TEMPAT duduk di sebelah Danish direnung lama sehingga menaikkan bulu roma abangnya. Renungan Danial semacam sahaja. Ada apa-apakah yang dia lihat?
"Kau tengok apa?" Danish bertanya. Dia sudah di dalam posisi bersedia untuk cabut lari jika adiknya melihat apa-apa yang menakutkan di situ.
Danial tidak segera menjawab pertanyaan Danish. Dia mengembalikan pandangan ke skrin telefon dan meneliti imej yang telah dihantar ke kotak whatsapp sebentar tadi. Cuba mengesan jika benar ada sesuatu yang sedang duduk di sisi abangnya. Kemudian dia merenung tempat duduk di sebelah abangnya pula. Perbuatan itu dia ulang sebanyak beberapa kali.
"Wei! Kau tengok apa??" Danish menempelak. Mereput dia menunggu jawapan dari Danial.
Danial mengerut dahi. Seperti biasa dia diperbodohkan oleh unknown itu. Cis!
"Cuba tengok ni. Abang nampak apa-apa tak?" Dia menyerahkan handphone kepada Danish. Biar abangnya sendiri yang melihatnya. Dia memang tidak nampak apa-apa yang berupa jembalang sama ada di whatsapp atau di realiti.
"Ni gambar kita..." Danish berkata gugup.
Danial mengangguk, "Cuba baca apa dia tulis."
"Siapa dia ni? Suka betul bodoh-bodohkan kita! Jap!"
"Abang nak buat apa?"
Danish menelefon unknown dengan darah yang mendidih. Dia sudah tidak dapat menahan sabar lagi. Masak engkau!
Hanya selepas beberapa saat, panggilan telefon itu dijawab. Danish menunggu seseorang di talian sebelah sana berkata sesuatu. Setelah hampir seminit menanti, akhirnya Danish yang membuka mulut kerana tiada sebarang respons dari insan itu.
"Ha, kenapa senyap? Cakaplah!" Bentak Danish.
Danial mengetap bibir. Berani juga abangnya menelefon si prankster itu ya. Mereka juga tidak pasti dengan jantina sebenar si unknown ini. Entah lelaki entah perempuan. Danish masih memprovok di telefon.
"Kalau kau berani sangat, bukalah mulut wei! Kau ni lelaki ke perempuan? Cakaplah!" Marah betul Danish. Dia kalau sudah start enjin memang susah mahu berhenti. Dia boleh membebel macam mak nenek selama beberapa jam tanpa henti.
Danial mengarahkan Danish menekan 'speaker' supaya perbualan telefon itu boleh didengar bersama. Danish berhenti bercakap buat beberapa saat dan tika itulah ada bunyi ketawa halus mengekek dari sebelah sana. Bergema-gema bunyinya.
Danish dan Danial berbalas pandangan. Ya ALLAH, serius seram!
"Aku suruh kau bercakap! Yang kau ketawa kenapa?!" Danish memberanikan diri. Walaupun bulu romanya sudah merinding namun kemarahannya masih belum reda.
Tawa itu masih kedengaran. Bagaikan mempersendakan dua beradik itu.
"Kau sape!" Danial pula yang menyoal.
Tawa itu berhenti serta-merta. Talian kembali sunyi. Danial mahu menguji jika benar ia jembalang seperti yang didakwa. Mahu bermain dengan api? Dipersilakan!
Mulutnya mula mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran. Danish merapatkan telefon ke mulut adiknya. Tidak lama selepas itu ada bunyi ketukan yang datangnya dari luar rumah. Pintu utama diketuk sebanyak 2 kali. Bacaan Danial terhenti. Bulu roma mereka berdiri tegak secara automatik.
Mata kembar itu tertumpu di pintu dan tubuh keduanya hanya pegun di tempat yang sama. Seperti tiada daya untuk berjalan ke pintu. Di mana keberanian mereka sebelum ini?
Danial menghela nafas beberapa kali dan mengayun langkah penuh hati-hati ke jendela. Dia akan mengintai dan memeriksa keadaan di luar. Mungkin dia akan nampak siapa yang sedang berada di luar pintu utama. Entah siapa yang ingin datang bertandang.
"Siapa?" Bisik Danish. Danial menjongket bahu.
Perlukah mereka membuka pintu itu?
TOK! TOK!
2 ketukan kembali bergema. Danish sudah mematikan talian. Dia meletakkan handphone itu ke atas kabinet tv. Danial juga sudah menjauhi jendela dan kini sudah berdiri di sisi abangnya.
"Baca apa yang patut." Ujar Danish.
Danial tidak dapat menumpukan perhatiannya pada bacaan ayat-ayat suci kerana bunyi ketukan yang sesekali bergema dari luar.
TOK ! TOK!
"Tak mau buka pintu?" Soal satu suara halus dari luar..