KETUKAN di pintu bergema-gema mengisi kesepian malam itu. Tiada suara yang memanggil dari luar bilik cuma ketukan yang datang bertalu-talu. Danish sudah menggigil sambil memeluk Danial. Mahu terkencing pun ada. Jangan dia terkucil di dalam bilik sudahlah.
Bunyi perabot dialih-alih di ruang tamu sangat membingitkan telinga. Dua beradik itu tidak berganjak langsung, hanya pegun di posisi yang sama. Mereka tahu iblis itu sengaja mahu mengumpan mereka supaya membuka pintu. Danial bergerak mendekati meja lalu mencapai surah Yasin dan mengajak abangnya membaca surah suci itu.
"Kita duduk bersila atas lantai ni bang." Ajaknya sambil menarik tangan Danish untuk sama-sama duduk sambil belakang mereka menyentuh birai katil.
Danish cuba bertenang dengan menarik nafas dalam-dalam dan menghelanya perlahan. Dengan lafaz bismillah, keduanya mula membaca Yasin dengan suara tersekat-sekat. Cuba melawan ketakutan yang beraja di hati.
Bunyi perabot dialih semakin kuat. Seperti ada yang sedang mengamuk di luar. Bunyi berderai seperti ada pasu bunga yang dipecahkan. Mungkin juga akuarium yang terletak berdekatan sofa. Danish berhenti membaca tetapi cepat-cepat ditegur adiknya.
"Terus baca bang...." Danial mencuit paha abangnya.
Danish mengangguk faham walaupun dia masih menggigil satu badan. Entah apa yang berlaku di ruang tamu pada ketika itu. Macam mahu pecah sahaja rumah yang mereka duduki itu. Danial berkali-kali berbisik bahawa apa yang didengari mereka itu mungkin tidak terjadi. Bunyi-bunyian itu hanya satu bentuk penipuan oleh syaitan laknatullah itu.
"Jangan tertipu." Danial berkata dengan muka serius.
Bacaan Yasin kembali dibaca dan bunyian aneh di luar terus berlaku. Ada mesej whatsapp masuk ke handphone Danish. Bacaan yang meniti di bibir kian perlahan dan akhirnya terhenti apabila Danish merenung handphonenya.
UNKNOWN : [Image]
Danish menelan liur sambil memandang adiknya, "Nak buka tak?"
Danial mengambil telefon bimbit dari tangan Danish lalu memberanikan diri untuk membuka mesej whatsapp. Imej yang baru dihantar menunjukkan ruang tamu rumah mereka. Ada makhluk putih yang kakinya tidak jejak ke bumi sedang berdiri di tengah-tengah ruangan itu. Matanya tepat memandang ke lensa kamera. Bagaikan sedang merenung tepat ke arah mereka.
Danial beristighfar panjang.
"Kenapa Dani?"
"Ni....."
Danish tidak sanggup melihatnya lama-lama. Imej itu terlalu menakutkan. Tubuhnya bagaikan kabus dengan kaki yang tergantung tidak mencecah lantai.
UNKNOWN : Buka pintu...
Danial mengetap bibir. Pantas jari-jemarinya menekan huruf di keypad. Danish hanya mampu menelan liur.
DANIAL : Berambuslah syaitan! Aku takut pada ALLAH jelah!
UNKNOWN : Jadi kenapa menyorok dari aku? Kalau berani, jumpa aku kat ruang tamu.
Danial meletakkan handphone ke lantai. Dia melihat iblis itu sedang "typing"....
UNKNOWN : Aku ada depan bilik kau.
Pucat habis muka Danish membaca mesej itu. Entah macam manalah mereka boleh diganggu oleh iblis ini! Ada sesuatu yang salahkah?
"Abang beli phone ni dekat mana? Cuba bagitau saya." Desak Danial. Pasti ada yang tidak kena ni.
"Abang beli kat kedai phonelah. Tak sangka pulak akan bawak masalah."
"Kedai mana? Siang nanti kita pergi sana."
"Kedai phone yang baru buka tu."
Danial cuba mengingati kedai yang mana satu. Akhirnya dia teringat dengan sebuah kedai telefon yang baru dibuka tidak sampai sebulan. Taukeynya muda lagi. Kalau tidak silap dalam linkungan 25 tahun. Dia pasti akan ke sana untuk bertanya hal yang sebenar.
DANIAL : Kau ni siapa? Apa yang kau nak dari kita orang?
UNKNOWN : Aku nak barang aku balik.
DANIAL : Barang apa?
Pertanyaan Danial tidak berjawab tetapi dia pasti ia berkaitan dengan handphone barunya. Dia pun sudah hilang selera dengan handphone itu. Dia akan pulangkan dengan segera!
TOK, TOK.... Tingkap bilik pula yang diketuk. Danial dan Danish memandang ke tingkap. Nasib baik tirai sudah menutupi tingkap. Danial menepuk-nepuk lembut tangan abangnya.
"Kita sambung baca."
Bacaan Yasin kembali berkumandang. Seperti tadi, makhluk itu mengamuk di luar rumah. Habis berderai pasu bunga kesayangan Danish dikerjakannya. Dia panas dan seperti terbakar di neraka! Selepas itu si kembar itu membaca ayat Qursi pula. Dia semakin panas dan terseksa.
"Berhentilah bodoh!!"
Danish hampir-hampir patah semangat selepas dijerkah begitu. Dia mulai tergagap-gagap tetapi cepat-cepat ditenangkan Danial.
"HAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAA!!!!!"
Bergema dunia dengan hilai tawa iblis itu. Semakin dia terseksa semakin dia bertindak gila. Dia mahu tembus masuk ke bilik tetapi gagal kerana bacaan ayat-ayat suci al-Quran itu. Dia panas!
Danial mencapai handphone dan menghantar sesuatu ke kotak whatsapp. Tidak cukup dengan mengganggunya, iblis itu turut mengganggu whatsapp abangnya.
AUDIO SENT.
Tidak lama selepas itu kedengaran alunan ayat Qursi dari handphone Danial yang terletak di luar. Dia yang menghantarnya sebentar tadi. Suara terpekik terlolong turut kedengaran di luar seiring dengan bacaan itu. Setelah berlarutan hampir 10 minit, tempikan itu akhirnya ghaib.
"Abang mainkan ayat ni." Pintanya pada Danish.
Danish menekan audio dan membiarkan ayat suci itu bermain. Danial berlari keluar setelah memastikan semuanya okey. Makhluk itu sudah tiada. Handphone itu dia ambil dan meletakkannya ke dalam beg. Dia akan memulangkannya esok.
Bacaan ayat suci itu dibiarkan bergema di dalam rumah sehingga matahari menunjukkan cahayanya.
