PROLOG

744 34 0
                                    


Pedihnya hati! Air mata makin deras tetapi aku cuba mengawalnya. Suamiku jelas membenci diri ini. Pandangannya penuh dendam. Sungguh hatiku tercarik pedih. Akhirnya kebenaran menutup pintu kebahagiaan kami.

Pintu almari aku buka. Beberapa pasang pakaian aku ambil dan letak dalam bagasi. Dalam tangis tangan mencapai pakaian milik suami tercinta. Hati ini bertambah rawan dan kecewa. Dia telah menghalau aku pergi dari hidupnya. Dia enggan melihat wajahku lagi. Katanya, jodoh dan pertemuan antara kami adalah sebuah kesilapan. Hatiku terhiris menanggapi amarahnya terhadapku.

Walaupun terluka aku tetap mengambil Baju Melayu dan kain pelikat miliknya. Pakaian solat itu sudah sebati dengan bau tubuhnya. Dengan ini tidurku akan nyenyak walaupun tanpa pelukannya. Pandangan yang kabur dengan air mata segera aku seka dengan pakaian Amirul Muiz, ayah kepada anakku.

Perut yang masih rata aku sentuh. Jiwaku terusik mengenangkan anak yang sedang aku kandung. Kasihan anakku tidak dapat melihat dan mengenali wajah ayahnya kelak. Kasihan suamiku tidak mengetahui bahawa dirinya akan menjadi seorang ayah. Aku belum sempat khabarkan padanya. Suamiku sungguh berang tadi. Sehingga akhirnya aku lupa bisikkan berita gembira ini ke telinganya.

Berita gembira? Aku mulai tak pasti. Ekoran kejadian tadi, aku dapat rasakan dia bakal membenci anak ini. Dia bencikan seluruh keturunanku termasuk diriku. Mungkin juga dia tak sudi menumpangkan benihnya di rahimku. Kalau benar telahan ini, maka aku terpaksa menerima hakikat yang jodoh kami sudah ke penghujung. Lantaran kebencian sudah tiada penawarnya.

Siap berkemas, aku zip bagasi yang muat dengan pakaianku. Dengan langkah longlai, aku menarik beg roda menuju ke pintu bilik. Untuk terakhir kalinya aku pandang setiap sudut bilik tidur. Memori manis dan kelat berlaga di minda. Dalam ruangan ini pernah menyimpan kenangan pahit pada mulanya. Namun tatkala cinta mendatangi antara aku dan suami, segala memori yang kelat menjadi manis dan mengasyikkan.

" Abang cintakan Izz," bisikan itu tiba-tiba melintas di benak. Seolah suamiku sedang memeluk tubuhku seeratnya. Di atas katil itu dia sering lafazkan kalimah cinta. Aku yang mendengar pasti akur dan lemah dengan belaian yang hadir daripadanya.

Air mata yang meleleh lesu pantas aku sapu. Tanpa menoleh lagi, aku menapak keluar. Meninggalkan ruangan peribadi yang aku kongsi bersama si dia. Ketika di ruang tamu aku melihat suamiku membisu di atas kerusi rotan. Kepalanya tertunduk menekur lantai. Amirul seolah bungkam.

Beg tangan yang berada di atas meja kopi, aku capai. Tanpa berkata apa-apa aku angkat kaki menuju ke pintu rumah.

" Izz," suara itu menyeruku dengan lembut. Tidak kasar seperti tadi. Namun aku tetap melangkah pergi tanpa tergencat. Aku bimbang sebenarnya. Risau jika dia nekad melafazkan kata-kata perpisahan dalam saat emosinya belum stabil.

" Izz, tunggu dulu." Tegasnya. Tapi aku tidak patuh dengan arahannya. Aku tidak mahu dengar apa-apa lagi saat ini. Aku sangat gentar.

" Tengku Izz Maritza..."

" Jangan ceraikan Izz, abang! " Tempikku. Berombak-ombak dadaku kerana takut.

