BAB 4

155 10 1
                                    


IMAN keluar dari perut teksi dan melambai-lambai ke arah Hana yang menunggunya di hadapan Gloria Jeans Coffee. Hana terkocoh-kocoh datang membawa payung untuk temannya itu.

"Hish, menyusahkan orang. Aku dah kata beli saja kereta sendiri. Ini kan dah susah. Nak kena aku jemput dengan payung bagai!" rungut Hana. Hujan yang lebat membuatkannya menarik lengan Iman tergesa-gesa agar dapat berteduh terus.

"Aku pulak dipaksa tunggu di luar kafe. Hujan kau tahu tak? Tempias!"

Bebelan Hana masih kedengaran ketika mereka sudah pun masuk ke kafe itu. Payung yang kembang di kuncupkan lalu mereka berjalan ke meja di satu sudut.

"Siapa suruh kau tunggu di luar. Masuk ajelah."

"Nanti kau tak nampak aku!" balas Hana. Dia memilin rambutnya yang basah sedikit.

Iman tersengih.

"Kaulah yang salah. Kitakan boleh cakap di rumah sahaja. Kenapa nak sibuk jumpa di sini?"

"Ini mustahak, tak boleh tunggu!" ujar Hana. Iman mencebik. Semuanya bagi Hana mustahak. Rambutnya basah terkena hujan pun dikira mustahak. Boleh dijadikan isu.

"Pasal apa?"

"Macam ni," Hana terhenti sebentar sebelum menyambung kemudian, "Eh, kau nak minum apa?"

Iman menggeleng.

"Terus cakaplah apa yang mustahak. Aku datang sini bukan untuk minum."

"Pasal ni lah. Pasal kau. Pasal Nashrul!".

Iman tersentak.

"Pasal Nashrul?"

Hana diam sebentar. Dia membuang pandangan keluar. Sebentar kemudian dia memandang Iman dengan rasa bersalah.

"Aku bagitau dia yang kau ada di kampung."

Iman mengeluh. Mahu saja dicekik teman di hadapannya itu. Bukankah dia sudah berpesan agar Hana tidak memberitahu sesiapa di mana dia berada?

"Habis tu?"

"Aku rasa dia ke sana, tapi baguslah kau dah balik ke sini." ujar Hana sambil tersengih. Dia tahu kemarahan Iman meluap-luap. Dia pun kalau tak dirayu Nashrul tentu dia boleh menyimpan rahsia tapi rayuan Nashrul membuat hatinya lentur.

Iman diam membatu. Pandangannya dilempar jauh ke luar. Rintik hujan masih melebat, sehingga kenderaan tidak jelas kelihatan.

"Kenapa susah hati sangat ni? Biasalah, kalau girlfriend merajuk, tentu si boyfriend akan cari. Kalau dia ke kampung kau, biar ajalah. Elok pun mak kau kenal dengan dia, bakal menantu dia jugak." Hana bersahaja. Espresso yang berasap nipis di hirup. Iman beralih memandang Hana.

"Hairan aku. Bercinta sejak di oversea lagi tapi entah bila nak kahwin. Nashrul ajak kahwin, kahwin ajalah. Dah kahwin nanti hilanglah perangai nakal dia tu. Lagipun si Nashrul tu bukannya teruk sangat. Dia cuma nakal bila nampak perempuan tapi dia lelaki yang setia. Setia pada kau!"

"Ok, aku akan kahwin dengan dia. Puas hati?" ujar Iman sambil ketawa. Ketawa itu meredakan rasa bersalah di hati Hana. Dia tahu Iman lembut hati walaupun agak degil. Pendirian temannya itu terlalu kuat dan sehingga sekarang dia masih tidak faham apa yang sebenarnya yang berlaku di antara Iman dengan Nashrul.

"Nashrul masuk kerja tak hari ni?"

"Tak, sebab itu aku rasa dia ke kampung kau." Hana bersuara. Matanya tepat memandang wajah Iman. Dia cuba meneka apa yang berlaku.

SEDETIK LARAWhere stories live. Discover now