Bab 4

387 34 1
                                    

AZQI masuk ke bilik bersama jambangan bunga yang dibelinya semasa balik dari kerja tadi. Bukan main dia sorok dari pengetahuan dan pandangan Sophea semata-mata tak mahu isterinya tahu.

Senyum ditarik lebar bila lihat Sophea ada atas katil sedang meniarap membaca majalah. Peluang yang sangat bagus ni!

Berhati-hati dia mendekat ke katil. Jambangan bunga disorok ke belakang. Dipanjatnya katil lalu duduk di sebelah Sophea yang masih meniarap.

“Sayang…” panggil Azqi perlahan.

“Hmm.” Tanpa mengalih pandangannya dari helaian majalah, Sophea membalas.

“Pandanglah sini kejap.”

“Hesy… abang nak…”

“Nah. Untuk sayang.” Belum sempat Sophea habiskan ayatnya, Azqi hulur jambangan bunga.

“Bunga apa ni?” Bukan main terkejut wanita itu melihat bunga di tangan suaminya.

“Bunga ros, sayang. Takkan tak kenal?”

“Phea tahulah ini bunga ros. Tapi untuk apa?”

“Kan anniversary kita dua hari lepas. Abang terlupa nak bagi sayang bunga. Jadi hari ni abang tebus semula.”

Senyuman di bibir Sophea melebar. Jambangan bunga tersebut diambil dan dibelek-beleknya. Kemudian dibawa ke hidung. Wangi.

“Thanks. Romantiknya suami Phea ni.” Pipi Azqi disentuh lembut.

“Baru tahu ke? Suami puan ni dah lama romantik tau.” Kening dijongket.

Sophea mencebik. Masuk bakul angkat sendiri!

“Suka tak bunga tu?”

“Mestilah suka.” Tanpa diduga dia mengucup pipi Azqi.

Azqi senyum saja. Dapat buat Sophea happy pun dah rasa sangat bahagia. Dalam Islam sendiri sudah dituntut untuk selalu membahagiakan isteri. Insya-Allah selagi nafas terhela, tak akan dia lukakan hati dan perasaan Sophea walau untuk satu detik pun.

“Phea tak kisah pun tak dapat bunga. Dapat meraikan anniversary kita setiap tahun pun dah buat Phea happy.”

“Bukannya selalu. Abang sanggup buat apa saja untuk buktikan kasih sayang dan cinta abang tak pernah pudar buat bidadari hati abang ni.” Hidung Sophea dicuit.

“Abang tak bagi bunga ni pun Phea tahu besar mana cinta abang untuk Phea.” Pun begitu Sophea tetap gembira.

“Tapi sekejap, ada satu lagi.”

Mata Sophea beralih dari jambangan bunga di tangan dan berlari ke wajah Azqi. Ada lagi?

Azqi mengeluarkan sesuatu dari poket seluar pendek paras lutut yang dipakainya. Objek kecil tersebut disua kepada isterinya.

“Teristimewa untuk isteri yang abang cinta.”

Sophea memaku pandang pada objek berwarna ungu di tangan suaminya. Kalau tak silap…

Kotak cincin!

Azqi buka penutup kotak berkenaan. Ternganga mulut Sophea tatkala isinya menjamah pandangan. Bersinar-sinar mata coklatnya bagaikan dihampar segunung emas.

“Cantiknya.”

Azqi senyum. Cincin emas berpermata ungu di atasnya itu ditarik keluar. Tangan kanan isterinya diraih sebelum cincin tadi disarung ke jari manis Sophea.

Elok, kemas saja. Tak longgar, tak ketat. Bermakna saiz jari Sophea masih sama seperti dulu. Dielus-elusnya jari mulus berkenaan sebelum dibawa ke bibir. Mengucupnya dengan lembut.

“Hadiah dari abang untuk bidadari syurga abang ni. Sebenarnya abang beli minggu lepas lagi. Tapi abang lupa letak mana. Baru petang tadi jumpa dalam laci kat bengkel.” Azqi tersengih.

Berkaca-kaca mata Sophea memandang cincin yang tersarung di jarinya. Masya-Allah, besar sungguh cinta seorang lelaki bernama Azqi Ariff ini. Setiap detik dia dibahagiakan. Terharu dia.

“Sayang suka?”

“Mestilah suka. Suka sangat-sangat.”

“Tapi abang minta maaf. Abang tak mampu belikan yang mahal-mahal. Cincin emas murah aje.”

Azqi tertawa. Tawar dan hambar nadanya. Dia cuba sembunyikan kesedihan dalam hati. Sedar masih terlalu banyak kekurangan dalam diri seorang lelaki bernama Azqi Ariff ini.

Salah satu yang dia sedang belajar adalah untuk membahagiakan hati Sophea. Azqi tahu dia tak mampu memenuhi semua keperluan dan kehendak isterinya. Dia tak mampu nak bahagiakan Sophea sepenuhnya seperti yang dibuat oleh Dato’ Hans dan Datin Salbiah.

Kalau dulu semudah petik jari Sophea akan dapat apa saja yang dimahukan. Tapi sejak hidup dengan dia, 360 darjah kehidupan Sophea berpusing. Tak semua dia dapat penuhi. Azqi sedar hakikat yang satu itu.

