DANISH menjenguk ke luar jendela yang terbuka. Danial masih lagi belum pulang dari bermain futsal. Tidak lama lagi waktu maghrib akan tiba dan dia tidak mahu adiknya berada di atas jalanraya ketika azan sedang berkumandang. Danial pun satu, bila melepak dengan rakan-rakannya bukan tahu hendak pulang secepat mungkin! Jenuh dia mahu bertanya setiapkali.
Dia mendail nombor telefon adiknya. Panggilan telefonnya tidak berjawab.
"Mana pulaklah budak bertuah ni! Dah nak maghrib pun tak reti-reti nak balik!" Dia membebel macam mak nenek. Pot pet pot pet seorang diri sambil merenung ke skrin telefon bimbit.
Tatkala dia mahu menghubungi Danial buat kali kedua, dia menerima panggilan dari whatsapp Danial. Aik?
"Hello, tak reti-reti nak balik??"
Namun tiada suara yang membalas dari talian sebelah sana. Danish berkerut kening.
"Hello? Danial? Kau dengar tak ni?"
Masih tiada jawapan. Sunyi-sepi sahaja. Danish mulai bingung. Ada apa-apa yang tidak kenakah pada adiknya? Bimbang pula dia.
"Danial, kau dengar tak suara abang ni? Kau dekat mana ni?" Dia bertanya dengan penuh kerisauan.
"Bang....."
"Dani... Kau okey tak ni?" Kau dekat mana? Motor kau rosak ke? Abang akan datang jemput kau..." Bertubi-tubi pertanyaan Danish.
"Bang, saya tak dapat balik dah...."
Dada Danish berdebar-debar. Apa yang dimaksudkan oleh Danial? Kunci kereta dia capai lalu bergegas keluar untuk ke kereta yang baru dibelinya sebulan yang lepas. Sudah sah yang Danial ditimpa masalah!
Enjin kereta dihidupkan dan dia sudah bersedia untuk memecut meninggalkan perkarangan rumah namun...
"Abang nak ke mana?" Sapa Danial yang baru sampai dan memarkir motosikal di sebelah kereta abangnya.
Danish bergegas keluar, "Abang ingat motor kau rosak kat tengah jalan tadi..."
"Rosak? Bila masa pulak rosak?"
"Dah tadi kau call abang... Lain macam aje suara engkau. Ke kau prank abang?"
Danial menggaru kepala yang tidak gatal. Apa-apa ajelah abang kembarnya ni. Bila masa pula motosikalnya rosak? Dan bila pula dia menelefon Danish??
"Oi kau dengar tak ni?!" Danish menepuk kuat lengan adiknya.
"Mana ada saya call abang. Sakitlah!" Danial mendengus sambil menggosok-gosok lengannya yang perit.
Riak wajah Danish berubah serta-merta. Dari muka adiknya macam tidak berbohong. Cepat-cepat dia menarik keluar handphone dari dalam kocek seluar jeansnya dan memeriksa balik aplikasi whatsappnya. Ada bukti di situ, seraya ditunjukkan pada Danial.
Danial merenung skrin telefon abangnya tidak berkelip-kelip. Memang nombor telefonnya ada membuat panggilan melalui whatsapp sebelum ini.
"Saya tak pernah call abang pun." Ujarnya perlahan.
"Saya tertekan kot..." Tambahnya walaupun hati sudah rasa semacam.
"Tapi abang dengar suara kau bercakap tadi."
"Cakap pasal apa?"
"Yang kau dah tak boleh balik."
"Haa??"
Kemudian keduanya terdiam. Azan maghrib yang berkumandang seolah menyedarkan mereka dari lamunan. Danish mematikan enjin dan mengunci kereta lalu mengajak Danial masuk ke rumah. Ketika itu syaitan iblis berkeliaran dan sangat tidak elok jika mereka berdiri di luar seperti itu.
*****
FIKIRAN Danial melayang mengenangkan apa yang diberitahu abangnya petang tadi. Mungkin boleh diterima akal jika dia tertekan tetapi dari apa yang diceritakan dia ada bercakap dari hujung talian.
Tidak semena-mena bulu romanya merinding.
Dia membuka whatsapp dan memeriksa sendiri 'history' panggilan itu. Memang ada tertera tentang itu di kotak whatsappnya dan Danish. Dia memang tidak boleh terima yang ada seseorang telah menyerupai suaranya. Manusiakah?
Mesej bergambar yang diterima dari unknown number belum dia buka. Dia tidak perasan dengan mesej whatsapp itu sebelum ini. Mesej itu dia buka. Imej berwarna hitam dengan asap putih seperti sebelum ini tetapi kali ini asap putihnya lebih banyak. Kalau bukan Zakry, jadi mesej-mesej aneh ini daripada siapa?
- UNKNOWN IS TYPING... -
Danial menanti dengan tenang. Dia mahu membaca apa yang sedang ditulis oleh seseorang ini.
UNKNOWN : Boleh
UNKNOWN : aku
UNKNOWN : masuk
- UNKNOWN IS TYPING... -
UNKNOWN : untuk
UNKNOWN : jumpa dengan
UNKNOWN : kau?
Danial bingung. Masuk ke mana?
DANIAL : Kau ni sape? Kau jangan nak main-mainkan akulah weh.
UNKNOWN : aku ada
DANIAL : ada kat mana?
UNKNOWN : kat luar....
Danial pantas bangun dari sofa dan berlari ke jendela yang bertutup kemas. Perbuatannya telah menarik perhatian Danish yang sedang membaca novel di ruangan yang sama. Dia turut bangun dan berdiri di sebelah Danial.
Adiknya sedang mengintai keluar jendela.
"Siapa kat luar?" Dia bertanya.
Danial meletakkan jari telunjuknya ke bibir. Mahu abangnya senyap buat seketika. Khuatir jika ada yang mendengar suara Danish. Yalah, manalah tahu stalker ke...
Hampir 5 minit dia mengintai tetapi tiada apa-apa yang aneh pada pandangan matanya. Kemudian mata beralih pada handphonenya.
UNKNOWN : aku dah masuk.
UNKNOWN : dalam bilik abang kau
UNKNOWN : bawah katil...
Danial berlari ke bilik tidur Danish lalu berhenti di hadapan pintu. Abangnya hanya mengikut dari belakang. Hairan dengan perbuatan adiknya yang mencurigakan.
Tombol pintu digerakkan. Daun pintu ditolak perlahan dan penuh hati-hati. Keadaan bilik yang memang sudah terang memudahkan Danial untuk memeriksa keadaan di situ. Katil bercadar pink segera menarik perhatian Danial.
AKU DAH MASUK. DALAM BILIK ABANG KAU. BAWAH KATIL.
"Kenapa ni Danial? Ada apa?" Soal Danish separuh berbisik. Pertanyaannya tidak berjawab kerana Danial sedang berjalan mendekati katil.
Kini Danial sudah berdiri betul-betul di sisi katil. Debaran di dada terasa membunuh tetapi dia harus memberanikan diri. Kain cadar dia pegang erat-erat. Dia sudah bersedia untuk menyelaknya.
- UNKNOWN IS TYPING... -
