BAB 7

170 9 3
                                    

"DATO' Mustafa ingin bercakap dengan tuan." suara Lina kedengaran melalui interkom.

"Sambungkan."

Lina di luar mengikut arahan. Sebentar kemudian, suara Dato' Mustafa kedengaran.

"Farieth busy?"

"Boleh tahan. Banyak nak diselesaikan by today. Ada apa pa?"

Di hujung talian Dato' Mustafa ketawa. Dua tiga hari kebelakangan ini dia tak sempat bersua dengan Farieth. Farieth keluar awal pagi dan lewat malam baru anaknya itu balik.

"Mama rindu kamu!"

"Jangan bergurau papa. Mama bersarapan dengan Farieth pagi tadi. Tiba-tiba papa call ni, tentu ada perkara mustahak. Ada nak minta Farieth jumpa Tan Sri mana pulak ni?" Farieth menangkap rancangan papa untuk menemukannya seseorang bagi urusan perniagaan. Biasanya, papa akan mengajaknya bermain golf atau menghabiskan petang di mana-mana coffee house.

"Tengku Shariman. Ingat lagi Tengku Shariman Tengku Mokhtar? Salah seorang pemegang saham terbesar dalam syarikat kita."

"Keluar main golf dengan Tengku?"

Di hujung talian masih terdengar ketawa kecil Dato' Mustafa.

"Papa bercadang untuk itu tapi mama kamu membantah. Tengku Khairiah tentulah menyokong mama kamu. Jadi kami putuskan untuk dinner saja malam ni."

"Papa sebenarnya nak cakap urusan business atau nak kenalkan Farieth dengan siapa pulak ni? Tengku ada anak dara ke?" perli Farieth. Di hujung talian Dato' Mustaffa ketawa kecil. Pertemuan itu sebagai satu hubungan perniagaan dan pada Farieth, tak mustahil pertemuan yang bakal terjadi itu diatur mama dan papanya begitu teliti agar dia dipertemukan dengan perempuan yang bakal dijodohkan dengannya.

"Hmm, mestilah ada. Cantik budaknya."

"Farieth busy. Lainkali sajalah Farieth join." Farieth memberi alasan. Dia kalau boleh tidak mahu bersemuka dengan mana-mana perempuan kerana dia belum bersedia untuk membuka hatinya untuk kembali bercinta.

"Dah berapa kali Farieth bagi alasan. Malam ni no excuse." putus Dato' Mustafa. Talian dimatikan. Farieth hanya mampu terhenyak di kerusi, dengan fikiran bercelaru. Permintaan papa dan mamanya sekali ini bakal berentetan. Bukan setakat dinner ini sahaja, tentu ada rancangan lebih dari itu yang telah mereka siapkan buat dirinya.

Farieth mengeluh. Jika dia punya calon lain, tentu sahaja dia boleh mengelak dari dijodohkan dengan entah siapa-siapa!

SELESAI solat, Farieth berehat seketika. Dia kemudiannya bingkas bila teringat janjinya untuk menyertai makan malam bersama Tengku Shariman.

"Encik Farieth, Dato' telefon." Kak Syam memanggil ketika Farieth sudah meniti anak tangga menuju ke bawah.

"Bagitahu dia, dalam masa lima belas minit saya sampai di sana!" Farieth telah pun melepasi pintu utama terus melangkah ke arah keretanya. Dia memandu ke Hotel Sheraton. Berjalan dalam keadaan tergesa-gesa itu menyebabkan dia merempuh seseorang wanita yang juga tergesa-gesa menuju ke arah lif.

"Sorry." getusnya kerana menyedari dia yang merempuh wanita itu. Wanita itu berpaling dengan wajah yang agak marah namun bertukar menjadi ceria dengan tiba-tiba.

"Farieth!"

Wanita berambut lurus melepasi bahu itu separuh menjerit. Farieth sedikit tergamam. Wajah manis itu segera menerpa di minda, memutarkan kembali ingatan, musim-musim indah yang dilewatikan bersama di Manhanttan.

SEDETIK LARAWhere stories live. Discover now