KELUAR saja dari kereta, Azqi bergerak ke pejabat kecilnya yang terletak di sebelah kanan bengkel. Bungkusan nasi yang dibelinya tadi dibawa bersama.
Sengaja dia tapau untuk makan sekali dengan Farhan. Nak ajak Farhan makan tadi bengkel tak ada orang pula. Budak bertiga itu pula awal-awal dah keluar. Jadi dia beli sajalah.
Farhan merupakan salah seorang pekerja di bengkel Azqi. Selain hubungan antara bos dan pekerja, Farhan itu sebenarnya sahabat baik Azqi sejak di bangku sekolah rendah lagi.
Azqi sendiri yang ambil Farhan bekerja dengannya. Bukan apa, dia kasihan dengan nasib Farhan ketika itu. Susah nak mendapatkan kerja baru setelah tempat kerja lamanya terlibat dengan kebakaran. Disebabkan tak dapat menampung gaji pekerja, ramai yang diberhentikan termasuklah Farhan.
Macam-macam kerja yang Farhan cari dan buat, tapi semuanya tak dapat dan ada juga yang tak bertahan lama dek gaji yang terlalu kecil. Jadi Azqi pun mengajak Farhan untuk kerja di bengkelnya.
Walaupun gaji yang ditawarkan tidaklah sebesar mana, tapi insya-Allah cukup untuk Farhan menanggung keluarganya. Dia pun bukan kaya mana nak bantu Farhan dengan wang ringgit, jadi dia bantu dengan memberikan peluang pekerjaan buat sahabat baiknya itu.
Farhan pula berkali-kali berterima kasih dengan Azqi yang sanggup menolongnya saat dia hampir putus asa dengan beban hidup. Sekarang sudah lebih lima tahun Farhan menjadi kuli di bengkel kereta milik Azqi.
Selain Farhan, ada tiga orang lagi pemuda yang Azqi ambil bekerja dengannya. Ketiga-tiganya masih muda dan tidak bernasib baik dengan keputusan SPM. Tapi Azqi boleh nampak ada potensi dan kemahiran dalam diri pemuda-pemuda tersebut. Hasilnya tak sampai setahun, ketiga-tiganya sudah mahir dengan kerja-kerja mereka.
Sudah boleh menghadap pelbagai jenis kenderaan tanpa mengharapkan bantuan Azqi lagi. Kecuali ketika betul-betul memerlukan untuk Azqi campur tangan.
“An! Stop dulu. Mari makan.” Azqi melaung rakannya yang masih berada di luar.
“Sekejap lagi aku masuk,” sambut Farhan yang sedang membongkok di depan bonet sebuah kereta menyudahkan kerjanya.
Azqi menolak pintu pejabatnya lalu masuk. Taklah besar mana saiznya. Tapi bolehlah untuk memuatkan sebuah meja, tiga biji kerusi, almari yang terisi pelbagai jenis komponen dalaman kereta dan hiasan-hiasan yang lain. Beberapa jenis minyak hitam pun ada.
Bungkusan nasi tadi diletak atas meja. Satu untuk dia, satu lagi nasi yang Farhan pesan. Azqi mengeluarkan tumbler yang dibekalkan oleh Sophea pagi tadi. Sudah sejuk agaknya air teh yang Sophea bekalkan. Tapi tak kisahlah, dia tetap akan minum. Dia tahu Sophea sudah susah payah buatkan untuknya.
Dari meja Azqi bergerak ke singki kecil di sebelah rak yang menempatkan botol-botol minyak hitam. Tangannya dicuci bersih.
“Ada tak gulai lemak daging salai yang aku pesan tadi?” Farhan masuk sambil mengelap tangannya yang mungkin sudah dibersihkan di paip luar.
“Ada. Puas aku cari. Alhamdulillah rezeki kau, An.”
“Terima kasihlah, Qi. Susah-susah kau mencari. Kan aku dah kata kalau tak ada kau beli ajelah gulai lemak apa-apa pun. Asalkan masak lemak jadilah.”
Beg berisi pakaian ganti yang diletakkan di atas sebuah meja diambil. Beg itu memang sentiasa dibawa setiap hari. Senang nak tukar bila keluar makan memandangkan baju yang dipakai sudah kotor kena minyak hitam.
