Bab 12

1K 23 0
                                    

"Jomlah mak cik kita karaoke. Bibah tak boleh tidurlah. Mata ni macam kena sendal dengan batang kayu!"

Jam sudah berdetik ke angka satu pagi. Puan Murni yang terbangun awal dari nyenyak tidurnya terasa ingin meneguk air bagi membasahkan tekak. Sebaik saja keluar dari bilik, telinga Puan Murni menangkap bunyi bising di tingkat bawah. Segera dia melihat apa yang sedang berlaku di ruang tamu itu.

"Along? Tak tidur lagi ke tu?" Lampu di ruang tamu dihidupkan.

"Astaghfirullahalazim!" Dada diurut laju saat matanya menjamah imej muka Aisya yang sudah berlumur dengan bedak putih.

"Along buat apa malam-malam ni? Kenapa belum tidur?" Kaca televisyen yang terpasang nyanyian karaoke dari kumpulan Spring dijelingnya sekilas. Alat kawalan jauh diambil lalu diperlahankan volum TV.

Along tak suka berjaga lewat malam macam ni. Dia juga tak suka layan lagu 90-an macam ni. Atau ini bukan along tapi... Hati Puan Murni sudah berkira-kira.

Diamati pakaian yang tersarung pada tubuh Aisya. Setelah dikenal pasti cara pemakaian gadis itu, Puan Murni hanya mampu menghela nafas panjang. Jadi benarlah yang berada di hadapannya sekarang bukan Aisya Farhana tetapi salah seorang alter daripada lima bersaudara itu.

"Jomlah mak cik, kita karaoke. Bibah tak boleh tidurlah. Mata ni macam kena sendal dengan batang kayu!"

Bibah Bebel.

Karakter yang berusia 20 tahun. Suka memakai baju kurung dipadankan dengan seluar trek. Sangat gemar berbedak sejuk pada malam hari. Seorang yang sangat suka membebel dan bercakap. Kumpulan nyanyian akhir 80-an dan awal 90-an menjadi kegilaannya. Sangat gemar berkaraoke. Set karaoke di rumah ini pun Bibah Bebel yang beli. Beli dengan duit Puan Murni sebetulnya.

Awal pertemuan Puan Murni dengan karakter ini adalah kira-kira 15 tahun yang lalu. Pada usia Aisya Farhana 13 tahun, wujud alter keempat ini.

Bibah Bebel akan muncul setiap kali Aisya ingin menghiburkan hatinya. Oleh kerana karakter sebenar Aisya Farhana suka memendam perasaan, maka watak Bibah Bebel dicipta untuk melepaskan semua yang terbuku dalam hati. Sebab tu Bibah Bebel sangat suka membebel dan tak makan saman.

"Bibah rupa-rupanya. Mak cik ingatkan siapa tadi," ujar Puan Murni seraya duduk di sebelah Bibah. Dia hanya mampu tersenyum nipis melihat jasad Aisya yang sudah dikuasai oleh personaliti yang lain. Andai ditanya pada Aisya esok apa yang sudah terjadi pada malam ini sudah pasti gadis itu tidak mengingati apa-apa. Aisya seakan-akan mengalami amnesia. Watak Bibah Bebel yang wujud ini tidak melekat dalam kotak memorinya.

"Mak cik tak ada beli CD lain ke? Kan Bibah dah pesan hari tu, belilah CD kumpulan lain pula. Kumpulan Wings ke, Spin ke, String ke. Ha, apa tu yang terbaru VE ke Ruffedge ke. Ini asyik-asyik Spring dengan Umbrella. Bosanlah!"

Puan Murni tersengih sumbing. Dia dah start dah.

"Nanti mak cik suruh anak mak cik pergi beli. Bibah tulislah senarai kumpulan yang Bibah nak."

Bibah mengangguk setuju. Diselongkar laci kaca di hadapannya. Mencari pen dan kertas.

"Hisy, payahlah nak tulis-tulis ni. Biar Bibah sendirilah yang pergi beli. Senang Bibah pilih yang mana satu Bibah berkenan. Lepas tu bolehlah Bibah pergi beli lolipop kegemaran Bibah sekali," ujar Bibah bersungguh-sungguh.

Puan Murni menggaru kepala. Haru jadinya kalau dia biarkan Bibah keluar dari rumah ni. Pernah beberapa kali Bibah keluar tanpa pengetahuannya. Sudahnya, ada lori dari kilang eletronik datang membawa satu set karaoke. Mahu tak mahu, terpaksa juga Puan Murni menerimanya kerana bayaran sudah diselesaikan oleh Bibah. Bibah ni licik. Dia dah bawa siap-siap duit tunai yang diambilnya dari bilik Puan Murni.

TETAP DALAM JIWAWhere stories live. Discover now