Selama setahun di tingkatan 5, kelas aku mendapat giliran menggunakan bilik komputer selepas kelas Adnan. Waktu itu galak lah aku prank dia. Aku dah pernah sumbat surat khabar dalam kasut dia. Bayangkan, sesiapa pun pasti menyarung kaki ke dalam kasut dengan penuh kesungguhan tanpa sebarang syak wasangka dan bila kaki tertampan surat khabar yang digumpal sampai keras, memang sakitnya macam tersepak dinding. Sampai melompat-lompat dia. Aku juga pernah ikat tali kasut dia dari atas ke bawah hingga melangut dia berfikir macam mana nak mengikat tali kasut sampai semua kawan-kawan nya dah balik ke kelas pun dia masih dekat depan pintu bilik komputer menjalin balik tali kasutnya. Lepas itu aku letak kala jengking, lipas dan ular dalam kasut dia sampai menjerit-jerit dia ketakutan. Tapi prank tu dah terlampau banyak sampai dia mula terbiasa dan meneliti kasutnya setiap kali keluar dari bilik komputer. Lepas daripada ular, apa sahaja yang aku letak dalam kasutnya dah tak dihiraukannya lagi.
Prank aku pada Adnan bukan setakat di sekolah sahaja. Lebih dari itu, tidak mengenal batas tempat dan masa.
Aku pernah minta tolong dia belikan barang untuk senarai beli-belah yang tak wujud pun atas muka bumi. Daripada pukul 10 pagi sampai pukul 3 pagi dia duk menunduk dalam kedai mencari polish kuku warna Tartan (pekat lagi daripada warna merah tapi macam nak hijau sikit atau boleh je cakap macam nak kuning sikit, ikut keselesaan sebab warna ni cuma pembohongan), pemutar skru kidal, coklat getah jenama Roh Gengster, tukul kaca dan tiub fallopian sepanjang 12 kaki. Bila semua kedai tutup, dia pergi kedai serbaneka 24 jam untuk mencari sampai aku sendiri yang terpaksa pergi panggil dia balik rumah.
Lepas tu aku tukar semua nama dalam buku telefon dia kepada Amzar Asya'ari sampai dia tak jumpa Amzar Asya'ari yang sebenar.
Bila habis sekolah menengah, aku dapat tahu yang Adnan dan kawan baiknya, Hilman dapat tawaran ke universiti awam terbaik iaitu Universiti M. Terletak di ibu kota Kuala Lumpur. Resah kerana kami bakal berpisah jauh selama sekurang-kurangnya 4 tahun, aku aturkan pertemuan bersama Adnan.
Sambil itu biar aku ajarkan bagaimana mahu menghasilkan prank yang bakal memberikan 12 juta tontonan di Youtube.
Kami bertemu seperti yang dijanjikan dan seperti mana prank-prank hebat yang lain, perkara paling utama adalah timing. Duduk di bangku di sebuah taman berhadapan dengan sebuah tasik, aku di kiri dan Adnan di sebelah kanan, aku cuma diam sambil mengira dalam hati sampai 1000 – lebih kurang 15 minit, menjadikan suasana sangat janggal antara kami berdua. Sementara itu, kamera tersembunyi yang dikawal oleh Aina dan Linda terus merakamkan dari lokasi strategik. Hanya dengusan nafas Adnan yang kedengaran terbit halus, mengisi saat-saat berharga itu.
Cukup 1000, aku perlu tunggu Adnan bercakap dan memotongnya secepat yang mungkin untuk menghasilkan efek seolah-olah persoalan itu terpendam lama hingga tidak mampu menunggu dia habiskan ayatnya lagi.
Dia terdengar mendengus bosan, memulakan ambil nafas lantas menoleh ke arahku yang sedang menunduk, "Ada apa—"
"Awak memang nak pergi?" soalku sepantas kilat.
Hey, perkara ini bukan boleh dilatih dalam masa beberapa hari. Aku boleh kata pengalaman aku luas juga dalam bidang prank ni.
"Pergi?" mengalih perhatiannya pada pertanyaan aku.
"Universiti M..."
"Oh..." dia mengulum kata, berfikir mungkin?
"Awak memang nak tinggalkan saya?" aku benamkannya dengan soalan lain pula.
"Apa awak cakap ni Jira..."
"Adnan, awak ni bodoh ke? Awak tahu tak yang saya sukakan awak sejak hari pertama awak pegang tangan dan pimpin saya masuk ke kelas. Awak nak saya beritahu baru awak nak faham?"
"Jira..." dia jadi kelu untuk berkata-kata. Tidak menyangka yang aku akan katakan sesuatu yang seperti itu.
"Ah... malunya..." aku memekup wajah dengan kedua belah tangan.
Dia memejam matanya, perit untuk dia menerima kejutan sebegini.
"Betul awak tak ada apa-apa nak cakap?" tekanku lagi.
"Erk~!" hanya itu yang paling bagus dia mampu ucapkan.
"Seorang gadis kumpul kekuatan semata-mata untuk luah ini pada awak dan awak tak ada apa nak cakap? Serius?!" aku menoleh ke arahnya, marah.
Diam. Hanya matanya yang berkelip-kelip memandang ke tanah, tidak berani bertentangan mata terus denganku.
"Oh woah! Adnan..." muka aku reka seakan-akan takjub. Kemudian pandang dia lama seolah-olah menanti jawapan daripada dia. Sebaik melihat wajah dia yang kalut dan memang betul tak tahu nak cakap apa, barulah aku menyambung kata, "Okey, baik," ini dipanggil menyerah.
"Anggaplah awak baru je tolak saya. Itu sahaja yang saya nak cakap. Maaf, kalau saya ganggu awak," aku tutup dengan bingkas bangun daripada bangku taman lalu beredar. Oh, pastikan anda melangkah pendek tapi pantas untuk nampak tergesa-gesa tapi tidak terlalu laju supaya...
"Jira, tunggu!"
Yup! Supaya detik macam ini boleh terjadi. Dia panggil aku dan aku segera berhenti tanpa menoleh kepadanya. Mengekalkan postur tertunduk.
"Saya malu sangat dengan awak. Dalam banyak-banyak orang saya jatuh cinta dengan awak dan dalam banyak-banyak cinta, cinta pertama saya bertepuk sebelah tangan. Ini sangat memalukan dan Adnan, saya perlukan masa untuk bersendirian. Saya tak mahu dengar apa-apa dari awak, tolong!" aku melaung dari tempat berdiri.
"Jira, saya pun..." dia teragak-agak mahu mengungkapkan.
"... saya suka awak!" meluahkan pada akhirnya.
"Apa dia?" aku berpaling ke arahnya dengan wajah bercahaya.
"Saya betul-betul sukakan awak. Ya, daripada hari pertama saya pimpin tangan awak, saya dah jatuh cinta. Saya betul-betul jatuh cinta."
=======================================================
Sebarang cadangan hantarkan kepada Zulkifli.B.Zakaria@gmail.com
Fastabiqul Khairaat
-Zulkifli Zakaria-
Shareislam.com Team
=======================================================
YOU ARE READING
Prank-Prank Cinta
RomanceNurun Nazirah Jaafar, budak nakal kelas hujung memang suka sangat kenakan si bijak Adnan Iskandar Ramlee daripada kelas pertama semenjak dari sekolah tadika sampai terbawa-bawa ke alam dewasa. Adnan pula memang jujur betul budaknya, tak pernah memba...