"Jangan kau berani sentuh aku. Tangan kau sangat jijik dan kotor, Dr. Naim!"
Seminggu kemudian...
"DonAt Karamel ada lagi ke, dik?" Belum pun sampai betul-betul di hadapan gerai Aisya, Nura Alia terus bertanya dengan tidak sabar. Matanya melilau-lilau mencari kelibat kuih kegemarannya itu.
"Alamak, dah habislah, Kak Lia. Sorry sangat-sangat." Dengan wajah bersalah, Aisya memohon maaf.
Wajah Nura Alia terus dilanda kesuraman. Perutnya yang sudah membuyung diusap-usap sedih.
"Dah habis? Serius ke dah habis, dik?" Ditilik satu per satu bekas kuih yang tersusun kemas atas di meja. Wajah bulat lagi gebu si Donat Karamel sudah tidak lagi kelihatan.
"Kak Lia customer tetap Aisya kut. Hari-hari Kak Lia singgah sini. Hmmm... Kempunan nak merasa donat karamel hari ni." Dengan selamba, Nura Alia melabuhkan duduk di atas kerusi plastik. Wajah sugulnya terus terpamer.
"Maaf, kak. Lain kali Aisya akan simpan untuk Kak Lia. Aisya janji!" Bagi memujuk hati si pelanggan tetapnya itu, Aisya cuba menghulurkan kuih seri muka kepada Nura Alia.
Sepanjang setahun lebih dia dan mamanya meniaga di hadapan rumah mereka ini, Nura Alia dan suaminya, Syed Azwan sudah menjadi pelanggan tetap mereka berdua. Boleh dikatakan setiap hari perempuan yang cukup peramah itu datang membeli kuih di gerainya. Rumah Nura Alia dengan kawasan perumahan ni tak jauh mana.
"Sedap juga kuih ni, dik. Resipi baru ke? Eh, dekat atas ni keladi ke?" Kuih seri muka yang dihulurkan kepadanya dimakan dengan cukup penghayatan. Sedapnya! Yummy!
"Ini resipi baru mama, kak. Kuih Seri Muka Keladi." Aisya tersengih. Dia mengucap syukur kerana rajuk Nura Alia tidak berpanjangan lama. Kalau tidak, mahu dia rasa sedih. Bukan saja dia akan kehilangan pelanggan tetap bahkan dia akan kehilangan seorang kenalan yang peramah seperti Nura Alia a.k.a Kakak.
"Sayang? Makan apa tu? Macam sedap aje. Nak sikit." Syed Azwan muncul di situ setelah memarkirkan kereta tidak jauh dari situ. Dipimpin kemas tangan anak sulung mereka, Syed Riezqi.
"Boboy tak boleh makan kuih ni. Kuih ni hanya untuk wanita cantik seperti Lia yang ingin menambah keserian wajahnya. Syed Boboy sila makan kuih bakar aje. Bako bako bako. Hahaha..." Nura Alia tergelak kuat.
Syed Azwan yang geram disakat oleh isterinya pantas mencubit hidung mancung Nura Alia. Terus terdiam mak buyung tu.
Aisya dan Syed Riezqi hanya menjadi pemerhati kepada kedua-dua mereka.
"Kak Aisya, nak nasi ni. Laparlah." Rengekan dari Syed Riezqi yang berusia lima tahun itu menerbitkan senyuman di bibir Aisya. Pantas dicapai nasi lemak kegemaran anak kecil itu.
"Adik nak berapa bungkus?"
"Satu aje, dik." Nura Alia bersuara.
"Eh, satu mana cukup. Bagi dua, Aisya. Kesian anak papa ni." Syed Azwan usap kepala anaknya penuh kasih.
Nura Alia dah menjeling. Syed Azwan tayang muka selamba.
Aisya tergelak kecil melihat telatah kedua-dua pasangan suami isteri ini. Bahagianya hidup Kak Lia dan Abang Wan. Moga-moga kebahagiaan yang sama dapat Aisya kecapi suatu hari nanti. Kebahagiaan bersama insan tersayang.
Dalam bingit Boboy dan Kakak bergaduh memilih kuih yang hendak dibeli, mata Aisya sesekali menjeling ke kiri dan kanan jalan. Kelibat seseorang ditunggu-tunggu sedari tadi. Sejujurnya sudah hampir seminggu dia ternanti-nanti kehadiran seseorang.
Hampir seminggu dia menanti kehadiran si dia.
Ah... Naim tak pernah berjanji pun nak datang. Akukah yang salah kerana terlalu menaruh harapan?
YOU ARE READING
TETAP DALAM JIWA
General FictionTajuk: Tetap Dalam Jiwa Penulis: Farisha Imani Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-2102-27-4 Muka Surat : 576 Harga: RM24.00 (Semenanjung) // RM27.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Karyaseni Bila memang harus berpisah, aku akan tetap setia. Bila memang...