BAB 8

392 11 0
                                    


Aku baringkan badan mengiring ke kanan membelakangi Amirul. Perlahan tindakanku lantaran risau Amirul terjaga dari tidur. Rambutku yang lembap selepas mandi telah kering sepenuhnya ketika aku bersidai di balkoni bilik.

Aku tidak pasti Amirul menanti diriku atau tidak sebelum melelapkan mata. Yang pasti aku bersyukur bila Amirul telah nyenyak ketika aku menyusup masuk ke dalam bilik. Setengah jam aku berkubang dalam bilik air. Mandinya sekejap saja tapi fikiran yang berbelah bahagi. Siap berpakaian aku menyelinap keluar ke balkoni bilik. Sejam lamanya aku merenung langit malam di atas buaian gantung. Belum pernah aku mengasingkan diri apabila bermasalah.

Aku jadi penat apabila gagal mencampak segala kekusutan walaupun menghadap sunyinya malam. Lantas aku ambil keputusan masuk bilik kerana yakin Amirul sudah terlalu jauh bersama mimpinya. Namun aku sebaliknya terkebil-kebil atas katil. Puas aku pejamkan mata tapi nyata jiwa tidak merelakan jasadku berehat.

Mindaku berkecamuk lantaran gagal menyingkirkan keresahan dalam sanubari. Perbualan Rehan dan Risya menyentap perasaanku yang paling dalam. Apatah lagi bagi pengantin baru sepertiku.

" Aku kesianlah dengan Kak Reeza." Luah adikku yang kedua, Izz Batrisya. Termati langkahku yang hendak memasuki pintu dapur. Aku menyorok di sebalik bidai kayu yang tinggi. Mencuri dengar perbualan tentangku. Tentu adik-adikku mendengar pelbagai komen yang dilontarkan oleh para tetamu dalam ballroom tadi.

" Nak buat macam mana, Risya. Kita budak lagi, tak boleh masuk campur. Hanya mampu dengar aje. Aku pun nak marah dia orang kutuk-kutuk Kak Reeza dengan Abang Amirul." Izz Raihana, adik bongsuku mengeluh. Terhiris hati ini meneliti bual bicara si adik yang jelas bersimpati dengan nasibku.

" Tapi mulut dia orang jahat betul, Rehan. Cakap Kak Reeza bakal bercerai tak lama lagi. Ada yang sampai bertaruh Kak Reeza tak mungkin bahagia dengan Abang Amirul. Tak baiklah doa macam tu dekat majlis orang. Lagipun dia orang bukannya orang luar. Saudara mara kita jugak. Malulah kalau orang luar dengar perbualan dia orang tadi." Luah Izz Batrisya separuh bengang.

Aku sentuh dada. Pedih. Perasaanku terkilan. Siapakah kerabat kami yang Risya maksudkan? Miss Su, kah? Mindaku tertanya-tanya.

" Hrmm...aku harap sangat jangkaan Kak Nayli meleset. Biar dia terlopong tengok Kak Reeza bahagia dengan Abang Amirul." Tokok Izz Raihana bersungguh.

Rupanya Nayli yang membawa mulut. Aku sedar rata-rata sepupuku berperangai seperti Miss Su. Pantang melihat aku bermanja dengan Nenda Sufiah, mereka berusaha menyakitiku. Malah sejak kecil aku tidak diberi layanan sama rata seperti adik-beradikku yang lain. Aku dipinggirkan sesama sepupu. Tempat aku bermain cuma dengan nenda, adik-adikku dan Abang Diyad, satu-satunya sepupu yang mengasihiku.

" Bukan setakat Kak Nayli. Aku perasan Abang Remy, Kak Nora dengan Kak Suria asyik tunjuk muka meluat tengok Kak Reeza atas pelamin. Masing-masing cakap padan muka dengan Kak Reeza. Yelah, Kak Reeza cucu kesayangan nenda tapi dikahwinkan dengan lelaki biasa yang tak berharta dan tak ada pangkat. Kau rasa Kak Reeza suka tak dengan Abang Amirul, Rehan? "

" Entahlah, Risya. Fikirkan hal orang dewasa ni boleh buat kita jadi pening. Aku sendiri pelik kenapa Kak Reeza nak kahwin awal sangat. Belajar pun tak habis lagi. Macam tergesa-gesa." Tutur Izz Raihana, bingung.

Jiwaku ingin menjerit tapi jeritan itu hanya terperangkap di dalam. Berat perasaan yang aku tanggung. Kusut fikiranku membayangkan percaturan hidup yang tidak pasti selepas ini. Sungguh kehadiran makhluk 'asing' di sebelahku ini telah meragut kedamaian hati.

Drive-Thru Mr. SatayWhere stories live. Discover now