Bab 8

1.4K 26 0
                                    

"Maaflah kalau soalan saya ni awak anggap macam busybody. Tapi saya... Saya terpaksa juga tanya. Saya tanya sebab saya ambil berat."

Aisya berjalan di belakang. Naim pula berjalan di hadapan. Mereka berdua tidak berjalan beriringan. Tembok besar dibina. Masing-masing masih kelu untuk memulakan kata. Aisya yang sememangnya jarang berkomunikasi dengan lelaki sangat kekok untuk memulakan perbualan. Naim pula yang entah kenapa disampuk segan, membisu dari tadi.

Hanya Aina yang banyak bercakap. Pot pet pot pet mulut budak tu berbunyi.

"Along! Popular!" Aina berlari ke arah pintu masuk kedai buku yang sangat kena dengan namanya. Kedai Buku Popular. Kalau singgah ke AEON Mall Shah Alam, memang Popular akan menjadi serbuan wajib Aina. Aisya yang kurang minat membaca hanya mengikut dan mengeluarkan duit. Jarang dia membeli bahan bacaan di sana.

"Awak suka baca buku genre apa? Novel? Macam Aina tu? Hantu novel betul dia, kan?" Akhirnya Naim melontarkan 'mata kail'. Harap-harap Aisya termakanlah umpannya.

"Saya suka baca buku pelbagai genre. Tak spesifik sangat." Dengan agak kepayahan, Aisya terpaksa juga membuka mulut menjawab soalan Naim. Mereka masih berjarak. Aisya berdiri di hadapan lambakan buku keagamaan dan Naim pula berdiri di hadapan rak buku-buku terbitan luar negara. Dua rak menjadi pemisah.

Aduh, ringkasnya jawapan dia. Dalam hati Naim dah mengeluh kecewa. Kecewa sebab 'umpan'nya dah terlepas. Okey, kena pancing lagi. Pancing perbualan dengan si gadis pemalu bernama Aisya Farhana ini.

"Maaflah kalau soalan saya ni awak anggap macam busybody. Tapi saya... Saya terpaksa juga tanya. Saya tanya sebab saya ambil berat."

Dahi Aisya berkerut. Apa maksud Naim ni?

"Kenapa awak boleh pengsan hari tu? Awak... Awak sakit ke? Demam?"

Mata Aisya terus tertala pada wajah Naim. Buat sesaat, mereka berpadu pandangan.

Aisya segera melarikan anak matanya. Dia menunduk. Soalan Naim terasa amat sukar untuk dijawabnya. Dia belum cukup bersedia untuk berkongsi masalahnya dengan lelaki yang baru dikenalinya ini. Tapi kalau dia tak jawab, apa pula kata Naim nanti? Aisya mula berada dalam tekanan.

"Erm... Saya... Saya sakit kepala sangat hari tu. Tu yang pengsan," jawab Aisya setelah beberapa detik membisu.

Naim angguk. Tangannya membelek-belek kosong buku Inggeris yang diambilnya dari rak.

"Awak memang selalu sakit kepala ke? Ada migraine?" Naim giat bertanya.

Aisya mula tak selesa. Matanya tercari-cari kelibat Aina. Aina ni mesti sengaja tinggalkan dia dengan Naim. Nak kenenkanlah konon. Ingat ni macam kisah dalam novel ke? Perempuan dengan lelaki jumpa terus jatuh cinta. Lepas tu kahwin. Tak semudah itulah.

"Kejap, ya? Saya nak cari adik." Aisya bijak menyelamatkan diri sendiri. Dia mengundur diri dan mencari jasad Aina di sebalik rak-rak buku.

Usai Aisya pergi, Naim menghembus nafas kuat.

"Fuh!" Peluh dingin pada dahinya diseka dengan tapak tangan.

Apa pasal dengan aku ni? Nak nervous bagai dengan Aisya. Naim... Kau jangan cakap kau setuju dengan cadangan abah dan Puan Murni tu. Kau... Kau dah ubah fikiran kau?

"Boleh ke aku rawat dia dan sembuhkan dia? Mahu ke dia benarkan aku untuk lakukan semua tu?" Naim berkata-kata seorang diri. Dia berpaling mencari batang tubuh Aisya. Melihat Aisya sedang giat memiat telinga Aina dan membebel sakan pada adiknya itu, tawa kecil muncul di bibir Naim.

Namun tawa itu muncul hanya seketika. Kerana dia cukup tahu di sebalik wajah ceria Aisya itu terpalit dengan seribu satu cerita lara dan derita.

Melihat Aisya Farhana secara lebih dekat dan mengenali serba sedikit tentang wanita itu membuatkan hati Naim terasa mahu bersetuju sahaja dengan permintaan penuh pengharapan dari abah dan Puan Murni, mama Aisya.

TETAP DALAM JIWAWhere stories live. Discover now