"ADNAN!!" AKU MENJERIT kecil dari kejauhan sebaik melihat kelibatnya yang sedang duduk di atas bumbung rumah flat, tempat pertemuan biasa kami.
Dia tidak membalas lambaianku, menyebabkan aku pelik. Dia tidak seceria dia yang biasa. Dalam telefon petang tadi pun dia tidak bersuara. Hanya 'hello' dan 'hmm' sahaja sampai habis.
Sementara Linda dan Aina kulihat sudah mula mengambil tempat dengan kamera mereka masing-masing. Sebelum tiba ke sini tadi aku sudah arahkan mereka mengecas kamera sampai penuh termasuk juga bateri simpanan bagi mengelakkan gangguan pada rakaman di malam yang penuh gilang-gemilang ini.
"Hey Adnan, awak okey?" aku menyapa sebaik sahaja sampai.
Dia jelas terlihat sugul, tidak bermaya. Rambut cacaknya serabut sekali. Dia tidak mandi mungkin seharian hari ini, membuatkan aku terkaku lagi.
Dia tersenyum nipis, tidak mengarahkan senyumannya kepadaku seperti kebiasaannya.
"Saya dah tahu," mendatar sahaja suaranya sebelum sempat aku melabuhkan punggung ke atas bangku kayu.
"Eh?" Aku tidak memahami.
"Ini semua prank je kan?"
Senyuman gembira menghilang daripada wajahku, berubah jadi kerutan. Jadi Adnan dah tahu? Ah... tak seronok langsung lah projek kali ini.
Aku dapat rasakan yang air liur membanjiri kerongkong. Sebahagiannya akibat cemas dan sebahagian lagi kerana skrip dalam kepala aku sudah bercampur-baur. Bila Adnan tahu ini adalah prank, bermaksud aku perlu langkau 12 hingga 17 dialog dan penyudahnya aku hanya pandang pada dua butir kamera di kiri dan kanan aku. Aku dan Adnan menghadap terus ke arah tangki air setinggi 20 kaki di sebelah kiri kami sementara lampu simbah berwarna putih menyinari tempat duduk, memudahkan proses rakaman.
"Awak suka pada saya, awak tak beri saya pergi UM konon awak akan rindu pada saya, awak mahu saya kekal di sini, semuanya... prank, bukan?" dia tidak memandang padaku menjadikan aku agak risau. Dia marah.
Aku telan air liur yang bertakung resah di kerongkongan, "bagi saya jelaskan pada awak..." lantas suaraku berubah perlahan, hampir mendekati sebuah bisikan. Aku tutup mikrofon pada baju dengan ibu jari, tidak mahu kata-kata itu masuk dalam rakaman kerana semuanya telah terkeluar dari skrip.
Linda kerutkan wajah sambil buat isyarat tiada audio. Dia tidak mendengar apa-apa, menjadikan aku lega.
Ini tidak sepatutnya terjadi. Dan apa yang sepatutnya jadi? Aku jangka Adnan tidak tahu tentang ini kemudian aku akan cakap, "awak dah kena prank!" dan segalanya akan jadi baik dengan gelak tawa daripada kami tapi ini lain. Sungguh lain dan aku tidak bersedia.
Dia layangkan tangannya ke udara, tidak mahu mendengar sebarang kata yang bakal terbit dari mulutku.
"Adnan..." rayuku, sambil memeluk sebelah lengannya, minta dia bertenang.
Dia tidak pernah marah menyebabkan aku tidak bersedia hendak memujuk. Hampir selalunya aku yang merajuk dan dia memujuk. Kalau aku buat salah pun dia lekas memaafkan tanpa mengungkitnya lagi. Tapi bukan hari ini, bukan malam ini dan bukan kali ini. Dia hilang dirinya yang dahulu. Adakah aku sudah melampaui batas?
"Saya minta maaf okey," pintaku lagi. Otak sudah berhenti fikir tentang prank dan hanya fokus mahu membujuknya.
Dia menggeliat, menolak genggaman tanganku. "Diorang cakap saya bodoh sampai mudah dipermainkan,"
"Tak... awak tak... Tch! Siapa yang cakap macam tu? Sini biar saya cabai-cabaikan mulut dia!" mengubah intonasiku jadi seperti gurauan.
"Awak mudah sangat mainkan saya, macam saya tak bernilai pun bagi awak,"
YOU ARE READING
Prank-Prank Cinta
RomantiekNurun Nazirah Jaafar, budak nakal kelas hujung memang suka sangat kenakan si bijak Adnan Iskandar Ramlee daripada kelas pertama semenjak dari sekolah tadika sampai terbawa-bawa ke alam dewasa. Adnan pula memang jujur betul budaknya, tak pernah memba...