BAB 3

236 14 3
                                    

"KAU dengar tak apa aku cakap?" Hana separuh menjerit. Geramnya hati, di hujung talian sana Iman acuh tak acuh melayan panggilannya.

Iman ralit memerhatikan Mak Uda Som dan Mak Long Safiah yang sedang berborak di pangkin. Matanya turut memandang sekilas pada pemuda yang duduk di sisi Mak Long Safiah. Wajah pemuda itu tidak dapat dilihat dengan jelas kerana terlindung di sebalik juntaian daun pokok jambu yang rendang itu.

"Hoi Iman!"

"Jangan menjeritlah. Aku dengar. Err, apa kau cakap tadi?"

"Kau tu berkhayal aje tahu. Ni hah, si Nash, dia cari kau!" beritahu Hana. Iman tersentak bila mendengar nama Nashrul.

"Kau bagitahu dia aku kat sini?" Iman cemas.

"Tak tapi aku rasa dia tahu kampung kau kat mana. Dia ada minta alamat asal kau dari Encik Yazid."

"Aduh, kau tolonglah cover aku kali ni. Aku mengaku sekali ni memang kami ada masalah dan masalah kali ni memang tak boleh blah. Aku nak break up dengan dia dan kalau boleh aku tak nak jumpa dia lagi. Kali ni bukan acah-acah. Betul-betul putus."

"Lepas tu sampai bila kau nak menyorok macam ni. Korang kan dah tua, selesai la cara elok sikit."

"Tak boleh selesai. Jalan mudah untuk aku cuma menghilang je. Lain jalan takde. Kalau ada pun jalan buntu. Jalan mati atau paling tepat jalan menuju kehancuran."

"Boleh kau cerita benda sebenar kat aku? Dah berapa kali korang berdua buat drama hindustan. Kejap ok, kejap gaduh. Bila dah ok, lepas tu perang balik."

"Kali ni tak ada masa nak shooting drama bagai. Kali ni memang betul-betul perang dan memang aku kena move on. Nanti jelah aku cerita dengan kau." Iman mahu segera menamatkan perbualan tentang Nashrul. Ada sesuatu yang memberat di relung rasanya saat bercakap mengenai lelaki itu.

"So aku tunggu hot story kau ye. Jumpa bila kau balik KL nanti. Bye!!"

Talian diputuskan. Iman tinggal termanggu di atas tangga itu, melepas pandangan kosong dengan resah yang mula menjalar di hati.

Nashrul!

Dia memang jangka lelaki itu akan mencarinya. Setiap kali dia menghilang lelaki itu tidak akan begitu mudah melepaskannya.

"I sayang you. You mesti tahu tu."

Dia teringat kata-kata lelaki itu setiap kali Nashrul memujuknya selepas berselisih faham. Itu saja modal Nashrul untuk memujuknya dan hatinya sering tewas. Nashrul terlalu teguh bertakhta di hatinya.

Iman menyimpan telefon bimbitnya. Hanya keluhan berat dilepaskan. Perlahan-lahan dia bangun. Kemudian dia duduk pula di muka pintu, merenung langit yang membiru. Fikirannya masih memusat pada Nashrul. Lelaki itu bukan sehari dua dikenalinya. Hampir tujuh tahun mereka menjalinkan hubungan. Pada Iman, dia pasti hubungan itu bukan sekadar sahabat. Ia lebih daripada itu kerana setiap kali kali bertemu, ucapan rindu dan sayang tak pernah lekang dari bibir lelaki itu dan dia sendiri mengakui dia tidak dapat lari dari merasa takut andai kehilangan Nashrul.

"Iman!"

Iman terkejut. Dia menjengahkan kepala.

"Nak ke mana pulak mak?"

"Nak ke bendang. Nak cari buah teratai kat tali air. Farieth nak datang makan tengah hari di sini."

"Iman nak ikut!" Iman segera menuruni tangga.

Sudah lama dia tidak memetik teratai. Dulu, ketika zaman kanak-kanaknya, selalu juga dia ke tali air yang di penuhi teratai dan telupuk. Di situ dia akan menguis daun teratai untuk mencapai tompok buahnya. Belum pun sempat dia menarik buah teratai, Abang Farieth yang datang permatang akan menolaknya. Bila melihat dia terkapai-kapai di dalam air kerana tidak tahu berenang, barulah Abang Farieth berhenti ketawa dan menghulurkan tangan. Bersusah payah, tubuh gemuknya ditarik dari tali air.

SEDETIK LARAWhere stories live. Discover now