Bab 3

456 37 5
                                    

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.



AZQI tersedar dari tidur saat telinganya menangkap sayup-sayup alunan ayat suci al-Quran. Tubuhnya diangkat sedikit. Terpisat-pisat matanya memandang kedudukan jam. Baru pukul 5.15 pagi.

Dari dada jam, mata Azqi beralih ke arah sesusuk tubuh di tepi bilik. Senyuman di bibir terukir nipis saat melihat seseorang sedang bersimpuh di atas sejadah. Pasti Sophea bangun tahajud tadi.

Alhamdulillah, dari hari ke hari dia boleh nampak perubahan Sophea. Sejak kali pertama kenal isterinya itu tujuh tahun lalu, dah banyak improvement pada diri Sophea.

Tak susah nak melentur wanita itu sebenarnya walaupun adakalanya sikap degil dan keras kepala susah nak dibuang. Itu pun dah buat Azqi bersyukur sangat-sangat. Sejuk saja rasa di hati.

Biarpun Sophea masih banyak yang perlu dipelajari, insya-Allah dia tak akan pernah jemu membimbing bidadari hati yang dinikahi lima tahun lalu itu. Semoga kelak dia boleh berpimpin tangan dengan Sophea di syurga.

Azqi turun dari katil. Rambutnya yang sedikit berserabai dikuak dengan jari. Dia terus bergerak ke almari untuk mengambil tuala. Tidak mahu ganggu isterinya sedang membaca al-Quran.

Bacaan Sophea terhenti di ayat 56 surah Al-Anbiya bila telinganya terdengar bunyi derapan tapak kaki. Dia menoleh ke belakang.

“Eh, abang dah bangun? Maaflah kalau Phea ganggu abang tidur.”

Azqi menggeleng. Senyuman ditarik segaris.

“Sayang tak ganggu abang pun. Kenapa tak gerak abang tadi. Boleh kita tahajud sekali.”

“Phea tengok abang lena sangat, Phea tak naklah kejut. Kesian abang tidur lambat semalam semata-mata melayan kerenah dan kehendak Phea.”

Sungguh, Sophea rasa serba salah sangat. Sampai pukul 2.00 pagi Azqi melayan permintaan dia. Dari satu lagu ke satu lagu dia suruh Azqi nyanyikan. Azqi pun ikutkan saja walau mata dah mengantuk benar.

Azqi tersenyum. Haihlah... isteri. Manalah tak buat cinta Azqi makin subur. Bukan saja baik, malah memahami juga. Sentiasa mengambil berat akan dirinya.

“Subuh pun dah nak dekat ni. Abang nak mandi dulu, nanti kita jemaah sekali ya?”

Sophea mengangguk. Senyuman diukir manis. Memang dia cukup suka kalau dapat berjemaah dengan suami tercinta. Antara petua kebahagiaan yang dia dapat di sebuah majlis ilmu, kena selalu amalkan solat berjemaah. Pengerat kasih sayang ustaz kata.

Sementara Azqi bersiap, Sophea kembali menyambung bacaaannya tadi. Dimulakan dari ayat 57 di mana bacaannya terhenti. Leka bertadabur, bacaan Sophea terhenti di ayat 89 bila air mata tak dapat lagi dibendung. Terjemahannya betul-betul menusuk perasaan.

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia merayu kepada Tuhannya dengan berkata : “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat): dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi”.

Dua tiga kali dia mengulang bacaan ayat tersebut. Sophea kenal dengan ayat berkenaan. Ia antara doa yang diamalkan setiap hari untuk mendapatkan zuriat.

Ada seorng ustazah yang memberikan potongan doa tersebut semasa dia menghadiri satu kelas agama di masjid taman perumahan mereka. Sudah dua tahun dia amalkan. Sebab itu dadanya rasa sebak.

“Sayang, kenapa ni?”

Cepat Sophea mengelap matanya yang basah. Dia kalih pandang ke arah almari pakaian. Azqi sudah pun siap mandi dan berkain pelikat.

“Tak ada apa.” Senyum dipaksa untuk menutup rasa sedih.

“Jangan tipu abang. Abang boleh nampak mata sayang tu merah. Sayang menangis kan?” Azqi menghampiri isterinya. Tanpa disuruh dia duduk sebelah Sophea.

“Sayang teringat dekat papa dengan mama ke?”

Risau juga Azqi kalau-kalau isterinya itu teringatkan Dato’ Hans dan Datin Salbiah. Mereka pun dah lebih dua bulan tak balik ke Mahligai Restu. Bukan tak mahu, cuma dia yang terlalu sibuk. Pelanggan yang menghantar kenderaan masing-masing untuk dibaiki tidak putus-putus.

Sophea geleng. “Bukan.”

“Jadi sayang menangis sebab apa?”

Sophea diam. Nafas dihela panjang. Matanya kembali dihala ke lembaran al-Quran yang terbuka di atas papan rehal.

“Phea terkesan dengan ayat ni.”

“Cuba abang tengok?”

Al-Quran yang disediakan bersama terjemahan itu diangkat dari papan rehal dan disua kepada Azqi. Apa yang disebut Sophea tadi dibacanya siap bersama terjemahan.

“Ini... doa yang ustazah bagi dulu tu kan?”

Sophea mengangguk.

“Dah dua tahun kita amalkan.”

Azqi juga mula terasa berat perasaannya. Sejujurnya memang mereka berharap. Tapi nak buat macam mana, sehingga tahun kelima usia perkahwinan masih belum tertulis rezeki cahaya mata buat mereka.

“Sayang janganlah sedih macam ni. Insya-Allah ada rezeki buat kita nanti.”

“Lima tahun kita tunggu.”

“Baru lima tahun, sayang. Orang lain ada yang lebih lama menanti. Mereka pun berusaha dan bertawakal juga.”

“Tapi kita nak kena tunggu sampai bila lagi, abang? Kadang-kadang Phea cemburu tengok perempuan dukung anak. Pimpin tangan anak mereka jalan. Seronok kan abang kalau kita ada anak sendiri.” Sayu saja pandangan Sophea.

Azqi juga sebenarnya merasai perkara yang sama. Tapi dia tak akan sama sekali tunjuk depan isterinya. Azqi tahu kalau dia juga sedih, Sophea tentu akan lebih lagi sedih.

“Sayang tahu kan kita diajar untuk bersangka baik?”

“Tentulah Phea tahu.”

“Jadi kita pun kena bersangka baik dengan Allah. Mungkin kita belum bersedia zahir dan batin. Sebab tu Allah belum kurniakan kita rezeki. Dan mungkin juga Allah masih nak kita menghabiskan masa berdua sebelum tibanya komitmen yang lebih besar.”

Sophea terdiam bagai memikirkan sesuatu. Ada betulnya juga kata-kata Azqi itu. Kenapa dia tak bersangka baik sahaja dengan Allah? Astaghfirullah... maafkan hamba-Mu ini, ya Allah.

“Insya-Allah ada rezeki untuk kita nanti. Yang penting kita sabar, doa dan terus berusaha.” Pujuk Azqi lembut.

Itu saja yang Azqi boleh buat. Nak peluk dan usap pipi Sophea, mereka ada air sembahyang.



Lelaki Seperti Dirimu [TERBIT]Where stories live. Discover now