DANIAL menarik tangan Danish lalu membawa abangnya masuk ke bilik tidurnya. Mereka akan bertapa di situ sehingga bekalan elektrik kembali ada. Suasana malam itu sangat dingin walaupun penghawa dingin sudah lama tidak hidup kerana blackout. Dia mengunci pintu bilik dan kedua-duanya berdiri menghadap pintu dengan penuh debaran.
"Ada torchlight tak dalam bilik kau ni?" bisik Danish. Sampai bila Danial mahu menggunakan handphonenya sebagai lampu suluh? Baterinya harus dijimatkan untuk membuat apa-apa panggilan.
Ya! Panggilan telefon!
Danish merampas handphone dari tangan adiknya lantas membuat panggilan ke satu nombor. Dia menelefon rakan sepejabatnya.
"Hello..." Panggilan telefon itu dijawab selepas beberapa saat. Danish tersenyum penuh kesyukuran.
"Hello, Zaff! Boleh datang rumah aku tak?"
"Kenapa ni Dan? Ada masalah ke?"
"A ah aku dengan adik aku ada masalah besar sekarang ni. Boleh tak kau datang rumah aku sekarang? Urgent!" Danish mendesak.
"Okey okey... Aku datang sekarang." Zaff mematikan talian.
Danish memeluk adiknya, "Zaff akan sampai dalam 10 minit."
"Alhamdulillah!" Danial mampu menarik nafas lega. Mujur abangnya ada idea untuk menelefon rakannya.
TOK! TOK!
Pintu utama diketuk berkali-kali. Kembar itu cepat-cepat mengezip mulut. Dalam kesuraman malam, keduanya berlalu ke tingkap bilik untuk melihat siapa yang berada di luar.
"Danish? Danish, aku dah datang!"
Itu suara Zaff! Danish tergamam sambil merenung muka Danial. Zaff dah sampai? Cepatnya... Biar betul.
"Tu abang Zaff kan?" Danial bertanya pelik. Danish mengangguk perlahan.
"Jom bukak pintu..."
Danish memegang lengan adiknya. Perbuatannya itu pantas membantutkan niat Danial untuk keluar membuka pintu utama. Berkerut muka pemuda itu.
"Saya nak bukak pintu..."
"Abang tak yakin tu Zaff....."
"Kenapa?"
Soalan Danial tidak dijawab segera. Dia mengalihkan pandangan ke handphonenya. Entah mengapa hatinya tidak senang dan tidak sepenuhnya mempercayai kewujudan Zaff yang berada di luar pada ketika itu. Kelakuan Danish menimbulkan rasa aneh dalam diri Danial.
"Kenapa bang?" Danial mengulangi pertanyaannya.
Danish memandang adiknya buat beberapa ketika, "Rumah Zaff jauh. Macam mana dia boleh sampai secepat ni?"
Berderau darah Danial mendengar kata-kata abangnya. Ada benarnya.... Tidak mungkin Zaff boleh sampai secepat itu selepas Danish menelefonnya seminit yang lepas. Danial menjauhi pintu bilik. Bayangkan kalau dia terus keluar dan membuka pintu utama tadi....
"Danish? Kau ada tak ni? Aku dah sampai ni...." Zaff terus memanggil-manggil. Tangannya tidak berhenti mengetuk pintu.
Danish memejamkan mata lalu terduduk ke birai katil. Danial pula hanya mengunci mulut, tidak berkata apa-apa. Tetapi bagaimana kalau itu memang Zaff?
"Danish! Bukak pintu!" Zaff menjerkah.
Jerkahan penuh kemarahan mengejutkan dua beradik itu. Pintu utama bagaikan mahu runtuh diketuk Zaff. Danish automatik berdiri dan bergegas ke jendela untuk mengintai keluar.
"Bukak pintu....Aku dah datang..." Suara Zaff tiba-tiba berubah sinis. Tahu Danish sedang mengintai ke arahnya.
Danish berlari mendapatkan adiknya. Gila! Sahlah itu bukan kawannya! Tapi yang dia telefon tadi memang Zaff atau bukan?
TOK, TOK....
"Psst, bukak jendela ni...." Sapa Zaff dari luar jendela bilik Danial.
"Pergilah syaitan iblis! Kau ingat aku takut?!" Danial menempelak. Sakit pula hatinya. Sudah penat asyik diganggu. Danish pula memeluk lengannya sambil menggigil satu badan.
"Betul tak takut?" Tanya iblis itu sambil tergelak kecil.
"Kalau tak takut, bukalah jendela ni......" Dia menyambung.
Danial terdiam. Dia pergi ke meja yang terletak di satu sudut biliknya lalu mengambil lampu suluh dari dalam laci. Dia menyuluh tepat ke jendela bilik yang bertirai kelabu tua dengan hati yang bengang.
"Kau nak buat apa ni Danial?" Danish panik. Ada kemungkinan Danial akan menyelak tirai itu dan rupa iblis itu akan terpampang jelas. Argh, sesungguhnya dia tidak rela melihatnya!
Tanpa menjawab pertanyaan abangnya, dia menyelak tirai seluas-luasnya. Mereka bernasib baik kerana makhluk itu sudah tiada di situ. Danish menggosok-gosok dada. Ada kemungkinan dia akan pitam sehingga esok pagi jika bertentang mata dengan makhluk itu.
Bekalan elektrik kembali menerangi rumah. Danial mematikan torchlight dan memanjatkan syukur ke hadrat ilahi. Akhirnya mereka sudah tidak diselubungi kegelapan lagi. Bolehlah mereka bergerak dengan lebih bebas dan mencari jalan keluar dari kancah permainan syaitan itu.
"Kita keluar...." Usul Danial. Danish menggeleng-geleng tanda protes.
"Takkan abang nak tunggu blackout sekali lagi kot? Benda tu bila-bila masa akan datang balik bang...."
"Mana kau tau benda tu dah takde?" Soal Danish.
Danial sudah tidak peduli. Dia memusingkan tombol pintu dan membukanya penuh hati-hati. Mengintai keadaan di luar jika sudah benar-benar selamat. Sunyi-sepi dan hanya bunyi cengkerik yang kedengaran. Okey, pasti keadaan sudah line clear.
"Saya check keadaan kat dapur dengan ruang tamu kejap. Abang duduk sini dulu." Arah Danial lalu keluar dari bilik meninggalkan Danish yang tidak sempat memberi apa-apa kata putus.
Di dapur semuanya kembali macam biasa. Danial cepat-cepat menutup jendela yang terkuak dan kemudian menuju ke ruang tamu pula namun langkahnya berhenti tiba-tiba tatkala melihat daun pintu utama yang terbuka sedikit. Jantungnya kembali berdegup laju.
Si-siapa yang b-buka?
"Aku dah masuk..." Tegur satu suara dari satu arah berdekatan dengan pintu utama.
Danial berlari tidak cukup tanah dan kembali ke bilik. Dia menghempas pintu dan menguncinya. Dia mendapatkan abangnya yang sedang berdiri berhampiran jendela.
"Dia dah masuk!"
"Hah????" Danish kehilangan kata-kata.
TOK, TOK.....
Pintu bilik itu diketuk.....
