Bab 2

2.4K 37 3
                                    

"Alhamdulillah. Tak ada 'sesiapa' yang muncul, sayang. Along masih tetap along."

"Mama?" Sebaik saja dia mencelikkan mata, wajah mama kesayangan terpapar di depan mata. Aisya pandang lama wajah mamanya. Terselit sama segunung perasaan bersalah terhadap wanita tua itu.

"Alhamdulillah, along dah sedar." Puan Murni mengucup penuh kasih dahi si anak. Ubun-ubun Aisya dibelai-belai manja.

"Along pengsan lagi ke, ma?" Soalan itu disoal dengan nada kepayahan. Aisya sedaya upaya menahan air matanya daripada mengalir. Argh! Ternyata dia tewas lagi.

Hanya satu anggukan yang Aisya terima daripada Puan Murni. Wanita awal 60-an itu cuba menghadiahkan senyuman terindah untuk anaknya. Moga-moga dengan senyuman itu anak gadisnya tidak terlalu bersedih dan kesal dengan apa yang sudah terjadi.

"Adik mana, ma? Dia... Dia mesti dah balik dari hostel, kan? Mana dia sekarang? Dia merajuk tak dengan along? Dia marah along tak sebab tak siapkan kek yang dia nak tu?"

Bertubi-tubi persoalan muncul dari mulut Aisya. Tak tertahan lagi, air matanya merembes jua ke pipi. Saat ini hanya Tuhan saja yang tahu betapa dia sangat kecewa dengan dirinya sendiri. Kau lembik, Aisya! Kau lembik! Kau tetap tak berjaya lawan sakit kau!

"Along memang tak boleh diharap kan, ma? Along kakak yang tak berguna..."

"Ya Allah, along! Apa yang along cakap ni? Tak baik along keluarkan kata-kata macam tu." Puan Murni bukan berniat hendak memarahi anaknya. Cuma kata-kata Aisya cukup tidak menyenangi hatinya. Tiada sesiapa yang menginginkan semua ini terjadi.

Tubuh Aisya didakap dengan lembut. Dibelai-belai belakang Aisya penuh rasa sayang.

"Ini semua ujian untuk kita, along. Ujian untuk menguji sejauh mana kesabaran kita. Ujian yang hendak menguji sejauh mana keimanan kita menerima qadak dan qadar-Nya."

Makin laju air mata Aisya luruh mendengar kata-kata dari mamanya itu. Hatinya semakin sebak. Pelukannya dikemaskan. Erat.

Mama... Kalaulah along seorang diri hadapi semua ni, along tak yakin along mampu bertahan, ma. Terima kasih sebab selalu berada di sisi along. Suara hatinya berbisik.

"Ma..." Pelukan kedua-dua mereka terpisah.

"Ya, sayang." Puan Murni menyeka air mata si anak.

"Ada sesiapa yang 'muncul' ke?" Penuh erti soalan itu ditanyakan.

Puan Murni yang cukup faham akan maksud sebenar anaknya, hanya menggeleng seraya menghadiahkan sekuntum senyuman.

"Alhamdulillah. Tak ada 'sesiapa' yang muncul, sayang. Along masih tetap along," jawab Puan Murni penuh makna.

Aisya menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dia tidak menambah kerisauan dalam dada mamanya.

Sesungguhnya penyakit yang dihidapi olehnya ini tersangat aneh. Pada mulanya Aisya terlalu sukar untuk menerima hakikat bahawa dia dikurniakan oleh Allah S.W.T dengan penyakit ini. Penyakit yang menyapa dirinya semenjak dia berusia lapan tahun lagi. Kini usianya sudah menjangkau 27 tahun. Diam tak diam, sudah hampir 20 tahun penyakit ini membelenggu dirinya. Pada usia lapan tahun, doktor telah mengenal pasti Aisya Farhana menghidap penyakit yang diberi nama split personality (personaliti berpecah) atau juga dikenali sebagai dissociative identity disorder (kecelaruan identiti berpisah).

Ya, itulah hakikat yang harus Aisya tanggung pada usianya yang masih terlalu mentah.

Terlalu banyak yang harus dirungkaikan. Dan terlalu banyak juga yang Aisya masih tak faham tentang penyakit jiwa yang dihadapi olehnya ini. Sungguh setiap kali dia memikirkan tentang penyakitnya ini, hanya kekecewaan yang akan menghuni hatinya.

TETAP DALAM JIWAWhere stories live. Discover now