“Abang…” Kedua belah pipi Azqi disentuh.

“Phea tak kisah berapa pun harganya. Ini pun dah buat Phea bahagia sangat-sangat. Mahalnya sesuatu hadiah tu tak dapat dibandingkan dengan nilai cinta dan kasih sayang abang untuk Phea,”

Sebak pula Sophea rasa. Sayu hatinya. Allah itu benar-benar adil dan sentiasa mendengar doa hamba-hambaNya. Setelah kelukaan yang pernah dilalui dulu, Allah gantikan dia dengan seorang lelaki yang sangat baik seperti Azqi. Lelaki yang dirasakan hanya ada satu dalam seribu.

Senyuman Azqi semakin lebar. Dia berjanji sepenuh hati akan menjaga Sophea sebaiknya sehingga ke nafas terakhir. Seperti mana lafaz janjinya kepada Dato’ Hans lima tahun lalu, begitulah dia akan mengotakan setianya kepada Sophea.

“Sayang, jadi bidadari buat lelaki bernama Azqi Ariff sampai bila-bila ya?” Lamar Azqi tiba-tiba. Jari runcing milik sang isteri dikucup buat kali kedua.

Berkaca-kaca mata Sophea. Cukup terharu. Azqi lelaki yang begitu sempurna di matanya. Bukan itu saja, Azqi lelaki yang sentiasa menyempurnakan hidupnya.

“Abang lamar Phea?”

“Kenapa, tak boleh suami lamar isteri dia sendiri?”

Sophea menggeleng. Sengih ditarik segaris. Jelas barisan gigi yang putih kemas. Air yang masih melekat di juring mata segera disapu.

“Selalunya orang nak lamar calon isteri aje. Ini melamar yang dah sah jadi isteri. Tak pelik ke?”

“Orang tak buat, biar abang yang buat.” Diraih Sophea ke dalam pelukan.

Sophea tersenyum bahagia. Dirasakan dialah wanita paling beruntung memiliki suami seperti Azqi. Wanita bertuah yang memiliki lelaki teristimewa. Hanya dia, tiada dua!

“Abang melamar ni terima ke tak?”

“Kalau Phea kata tak?” Sengaja nak mengusik. Apa ingat Azqi saja tahu mengusik?

Pelukan Azqi terus terlerai. Dia memandang Sophea dengan muka merajuk. Merajuk tipu-tipu saja.

“Hmmm… nak buat macam mana orang tak sudi.” Tubuhnya dijauhkan sedikit dari kedudukan Sophea sambil menyilang tangan ke dada. Muncung ditarik sedepa.

“Eh, merajuk pulak dia.”

“Yalah, siapalah kita ni. Hanya insan biasa tak berharta. Rupa pun biasa-biasa aje.” Azqi buat muka sedih.

Satu tamparan Sophea selamat mendarat atas paha suaminya.

“Auch! Sakitlah sayang.”

“Buruk tau bila lelaki merajuk.”

“Yang buruk ni jugaklah cik puan tu tergila-gila kan?”

Sophea menjeling geram. “Mengada!”

“Mengada dengan isteri tak apa. Ada pahala. Kalau mengada dengan perempuan lain, tu baru namanya menempah bala.” Azqi tersengih nakal.

“Apa dia? Tak dengar. Cakap sekali lagi.”

“Dosa sayang, dosa. Abang kenal lagi dosa pahala. Tapi kalau sayang izinkan untuk abang dapat pahala berlipat kali ganda, abang on aje.” Makin galak pula Azqi mengusik.

Nafas Sophea dah mula turun naik. Memang encik suami ni nak kena tarik telinga agaknya.

“Kalau abang nak rasa Phea potong angry bird abang tu, buatlah.”

“Eh, janganlah. Nanti orang tu juga yang merana sebab dah tak dapat guna.” Azqi angkat kening sebelah siap dengan senyuman nakal.

“Abang!”

Berdekah Azqi ketawa. Geram saja Sophea dengar gelak suaminya itu.

“Gurau aje, sayang. Manalah abang berani nak kahwin lagi satu. Mana boleh abang duakan sayang abang ni. Nanti tak pasal-pasal hilang mahkota abang tu. Huishh… ngeri! Tak mahulah abang.”

“Tahu takut. Sebutlah lagi.”

“Lagipun tak ada perempuan sama macam sayang. Satu dalam sejuta.”

“Eleh, yalah tu. Satu dalam sejuta konon. Kalau Phea izinkan silap-silap satu ke mana, sejuta ke mana. Lelaki ni sama aje.” Kening diangkat. Sengaja Sophea menduga. Lelaki, mana boleh bagi can.

“Kalau dah dapat greenlight siapa nak tolak kan?” Azqi kenyit mata.

Merah muka Sophea menahan geram bila Azqi meleraikan pelukan dan berlari keluar dari bilik sambil ketawa besar. Sengaja buat orang naik angin!

Namun dalam diam senyuman Sophea tetap terukir. Dia tahu Azqi mengusik. Tak mungkin untuk lelaki itu menduakan dia dan mengkhianati cinta mereka.







Lelaki Seperti Dirimu [TERBIT]Where stories live. Discover now