SUBUH itu mereka solat berjemaah di dalam bilik Danial. Memohon perlindungan dari Yang Maha Esa dari segala yang buruk-buruk. Memohon supaya dijauhkan dari hasutan syaitan dan iblis. Satu jam selepas subuh barulah Danial menutup bacaan ayat Qursi.
Si kembar itu berdiri di ruang tamu dan memerhati ke setiap sudut. Tiada apa yang pecah atau bersepah. Ternyata bunyi-bunyian malam tadi hanya ilusi yang tercipta dari permainan syaitan itu. Kemudian mereka menuju ke dapur pula. Tingkap dan pintu semua bertutup kemas. Masih merinding bulu roma mereka apabila mengingatkan cebisan kain putih lusuh yang pernah kelihatan di tingkap dapur.
Selepas mengisi perut secara ala kadar, keduanya bersiap-siap untuk ke kedai handphone yang dimaksudkan Danish. Banyak benda yang ingin Danial tanyakan pada taukeynya. Benda ini tidak akan terjadi tanpa sebab yang kukuh.
*****
Taukey muda yang bernama Aziq itu terkebil-kebil memandang handphone yang berada di hadapannya. Dia mengeluarkannya dari dalam beg kertas lalu membeleknya.
"Ada apa yang awak nak explain kat kami tak?" Danial bertanya dengan suara tenang.
Aziq mengangkat muka dan merenung wajah si kembar itu. Mereka nampak serius dan seperti sedang menahan marah sahaja.
"Kenapa ye? Ada apa-apa yang rosak ke dengan handphone ni?" Aziq bertanya.
"Tak rosak cuma berpuaka." Selamba Danish membalas. Aziq terdiam.
"Abang beli yang secondhand kenapa? Duit banyak, belilah yang baru dari kilang..." Danial komplen. Beli apa-apa mesti berpenunggu!
Danish tersengih macam kerang busuk. Entah mengapa dia tertarik untuk membeli handphone ini sejak pertama kali memandangnya. Seolah-olah ada satu kuasa ghaib yang menggoda. Sebab itu dia tidak teragak-agak untuk terus membelinya. Tidak sangka pula ianya berhantu.
Aziq mendiamkan diri. Dia macam orang serba-salah.
"Awak tau sesuatu ke pasal sejarah phone ni?"
Soalan Danial dia balas dengan anggukan lemah. Dia tidak mampu untuk berahsia lagi. Selepas ini dia akan menyimpan handphone ini di satu tempat dan tidak akan menjualnya kerana khuatir hal begini akan berlaku buat kali yang ketiga.
"Ni kali kedua...." Akhirnya dia membuka mulut.
"Kedua?"
"First time pun jadi macam ni tapi saya tak percaya."
"Siapa yang first kena tu?" Soal Danish. Kini dia sudah duduk di kerusi yang tersedia. Mereka duduk secara berhadapan.
"Budak universiti. Perempuan."
"Dia kena ganggu jugak ke?"
"A ah. Dia kata dia tak tahan asyik kena ganggu dengan mesej whatsapp pelik-pelik. Lama-lama dia tau bukan manusia yang hantar whatsapp tu." Cerita Aziq untuk menjawab pertanyaan Danial.
"Saya tak percaya tapi terpaksa pulangkan duit dia sebab dia ugut nak report polis di atas dakwaan menipu customer. Saya malas nak besar-besarkan hal ni jadi saya pulangkan duit dia." Dia menambah.
Danial melabuhkan duduk di kerusi sebelah abangnya, "Bila?"
"2 minggu lepas sebelum abang awak beli phone ni dari saya."
Si kembar itu tidak berkata apa-apa buat beberapa minit. Minda mereka berputar memikirkan apa sebenarnya yang berlaku sehingga menyebabkan handphone ini berpuaka. Siapa empunya telefon ini sebenarnya?
"Awak tak tau ke siapa punya phone ni?" Tanya Danial. Aziq menggeleng-geleng.
"Takpelah, saya akan pulangkan duit abang awak." Aziq membuat keputusan dengan senyuman pahit di bibirnya. Dia membuka mesin wang dan mengembalikan jumlah yang pernah dibayar oleh Danish sebelum ini.
Kini dia percaya yang gajet ini berpuaka. Dia tidak akan menjualnya selepas ini.
"Thanks." Danish mengambil wang dari tangan Aziq dan keduanya beredar pergi. Mereka singgah untuk makan tengahari di sebuah cafe.
"Next time biar saya yang beli sendiri. Bukan boleh harap kalau abang yang belikan."
"Jangan harap kau boleh guna phone abang lepas ni. Kenapa tak beli handphone lain je tadi?"
"Ala malaslah. Dibuatnya semua phone yang dia jual berhantu? Ah, tak naklah saya!"
Perbualan mereka terhenti seketika apabila makanan mula disuap ke mulut. Akhirnya masalah mereka selesai walaupun mereka tidak tahu apa sejarah kepada semua yang berlaku.
*****
3 MINGGU yang lepas, ada seorang lelaki dalam linkungan umur 30an datang ke kedai bersama telefon bimbit yang agak baru. Dia mahu menjualnya kepada Aziq.
"Berapa ambik?"
Aziq membelek handphone itu dan berpuas hati dengan kualitinya yang masih baru. Dia berkeputusan untuk mengambilnya dengan harga RM 500. Selepas memberikan wangnya kepada lelaki itu, dia terus menjualnya dengan harga RM 800. Lelaki yang datang tadi kelihatan tergopoh-gapah menaiki motosikal cabuknya dan memecut pergi dari situ.
Tidak dia mengetahui bahawa lelaki itu ialah seorang perogol dan pembunuh. Telefon bimbit itu kepunyaan mangsa yang telah meninggal dunia kerana dibunuh. Mayatnya ditanam dalam hutan yang terpencil di daerah itu.
Ketika wanita itu dibawa ke situ untuk dirogol dan dibunuh, dia sedang menghantar mesej kepada rakan baiknya di whatsapp tetapi malangnya mesej itu tidak sampai kerana ada masalah dengan kad sim telefonnya. Dia sedang menunggu teksi di hadapan tempat kerja dan kebetulan ketika itu suasana sunyi dan dia keluar lewat dari pejabat.
Malang tidak berbau apabila kepalanya dipukul dari belakang dan dia rebah tidak sedarkan diri. Ketika dia dicabul, dia tersedar namun dibelasah oleh lelaki itu sehingga menghembuskan nafas yang terakhir selepas ditikam dengan pisau berkali-kali di perutnya. Handphone dan barang-barang berharga milik wanita itu diambil. Semuanya telah dijual dan wang itu dia gunakan untuk membeli dadah.
Mayat wanita itu hanya ditemui sebulan kemudian selepas bau busuk dihidu oleh seorang pengutip sayuran hutan.
Perogol dan pembunuh itu?
SUDAH MATI KERANA MENYEMBELIH DIRI SENDIRI AKIBAT TIDAK TAHAN DIGANGGU OLEH SI MATI.
*****
AZIQ meletakkan handphone itu ke dalam plastik dan meletakkannya di atas rak kayu. Dia tidak akan menjualnya kerana tidak mahu hal yang sama berulang lagi. Cukuplah dua kali dia memulangkan wang kepada pelanggan. Dia keluar dari bilik stor dan menguncinya. Dia menutup kedai tidak lama selepas itu kerana sudah tamat waktu perniagaannya.
Handphone di atas rak bergerak-gerak.
UNKNOWN IS TYPING....
- TAMAT -
