuk nak berkenalan. Tadi kata setia?"

"Aku cuma suka tengok saja. Berkenalan tu kalau ada peluang. Kalau tak ada, takkanlah aku nak terhegeh-hegeh? Aku setia? Aku main-main saja tu. Lagipun, tak salah kan kalau aku berkenalan dengan ramai lelaki?"

Tini mendongkol geram. Aurora bila bercakap suka sangat berbelit-belit.

"Yalah. Nanti aku kenalkan." Tini memberi kata persetujuan. Bagaimanapun perangai Aurora, dia tetap menyayangi sahabat baiknya itu.

"Eh, dengar kata ada guru baru dekat sekolah kita. Betul ke?" Aurora menukar topik perbualan.

"A'ah, aku dengar budak-budak ni bergosip. Katanya guru ganti untuk Puan Salmi."

Tini menceritakan serba sedikit khabar angin yang didengarinya daripada pelajar-pelajar lain. Puan Salmi guru subjek matematik tambahan merangkap guru kelas mereka. Puan Salmi baru saja cuti bersalin dan ada guru yang akan menggantikan posisinya untuk sementara waktu.

"Harap-harap, guru baru tu mengajar sebagus Puan Salmi."

Kurang senang Aurora saat mendengar berita pertukaran guru itu. Dia sudah biasa dengan cara Puan Salmi mengajar. Setiap guru mempunyai teknik tersendiri untuk mendidik pelajar mereka. Aurora tahu tiada apa yang boleh dilakukannya saat itu. Dia terpaksa mengikuti semua kelas guru ganti jika enggan tertinggal pelajaran.

"Ice, ada yang cakap, guru baru tu handsome gila."

"Ah, dia orang sembang saja tu. Manalah ada cikgu yang handsome macam hero aku?" Aurora menunjukkan reaksi tidak berminat.

Tini, kalau bab gosip memang nombor satu!

Sewaktu Aurora di tingkatan tiga dahulu, dia teruja setiap kali tahu akan ada guru lelaki baru yang bakal mengajar kelasnya. Namun, setelah hampir lima tahun menuntut di sekolah itu, Aurora yakin tentang satu perkara.

Guru-guru di sekolahnya tergolong dalam kategori wajah yang biasa-biasa sahaja. Tak ada seorang pun yang sekacak hero pujaan hatinya!

Kekasih Encik Dingin Where stories live. Discover now