BAB 1

361 16 2
                                    

MAK UDA SOM naik ke permatang sambil mengesat peluh di dahi dan muka. Hujan renyai tidak sedikit pun mendinginkannya. Dari celah titis hujan, ada cahaya matahari mencuri, cuba menyinari kembali. Dari jauh dia nampak Iman melambai-lambai ke arahnya. Iman kelihatan tersenyum dari jauh. Gadis itu menjinjit bakul. Biasanya hanya berisi botol air. Dia sendiri melarang Iman membawanya makanan. Tidak senang dia mahu makan dalam keadaan berselut lumpur begitu.

Hujan seakan tidak menjadi saat di ufuk ada sinar matahari kian galak di balik awan. Angin petang yang sembab bertiup lembut membuatkan selendang yang dipakai Iman terliang-liuk.

"Naiklah mak!" jerit Iman yang sudah duduk di dangau. Kakinya dijuntaikan sambil menanti Mak Uda Som hampir dengannya.

"Ada hal yang mustahak ke?" Mak Uda Som kehairanan.

"Mustahak sangat sampai Iman dah tak boleh nak tunggu mak balik." getus Iman membuatkan Mak Uda Som terus menanti kata-kata selanjutnya dari bibir anak gadisnya. Dari riak wajah Iman yang cemas itu, hatinya turut terbuai cemas.Walaupun kebiasaannya Iman hanya main-main tapi sekali ini wajah itu benar-benar serius.

"Apa yang mustahak sangat?"

"Boyfriend Iman nak masuk meminang. Dia hantar rombongan malam ni!"

"Malam ni? Kenapa tak tunggu esok saja?" Mak Uda Som terperanjat.

"Dia cakap dia nak terus nikah dengan Iman, malam ni jugak!"

"Apa gila sangat plan macam tu?"

"Dia datang dari US mak. Omputeh. Kira bersyukurlah ada orang nakkan Iman. Mak tak nak ke anak mak ni kahwin? Nanti jangan salahkan Iman kalau Iman tak kahwin sampai tua." Iman seperti mengugut sedang Mak Uda Som masih terkebil-kebil tidak percaya.

"Dia cakap kalau Iman tak terima dia malam ni, kapal terbang dia akan patah balik."

Mak Uda Som terdiam sebentar, meneliti kata-kata Iman. Lain benar bunyinya.

"Naik kapal terbang peribadi ke boleh main u-turn gitu-gitu je?" soal Mak Uda Som. Iman mengangguk bersungguh. "Dia orang kaya mak. Dia anak raja. Turun dari gunung Kalimanjaro"

"Iman dah start merepek ni!" cepat Mak Uda Som memukul peha Iman yang sudahpun ketawa. Reda ketawanya dia kembali bersuara, "Mak lah, suka sangat tanya bila nak kahwin. Iman ni boyfriend pun takde, macamana nak kahwin."

"Iman yang jual mahal. Anak Pak Daud Kedai tu bukan tak handsome, baik pulak tu. Tak nak jadi menantu Pak Daud Kedai, Haji Yasser dah risik-risik tanyakan Iman untuk anak buahnya yang duduk di Jeddah."

"Dahlah mak. Asal bukak citer kahwin, panjang lebar mak nak mengomel. Daud Kedai lah, Pak Mat Pasarayalah, entah siapa-siapa lagi. Semua tu tak penting mak. Yang ini lebih penting. Cuba mak tengok ni!"

Iman menghulurkan bekas berisi bubur pulut hitam yang diambil dari dalam bakul yang dibawa.

"Apa ni?"

"Iman masak bubur tapi tak ada sesiapa nak rasa sedap ke tidak jadi Iman datanglah sini, nak bagi mak rasa." Iman bersungguh. Penutup bekas itu dibuka. Dia menyudu bubur itu lalu menyua ke mulut Mak Uda Som.

"Cubalah rasa. Sedap ni. Iman dah masak macam mana mak ajar dulu. Rasanya silap haribulan lebih sedap dari mak masak tau!"

Mak Uda Som menerima suapan Iman dan Iman hanya memerhati dengan mata berbinar. Tak sabar menanti reaksi dari emaknya.

"Sedapkan? Iman dah pandai masak. Setakat bubur, kan Iman dah kata silap hari bulan mak pun kalah!" Iman bersuara sambil ketawa kecil.

"Masin sangat. Tak manis." Mak Uda Som mengulas. Hanya sesudu dia menyuap ke mulut, bekas itu diberi kembali kepada Iman. Iman hanya menjungkit bahu dengan bibir yang mencebik.

SEDETIK LARAWhere stories live. Discover now