“Untuk kau usahkan cari gulai lemak daging salai, kena panjat gunung berapi pun aku sanggup.”
“Sweetnya kawan aku ni. Ni yang buat aku makin sayang kau ni. Meh sini aku nak kiss sikit.”
Farhan mendekatkan mukanya ke wajah Azqi. Bibir Farhan sudah memuncung dan bersiap sedia untuk menghadiahkan satu kucupan buat si bos merangkap teman sejati.
“Woii, apa ni. Gelilah!” Pantas Azqi menolak muka Farhan yang cuba nak mencium pipinya.
Berdekah Farhan ketawa. Dia kalau dengan Azqi memang suka bergurau kasar begini. Nama pun sahabat baik kan? Kalau tak gurau kasar bukan BFFlah namanya tu.
“Eleh, kalau dengan bini kau lebih dari ni pun takpe kan?” giat Farhan.
“Bini lain. Kau tu lain. Dengan binilah best sikit. Dengan kau nak buat apa!”
“Ah, sial kau Qi.” Farhan sudah tayang penumbuk.
Berdekah mereka ketawa.
Selesai menukar pakaiannya yang terkena minyak hitam, Farhan menyusul Azqi yang sudah pun duduk di meja. Tumbler berisi air teh yang Azqi bawa dari rumah diminumnya tanpa minta izin terlebih dahulu. Aci redah saja. Dah biasa.
“Ya Allah... harumnya bau.” Terangkat selera Farhan sebaik plastik berisi masak lemak daging salai dibuka. Semerbak barum baunya.
“Kau nak? Banyak ni.”
“Kau makanlah. Aku pun dah ada ni ha.” Azqi angkat sedikit sebungkus kecil gulai lemak daging salai. Memang sengaja dia bungkus asing tadi.
Selesai membaca doa, Azqi dan Farhan sama-sama mulakan suapan. Dah lapar-lapar ni memang nikmat sungguhlah saat makanan masuk ke mulut.
“Aku peliklah, An.” Azqi bersuara setelah nasinya tinggal separuh.
“Pelik apasal pulak?”
“Aku tengok seminggu dua ni keinginan makan kau lain macam betul.”
“Lain yang macam mana?”
“Dah macam perempuan mengandung. Mengidam nak itu ini.”
Hampir tersedak Farhan dibuatnya. Lelaki itu lekas-lekas membuka botol minumannya yang dibawa dari rumah. Air kosong diteguk dengan rakus. Kemudian Farhan berdeham.
“Tak adalah. Pandangan kau aje kut."
“Aku cakap benda betul. Minggu lepas kau tanya mana nak cari orang jual lemang kukus. Rabu hari tu pulak kau pesan beef lasagne dengan Foodpanda yang aku yakin kau bukan penggemar western food. Hari ni masak lemak daging salai pulak. Tak pelik ke?”
“Alah, apa nak hairan. Kita ni ada masa-masa tekak teringin jugak nak makan itu ini.”
“Jangan-jangan wife kau...” Azqi membentuk lingkungan dari bawah dada sehingga ke bawah perut sebagai lakaran menggambarkan perut wanita hamil.
“Kalau betul pun apa salahnya. Aku aminkan aje. Rezeki Allah nak bagi.” Tenang Farhan membalas bagaikan tidak terkejut dengan tekaan Azqi.
“Bukan Nadia baru bersalin awal tahun hari tu?” Kening Azqi terangkat.
“Biasalah, Qi. Macam tak faham-faham pulak.” Farhan tersengih.
Azqi juga ikut ketawa. Beruntungnya seorang Farhan. Belum pun sampai tujuh tahun usia perkahwinan, lelaki itu sudah dikurniakan tiga cahaya mata.
Kalau isteri Farhan ‘berisi’ lagi, bermakna ini anak keempat rakannya itu. Murah rezeki Farhan. Dia pun ada juga keinginan. Tapi dia tahu Allah itu sebaik-baik perancang. Dia berdoa moga satu hari nanti ada rezeki untuk dia dan Sophea.
“Kenapa kau diam?”
Azqi pantas menggeleng. Dia cepat-cepat meneguk air teh yang hanya tinggal suku.
