Bab 6

261 22 0
                                    


TURUN saja dari kereta, Sophea terus mendongak memandang ke atas. Struktur sebuah bangunan tinggalan sejarah yang berada nun di atas bukit nampak sipi-sipi saja di bawah ini.

Kelihatan di ruang letak kenderaan sudah ada kereta dan motor yang bersusun. Bas pun ada. Maknanya ada yang tiba lebih awal dari mereka.

Sophea sendiri tak faham kenapa Azqi beria-ia sangat nak bawa dia pergi ke sini. Tidaklah jauh mana. Di Ipoh saja. Dari minggu lepas dah Azqi beritahu nak bawa dia jalan-jalan. Siap tempah hotel lagi.

Staycation. Tiga hari dua malam saja. Kata Azqi nak spent time dengan isteri tercinta. Mereka pun dah lama sangat tak jalan-jalan makan angin. Jadi Sophea pun ikutkan sajalah. Tentulah dia suka. Dah suami ajak jalan-jalan kan, siapa saja yang tak mahu.

Selepas mereka tiba di hotel penginapan malam tadi, Azqi ada beritahu lokasi pertama yang akan mereka pergi hari ini adalah sebuah bangunan tinggalan sejarah. Mulanya Sophea terujalah juga. Tapi sebaik saja sampai terus keterujaannya lentur.

Dalam banyak-banyak lokasi di Malaysia ini, kenapalah bangunan tinggal begini tempat pertama yang Azqi pilih. Macam tak ada tempat lain nak pergi. Apa yang menarik pun tak tahulah.

“Dah, jom kita naik atas.”

Azqi menghampiri selepas membayar harga tiket. Tangan Sophea diraih dan mereka sama-sama naik ke atas jambatan untuk menyeberangi Sungai Raya untuk ke tempat yang mereka mahu pergi.

“Sebelum tu cuba abang cakap apa yang menariknya kat sini?” soal Sophea selepas mereka melepasi sebuah jambatan pendek.

Azqi menggeleng kepala bersama senyuman kecil. Malas dia nak terangkan apa-apa kerana dia yakin sebaik saja tiba atas bukit nanti pasti Sophea tak akan henti-henti memuji.

“Sampai atas nanti baru abang cerita. Jom.” Azqi mendahului naik ke tangga.

Beberapa minit memanjat tangga akhirnya mereka tiba di puncak bukit. Bangunan istana lama tinggalan keluarga Smith tersergam megah di depan mata. Menjadi saksi kepada bumi hijau Batu Gajah bahawa masih ada bangunan yang tinggal dari sisa-sisa sejarah silam.

Sophea tercengang. Kagum seketika dia dibuatnya. Walaupun tak ada apa yang menarik di situ selain sebuah bangunan lama ditemani hutan yang menghijau, namun ketenangannya cukup terasa. Angin dingin yang menyapa seolah menyambut mesra ketibaan mereka di situ.

“Masha-Allah… rasa rilek aje kat atas ni rupanya."

Kan Azqi dah kata tadi. Pasti Sophea akan memuji. Dia tersenyum sendiri melihat isterinya dah mendepakan tangan sambil memejam mata menikmati desiran angin.

Cuaca pula sangat baik pagi itu, menambahkan lagi rasa tenang dan damai buat sesiapa saja yang gemar menikmati keindahan alam semula jadi.

“Jom kita masuk dalam.”

Sophea hanya mengikut langkah Azqi menuju ke arah pintu masuk Kellie’s Castle. Seram sejuk juga Sophea jadinya. Maklumlah, bangunan lama. Pasti ada kisahnya yang tersendiri.

Sepanjang langkah, Sophea tak lepas-lepas memerhati struktur bangunan berkenaan. Permukaan dinding bangunan yang agak usang dan berlumut sebahagiannya itu jelas menunjukkan yang ia dah terlalu lama ditinggalkan.

Mungkin puluhan tahun, dan tak mustahil juga mencecah sehingga ratusan tahun.

Sebaik saja masuk ke dalam Kellie’s Castle, mereka dipaparkan dengan ruang yang sangat luas. Ada sudut informasi disediakan sebagai maklumat kepada sesiapa saja yang ingin tahu bagaimana boleh tertubuhnya bangunan tinggalan sejarah tersebut.

“Sayang, kalau nak tahu Kellas House ni mula dibina pada tahun 1905. Pemiliknya seorang peladang getah terkemuka di Tanah Melayu yang berasal dari Scotland. Namanya William Kellie Smith. Reka bentuk bangunan ni mengikut sebuah istana Moghul di bandar Agra, India,” cerita Azqi serba sedikit.

“Kenapa reka bentuknya kena ikut istana Moghul? Abang kata tadi dia dari Scotland kan? Macam jauh sangat kaitannya Scotland dengan India tu.” Sophea mula berminat.

Azqi mengangkat bahu. Dia berjalan ke satu sudut.