" Izz yakin abang masih cintakan Izz. Cuma kebenaran itu yang buatkan abang keliru. Jangan lafazkan talak dalam emosi abang tak stabil. Izz rela hubungan kita tergantung. Tapi jangan buang Izz terus dari hidup abang. Biarkan jodoh kita begini saja tanpa abang perlu putuskan."

Sejurus itu, aku menghayun langkah tanpa berpaling. Tersentak. Gerak kaki terkaku bila mana pinggangku dirangkul. Belakang tubuhku berasa hangat dalam dakapan suamiku. Lantas tangisan kembali membuak-buak. Aku takut menghadapi perasaan rindu setelah berpisah dengannya. Sungguh aku tidak keruan dengan perpisahan ini.

" Stay with me," desisnya di telingaku. " Jangan tinggalkan abang."

" Abang yang halau Izz. Abang dah tak sudi pandang muka Izz lagi." Rintihku.

" Maafkan abang, sayang. Abang terlalu marah. Abang fikir abang boleh bencikan Izz. Tapi baru seminit abang cuba membenci tapi akhirnya abang kalah. Cinta ini bukan mudah untuk dinoktahkan. Abang akan menderita tanpa Izz di sisi." Ucapannya kedengaran sayu dan luhur. Aku berharap bicara itu ikhlas dari hatinya.

" Jangan sebut lagi perkataan cerai antara kita. Tak ada perpisahan antara kita melainkan cerai mati. Abang tak pernah berhasrat nak lepaskan Izz. Pangkat isteri abang hanya milik Izz."

Bergetar jiwaku yang sendu. Ketulusan hatinya menjadi penawar duka. Sedari dulu Amirul tidak pernah gagal mengusik hatiku. Bila sesuatu lahir dari bibirnya, aku tidak mampu meraguinya kerana itu suara hatinya.

" Kita lupakan semua yang berlaku." Mudah katanya sedangkan kemarahannya sebelum ini seakan tiada kemaafan untukku.

" Abang janji tak akan ungkit lagi ? " pohonku dalam sisa tangis. Bimbang masalah ini kembali berbangkit.

" Abang janji, sayang."

" Jangan halau Izz lagi. Izz sangat terluka bila abang buang Izz daripada hidup abang."

" Abang tak mampu hidup tanpa Izz dan anak kita."

Tersentak. Telapak tangan suamiku menimpa permukaan perut. " Err...macam mana abang tahu Izz mengandung? " tanyaku separuh bingung.

" Abang jumpa ini dalam beg tangan Izz." Suamiku sampaikan sekeping gambar hitam putih. Imej sonogram yang aku peroleh sewaktu memeriksa kandunganku di klinik hari ini.

" Sebab inikah abang terima Izz semula? Abang tak jadi halau Izz sebab anak ini? " soalku was-was dengan penerimaannya.

" Anak ini menguatkan semangat abang pada Izz."

" Jangan ambil anak ini daripada Izz kalau abang ada niat nak tinggalkan Izz. Jangan pisahkan kami." Aku cuba menolak tangannya. Cuba merungkai dominasi tubuhnya ke atas anggota badanku.

" Izz, listen to me. Jangan fikir bukan-bukan. Abang tak rela anak kita membesar tanpa ibunya. Abang perlukan Izz." Selepas berkata Amirul pantas mencempungku masuk ke bilik yang aku sangka tak mampu kujejaki lagi.

Di bilik itu, Amirul Muiz menenangkan fikiranku yang bercelaru. Wajahku dicium dan tubuhku dipeluk. Sungguh aku jadi lemah. Belaiannya selalu menenangkan diri. Aku berharap sentuhan tangan suamiku selalu menjadi penawar suka dan dukaku.




********************

Maaf jika ada kesalahan ejaan atau kesilapan penggunaaan tatabahasa. Kalau anda suka cerita ini, tolong vote yer! Terima kasih.

Drive-Thru Mr. SatayWhere stories live. Discover now