“Tak ada apa. Dah siap makan kan?”
“Dah.” Farhan masukkan bekas makanan yang sudah kosong ke dalam tong sampah di tepi meja.
“Kereta kat luar tu tuan dia ada cakap nak ambil bila?” Azqi menyoal dari arah singki untuk mencuci tangannya.
“Katanya Jumaat ni.”
“Ada masalah tak kau nak siapkan?”
Selaku pemilik bengkel dan bos di situ, sudah menjadi rutin Azqi untuk sentiasa menanyakan perkembangan pekerja-pekerjanya. Dia tak mahu pekerja-pekerjanya tertekan dan tidak selesa.
“Insya-Allah tak ada masalah.”
Azqi mengangguk setelah menerima jawapan dari Farhan.
Baru saja nak keluar dari pejabat kecil Azqi, mata Farhan terpandang kalendar di atas meja. Sebenarnya dari minggu lepas dia perasan bulatan merah yang ditandakan.
“Tanda merah tu bilangan hari kau period ke apa, Qi?” seloroh Farhan.
“Kepala hotak kau!”
Berdekah Farhan gelak.
“Dua hari bulan tu kan anniversary aku dengan Sophea. Baru aje lepas.”
“Yang tu aku tahu. Yang hujung bulan tu kenapa ada tanda merah? Dari 24 sampai 27 hari bulan.”
“Aku nak pergi berbulan madu dengan Sophea.”
Terus Farhan tak jadi nak keluar untuk sambung kerjanya.
“Berbulan madu?” Jelas Farhan sedikit terkejut.
“Kenapa, salah ke aku nak pergi berbulan madu dengan isteri aku?”
“Aku tak kata pun salah. Cuma aku rasa pelik aje. Bukan dulu kau dah pernah pergi berbulan madu dekat Bali?”
Azqi duduk semula di atas kerusi. Dia mengambil kalendar di tengah meja lalu dibelek. Senyumannya terlukis segaris.
“Memanglah pernah. Tapi itu dengan tajaan dari papa mentua aku. Bukan guna duit aku seratus peratus. Jadi sengaja aku tukarkan konsep bercuti tu kepada berbulan madu sebab aku nak tebus bulan madu yang dulu. Aku nak bawa Sophea keliling Malaysia dengan duit aku sendiri. Bukan atas tajaan sesiapa walau keluarga sendiri.”
Sekarang barulah Farhan faham.
“Aku salute dengan pendirian kau, Qi. Kau tak pernah nak ambil kesempatan atas kesenangan keluarga mentua kau.”
Azqi tarik nafas lalu dilepaskan perlahan-lahan. Belakang badannya disandar selesa. Dia membuka galeri telefon. Foto dia dan Sophea terpampang sebagai background. Diambil hujung tahun lepas ketika mereka berada di kampung emaknya di Pahang.
“Aku mungkin tak kaya macam family dia. Tapi sebagai suami aku akan pastikan Sophea bahagia atas usaha aku sendiri. Aku pernah berjanji dengan mama dia dulu yang aku tak akan lukakan anak dia. Jadi aku kena buktikan yang aku mampu bahagiakan Sophea walau dengan cara yang sederhana.”
Farhan menepuk bahu rakannya itu. Dia faham sebenarnya berat ujian yang Azqi kena tanggung. Bukan mudah menjadi menantu kepada keluarga berstatus. Lagi-lagi bila Azqi itu anak orang kampung saja.
“Aku doakan moga masalah kau dengan mama mentua kau tu tak berpanjangan.”
Azqi tersenyum tawar. Kalaulah doa Farhan itu termakbul dalam masa yang cepat. Namun Azqi tahu, dia perlu percaya dengan Yang Maha Berkuasa.
Sesungguhnya Allah yang memegang hati setiap manusia. Jika Dia berkehendak, bila-bila saja hati manusia boleh berubah.
“Thanks, An.”
YOU ARE READING
Lelaki Seperti Dirimu [TERBIT]
Romance"Sayang... it's been a long time since we met each other. Banyak perkara yang dah berubah, tapi cinta abang untuk sayang akan tetap utuh sampai bila-bila. Sayang adalah hadiah paling berharga yang Allah berikan untuk abang." - Azqi Bagi seorang Azqi...