“Abang pun tak pasti. William saja yang tahu jawapannya. Tapi abang ada terbaca katanya William ni terlalu taksub dengan agama Hindu dan kebudayaan India. Sebab tu dia bina Kellas House ni mengikut ciri-ciri orang Madras. Bahan-bahan binaan pun diimport dari India. Bukan tu aje, pekerja buruh pun didatangkan khas dari India sana.”

Sophea mula kagum. Matanya menjelajah satu per satu ruang yang ada di situ. Walaupun bangunannya dah terlalu lama, namun pengunjungnya tak putus-putus. Ramai rakyat tempatan dari pelbagai pelosok negeri datang untuk menyaksikan sendiri satu tinggalan silam.

Pelancong asing juga tak kurang ramainya. Malah masing-masing sedang sibuk membidik gambar di setiap sudut untuk disimpan sebagai momen berharga.

“Untuk info tambahan, nama sebenar William tak ada Kellie pun sebenarnya. Kellie tu pangkal nama ibu William. Kerana sayang dia sanggup tukarkan namanya kepada William Kellie Smith.”

Sophea mengalih pandangannya ke wajah suami yang begitu tampan di matanya itu.

“Sayang betul William dengan ibu dia sampai sanggup tukar nama dia sendiri. Dan namakan pula istana ni dengan nama ibu dia.”

“Itulah kasih sayang seorang anak terhadap ibunya. Hubungan darah tu tak dapat dipisahkan sampai bila-bila.” Penuh makna kata-kata Azqi.

Sophea tersenyum kecil. Sekarang dia dah faham kenapa Azqi bawa dia ke sini. Mungkin jika dilihat dari luaran tak ada apa yang istimewa pun di Kellie’s Castle ini.

Tapi jika difahami sejarahnya, pasti setiap orang akan kagum dengan cerita di sebalik pembinaannya. Tentang kasih sayang yang tidak ternilai. Tentang cinta dan pengorbanan.

“Kellie’s tu Phea faham diambil dari nama pemiliknya. Tapi kenapa ada yang panggil Kellas House? Who’s Kellas? William wife?” Sophea cuba mengorek lebih informasi.

Azqi geleng.

“Kellas tu nama sebuah perkampungan di timur laut Scotland. Tempat di mana William Smith ni berasal.”

“Oh… jadi Kellas tu sempena nama kampung dialah?”

Azqi mengangguk lagi.

“Kalau sayang nak tahu William ni bukan calang-calang orang. Dia salah seorang pengusaha ladang getah yang sangat berjaya kat Batu Gajah ni pada masa dia hidup. Sebab tu dia mampu bina bangunan yang macam istana ni.”

“Tapi kenapa Phea tengok banyak bahagian yang macam tak siap?” Matanya terhala ke satu bahagian rumah.

“Memang tak sempat siap pun, sayang. Pemiliknya dah ‘pergi’ dulu sebelum Kellie’s Castle ni sempat dibina sepenuhnya. Tak silap abang dia meninggal kat Lisbon. Tahun 1926 macam tu.”

Wajah Sophea bertukar sayu. Tiba-tiba saja dia merasai kesedihan yang dilalui keluarga Kellie. Terutama isteri dan anak-anaknya.

“Sedihnya. William tu meninggal sebab apa?”

“Sakit. Dia terkena flu. Tapi abang lupa pulak nama flu tu apa. Ramai pekerja binaan yang terinfeksi, termasuklah William sendiri. Sebab tu pembinaan istana ni terhenti macam tu aje.”

“Kesian pun ada. Kenapa tak ada family yang take over dan teruskan pembinaan castle ni? Sayang sangat bangunan yang gah macam ni terbiar.” Sophea semakin berminat untuk tahu.

“Wallahualam. Tapi adalah dengar cerita yang isteri William ni tak biasa dengan sosio budaya masyarakat Tanah Melayu dan kembali ke negara asal dia selepas suaminya meninggal. Sekali dengan anak-anaknya.”

“Mesti isteri dia pun berat nak tinggalkan tempat ni sebab banyak kenangan bersama suami dia.”

Azqi tak membalas. Dia hanya melepaskan nafas panjang. Dia juga turut merasai kesakitan yang pernah dilalui keluarga pemilik bangunan ini. Bukan senang untuk lepaskan sesuatu yang sangat kita sayang.

“Habis, apa yang berlaku terhadap keluarga William ni lepas isterinya pulang semula negara asal dia? Ada tak dia kembali ke sini?”

“Abang pun tak pasti. Khabar terakhir keluarga William, salah seorang anaknya dah kahwin dan ada anak. Cucu Williamlah kiranya. Lepas tu kisah keluarga William lenyap. Sampai sekarang tak ada siapa yang tahu.”

Hati Sophea semakin dirundung sebak. Dia terbayangkan nasib yang terpaksa dilalui isteri William. Tentu berat untuk menerima pemergian seorang suami.

