" Izz..." Aku terpisat-pisat bangun bila namaku diseru berkali-kali. Sungguh berat hendak membuka kelopak mata. Maklumlah tengah malam tadi aku sibuk menelek wajah pemuda yang menjadi suamiku sehingga tidak pasti jam sebenar aku kembali terlelap.
Termangu-mangu bila Amirul yang lengkap berbaju Melayu duduk di sisi. Aku jeling suasana sekeliling bilik yang terang benderang. Jam masih pukul enam pagi. " Kenapa Amirul? Buat apa awak pakai baju Melayu awal pagi ni? "
" Dah subuh, jom solat. Abang dah sediakan telekung Izz. Kita solat berjemaah pagi ni." Kata Amirul berupa permintaan yang tak mampu aku tolak. Solat? Berjemaah? Ini sebuah arahan ke?
" Er...awak ajak saya ke? " tanya aku dengan akal yang masih biul akibat baru bangun tidur.
Amirul senyum tipis lalu mengangguk. " Abang tunggu Izz siap." Dia berura-ura bangun.
" Tapi saya tak boleh Amirul." Sanggahku. Amirul palingkan wajah. Matanya kelihatan kabur. Barangkali tidak memahami maksudku.
" Tak boleh? Izz ada halangan ke? Maksud abang...Izz datang bulan? " tekanya sopan.
Aku menggeleng. " Saya tak period...cuma saya tak boleh solat. Awak solatlah dulu. Jangan tunggu saya."
Amirul menyepi sekejap. Tidak terkata dengan penolakan aku mungkin. " Boleh abang tahu alasan Izz tak boleh solat? " soalnya lagi. Persoalan yang melelahkan aku. Malu sebenarnya.
" Saya tak reti Amirul." Ringkasku. Sekali lagi Amirul terdiam.
" Saya dah lupa semua bacaan yang wajib...sebab itu saya tak boleh." Tokokku tanpa menala wajahnya. Rasa segan semakin bertimpa-timpa. Aku tunduk merenung comforter.
" Sejak bila Izz tak solat? "
" Saya tak ingat...dulu waktu sekolah menengah ada juga belajar fardhu ain sekejap dalam subjek Pendidikan Islam."
" Bila Izz mula akil baligh? Berapa umur Izz waktu tu? " terkebil-kebil aku menghadapi pertanyaan Amirul. Hangat muka ini kurasakan.
" Er...lima belas tahun..." jawabku setelah berfikir sekejap. Aku lihat Amirul kelihatan berfikir tentang sesuatu.
" Awak pergilah solat cepat. Tak payah pedulikan saya. Nanti ada masa saya belajarlah." Gesaku yang tidak betah disoal tanpa penghujung.
" Izz...walaupun abang solat, ibadah abang menjadi sia-sia. Abang cuba cari pahala dalam solat tapi dalam masa yang sama abang pikul dosa."
Terkedang aku dengan kenyataan Amirul. Ada ketegasan di situ. " Dosa kenapa pulak? Bukankah solat menjanjikan pahala? " aku bertanya, keliru.
" Di bahu kanan, Malaikat Raqib catit pahala abang sebab kerjakan solat. Sementara di bahu kiri, Malaikat Atib pulak catit dosa kerana abang gagal membimbing isteri melakukan ibadah yang dituntut oleh Allah. Umpamanya abang isi air dalam botol tapi hakikatnya botol abang bocor."
Sekali lagi aku tercengang. Tungkap meneliti maksudnya.
" Izz tak nak tolong ringankan beban di bahu kiri abang? "
" Habis, awak nak saya buat apa? Saya memang tak reti. Mummy dan daddy tak pernah kisah. Tak ada siapa yang nak ajar saya solat dengan betul. Sometimes saya rasa solat tu tak perlu walaupun ramai kata wajib. Tak ada siapa yang marah atau tegur kalau saya tak buat." Luahku separuh kesal. Geram bila Amirul seolah tidak berpuas hati. Walaupun tegurannya penuh kelembutan, aku tetap segan bila dosaku diungkit.
YOU ARE READING
Drive-Thru Mr. Satay
RomanceTengku Izz Maritza ~ Lambang kemegahan, kehebatan dan kemewahan ada dalam dirinya. Selain berketurunan kerabat, dia juga cucu emas Raja Sufiah. Namun hanya sebuah kesilapan, dia harus membayar dengan seluruh kehidupannya. Apalah ertinya menjadi cucu...