MATANYA terpaku lama pada wajah yang kelihatan agak cengkung. Suram tanpa cahaya. Membuatkan hatinya digigit sayu.
Sudah terlalu lama rasanya wajah itu tidak ditatapnya. Kali terakhir bertemu wajah itu bercahaya. Tersenyum diulit bahagia. Dan ketika itu dia melangkah pergi tanpa kesal di hati.
Ketika itu, wanita merangkap teman baiknya berada disamping suami tercinta. Dia berpuas hati meninggalkan wanita itu di tangan lelaki yang mampu menjaga dan menyayangi Ritz.
Siapa sangka takdir begitu menduga? Lelaki yang diharapkan pergi begitu cepat. Meninggalkan sang isteri sendiri melayan lara di hati.
Tubuh yang sudah sedia kurang nampak benar susutnya. Dahinya berkerut kurang senang. Setiap langkah yang diambil wanita itu jelas tidak bermaya.
Kalau diikutkan hati mahu sahaja ditarik tubuh kurus itu ke dalam dakapannya. Memberikan bahunya untuk dijadikan tempat wanita itu berpaut. Namun dia tidak mahu menakutkan Ritz.
Ini bukan kali pertama dia cuba bertemu wanita itu sejak berita duka itu sampai ke telinganya. Kali pertama, Ritz berpura-pura tidur. Kali kedua, Ritz tiada di rumah.
Dia tahu itu sekadar alasan. Ritz enggan bertemunya. Dia tidak pasti kenapa. Pun begitu dia mampu mengagak sebabnya.
"Qush," seru Ritz memaksa kaki melangkah ke ruang tamu. Dia memasak senyum di bibir. Hambar sekali.
Hari ini dia tidak punya alasan untuk mengelak daripada lelaki itu. Dia tahu Qushri tidak akan berputus asa selagi tidak dapat menemuinya.
Entah kenapa dia rasa tidak perlu untuk mereka bertemu. Selepas bertahun-tahun tidak berhubung, rasa kekok untuk bertentang mata dengan lelaki yang pernah berada di dalam hatinya suatu ketika dahulu.
"Kau dah kurus, Ritz," komennya.
Ritz diam tidak membalas. Dia duduk di sofa bertentang dengan Qushri. Matanya menatap wajah berkumis yang jelas beriak risau. Risaukannya.
"Kenapa kau datang?" soal Ritz tanpa emosi.
Walaupun mereka tidak berhubung, dia masih tahu tentang perkembangan lelaki itu. Sesekali bertemu dengan geng lama, mereka akan bercerita tentang Qushri yang membawa diri ke Sabah.
Dia tahu hingga kini lelaki itu masih sendiri. Masih belum punya isteri. Kekasih juga tiada. Hanya fokus pada kerja.
"Kau okey?"
"Kau rasa?"
"Aku sentiasa ada untuk kau, Ritz," ucap Qushri memaknakan setiap kata.
Dia bukan cuba mengambil kesempatan. Bukan mengharap Ritz membalas rasa yang sama. Dia hanya ingin menjadi tempat Ritz berpaut. Dia mahu menjaga wanita itu sebaiknya.
Ingin disapu duka di wajah itu. Ingin diubat sakit di hati itu. Ingin membahagiakan wanita itu. Salahkah?
'Aku nak dia, Qush. Bukan kau,' bisik hatinya lirih. 'Bukan kau, Qush!'
YOU ARE READING
Bad Boy Returns
RomanceFor your info Muna tengah open preoder untuk Bad Boy Returns. Boleh wasap Muna @ 0175003365 untuk dapatkan versi cetak. Limited print tau. Lelajus wasap Muna k. . Bahagia... sampaikah ke hujung nyawa? Atau akan hadir dugaan yang memisahkan dua jiw...