Dan Sophea turut membayangkan betapa sebuah bangunan lama yang gah berdiri suatu ketika dahulu diselubungi dengan kesedihan. Sampailah akhirnya ia terbiar sepi dan dibuka kepada pengunjung kurang lebih seratus tahun selepas itu. Tentu banyak kenangan di sini.

🍁🍁🍁🍁


SELEPAS menjelajah dan pusing-pusing di tingkat bawah, Azqi mengajak isterinya untuk naik ke tingkat dua pula. Kellie’s Castle ini mempunya tiga tingkat semuanya dengan ruang yang sangat luas. Ada beberapa buah bilik di tingkat dua ini.

“Sayang percaya tak kalau abang kata bangunan ni dibuat langsung tak menggunakan paku, besi dan jentera berat?”

Sophea tercengang. Betul ke apa yang Azqi beritahu ni? Takkan tanpa paku dan besi boleh bertahan begitu lama sampai ratusan tahun?

“Ya ke? Tipulah.”

“Betullah. Apa pulak yang tipunya. Dinding-dinding bangunan pun sepenuhnya menggunakan campuran putih telur itik, kapur, gula merah, madu dan pasir. Tak ada guna simen.”

Dari hujung balkoni, Azqi bergerak mendekati isterinya yang ralit memandang pemandangan di luar.

“Yalah, zaman dulu mana ada simen lagi. Teknologi pun belum berkembang maju,” terang Azqi sambil matanya juga ikut memandang kehijauan yang terhampar.

Sophea semakin teruja mahu tahu kisah selanjutnya di sebalik pembinaan sebuah tinggalan sejarah ini. Dia kalau bab-bab sejarah ni memang dia sangat berminat.

Tapi kenapa selama ini dia tak pernah tahu pun dengan kewujudan Kellie’s Castle ini? Mungkin tak berapa menjadi perbualan sebagai lokasi wajib dikunjungi.

Lagipun hanya bangunan lama saja yang menjadi sajian kepada pengunjung. Bagi yang sukakan tempat untuk membeli-belah dan lokasi strategik, tempat ini bukanlah pilihannya.

“Guna bahan semula jadi pun boleh tahan sampai begitu lama?”

“Itulah bijaknya orang zaman dulu-dulu. Tak terjangkau dek akal kita.” Azqi memeluk bahu Sophea dan mereka sama-sama menikmati kehijauan alam.

“Tak sangka kat sini boleh rasa tenang.”
Azqi mendekatkan bibirnya ke telinga Sophea.

“Kalau sayang nak tahu, rumah ni pun termasuk dalam salah satu lokasi berhantu. Haunted house. Ada orang kata pernah ternampak Kellie kat balkoni ni,” bisik Azqi bersama senyuman nakal.

Sophea tersentak. Bulat matanya. Meremang pula bulu roma. Dah kenapa pula suaminya beritahu benda ini sekarang? Kenapa tidak sebelum masuk tadi? Kan dia dah rasa seram sejuk.

“Isy! Jomlah turun, bang.”

“Tingkat tiga tak naik lagi dah ajak turun. Sabarlah. Bukan selalu dapat pergi sini.”

“Dah abang tu sebut yang bukan-bukan. Buatnya betul-betul muncul macam mana? Kan Phea dah rasa lain macam.”

Sophea melingas pandangannya ke hujung balkoni yang berakhir dengan sebuah dinding. Balkoni tersebut agak panjang juga. Semakin dipandang, semakin dia dapat rasakan bahawa bangunan ini sudah terlalu lama ditinggalkan dan ada aura misterinya tersendiri.

“Pommm!” Azqi buat bunyi letupan menggunakan mulutnya sendiri.

“Argghhhh!” Sophea laju menekup telinga. Matanya dipejamkan rapat. Terkejut dengan bunyi letupan yang menghentam telinganya.

Terburai ketawa Azqi melihat reaksi spontan isterinya. Sampai bergegar-gegar bahu.

Sophea buka semula mata. Tangan dijatuhkan ke bawah. Mencerlung pandangannya ke wajah Azqi. Memang nak kena cubit encik suami ni tau!

“Buatlah lagi. Nanti hantu tu kacau abang baru tahu.”

“Orang kata jangan celupar sangat, nanti dia muncul betul-betul. Abang tak tahu…”

Azqi melepaskan tangannya yang diletakkan atas bahu Sophea. Dia berjalan meninggalkan balkoni. Sengaja nak buat isterinya ketakutan.

Sophea menoleh ke kiri dan kanan. Liurnya diteguk. Cepat-cepat dia berlari mendapatkan suaminya yang dah sepuluh langkah ke depan.

Seram pula dia bersendirian di situ walaupun di setiap penjuru ada pengunjung lain yang sedang berbual dan bergambar.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Oct 13, 2021 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Lelaki Seperti Dirimu [TERBIT]Where stories live. Discover now