Bab 1

2.6K 81 30
                                    

DIA ingat lagi, sewaktu kecil, arwah mama selalu pesan, jangan sesekali lupa sarapan pagi. Kata mama, a great day begins with breakfast. Sebab itu, sibuk macam mana sekalipun mama, meja makan mereka tak pernah tak ada sarapan pagi. Mama akan pastikan, dia, Sara dan babah bersarapan dahulu sebelum mulakan aktiviti masing-masing.

Selepas mama dan babah meninggal sewaktu dia berusia 18 tahun, dia hampir lupakan rutin itu sehinggalah dia dapat kerja sebagai pelayan di sebuah kedai makan. Kak Rose, tuan punya kedai tersebut, sikap dia tak ubah seperti mama. Setiap pagi sebelum dia mulakan kerja, Kak Rose akan pastikan dia bersarapan dahulu. Sarapan itu penting, untuk pastikan tenaga untuk buat kerja sentiasa ada. Dan Riana memang pegang kuat pesanan-pesanan arwah mama dan bekas majikannya itu. Kalaupun tak dapat makan sarapan yang proper, dia akan pastikan dalam beg dia ada energy bar untuk dikunyah sebelum mulakan harinya.

Agaknya, sebab itulah hari ini... semua yang berlaku dalam hidup dia, semuanya serba tak kena. Semuanya sebab dia tak bersarapan pagi tadi gara-gara terlewat bangun. Dia rasa dia dah set alarm di telefonnya. Tapi sumpah dia tak dengar langsung telefon dia berbunyi. Sedar pagi tadi pun, sebab dia terdengar pintu rumah jiran kuat berdentum. Tengok jam, dah pukul 8.30 pagi! Nak jadikan cerita, hari ini giliran dia yang buka salon sebab dia orang terakhir yang balik malam tadi. Kunci salon cuma ada 2. Satu set, majikannya, Kamalia atau lebih mesra dipanggil Kak Kay yang pegang. Satu set lagi, pekerja-pekerja di Style by Kay yang bergilir-gilir pegang.

Walaupun waktu operasi Style by Kay bermula pukul 10.00 pagi, tapi seawal 9 pagi lagi patutnya salon dah dibuka. Masa inilah yang digunakan untuk bersihkan salon, periksa stok barang, pastikan semua alatan dan mesin dalam salon berfungsi dengan baik, periksa senarai temu janji pelanggan. Tepat pukul 10, semuanya kena tip top untuk mulakan operasi salon.

Riana lepaskan keluhan panjang. Tangan masih ligat menyapu rambut-rambut di atas lantai salon. Tapi fikiran menerawang memikirkan hari yang dilalui hari ni. Sampai sahaja di salon pagi tadi, dah pukul 9.30. Kereta Kancil yang memang menunggu masa nak jadi ‘jenazah’, satu-satunya harta peninggalan arwah babah yang masih tinggal, pilih hari ini juga nak buat hal. Sudah separuh perjalanan, tiba-tiba enjin mati selepas dia berhenti di lampu isyarat. Dahlah waktu macam itu memang jalan raya sibuk dengan orang nak pergi kerja. Memang dia jadi punca jalan utama nak ke bandar itu sesaklah. Menunggu tow truck sampai, memang ‘berchenta’! Elok lepas dia tamatkan panggilan kepada bengkel kereta, dia dengar bunyi yang buat dia rasa nak menangis. Bunyi telefon kehabisan bateri! Dia baru berura-ura telefon Zaza, pembantu di salon, nak maklumkan yang dia akan lambat. Ingatkan nak minta Zaza datang ambil kunci salon daripada dia. Tapi apa pun tak boleh nak buat. Pukul 10.10 pagi baru dia sampai di salon. Separuh hati lega bila tengok pintu salon dah buka. Tapi separuh lagi mula rasa tak senang sebab sahihlah yang datang buka pintu Kak Kay.

Kak Kay tu, tak adalah teruk mana. Elok sahaja dia layan pekerja-pekerja Style by Kay. Cumanya, mulut dia sahaja yang payah nak dikawal. Datang angin tak betul, memang senang sangat kena maki hamun! Macam yang dia kena pagi tadi. Memang kaw-kaw kena ‘tegur’. Sikit lagi air mata nak tumpah saja.

Riana telek jam di tangan. Sudah pukul lima petang. Dia nak buat perkara yang bakal buat dia dapat ‘teguran’ lagi. Tapi apalah pilihan yang dia ada. Sama ada tadah telinga terima bebelan, atau esok pagi, kena ambil cuti. Ambil cuti tak dirancang macam ini, selalunya akan direkodkan sebagai cuti tanpa gaji. Rugi weh!

Riana pandang pintu bilik Kak Kay yang tertutup. Lambat pula baliknya cik bos hari ni. Selalunya pukul 4.30 dah berlenggang kangkung keluar salon. Dia pandang ke sekitar salon. Hari ini operasi sedikit perlahan. Petang ini tak ada pelanggan pun dalam salon. Senior hairstylist di situ ada 3 orang. Masing-masing berada di stesen kerja masing-masing, buat hal sendiri. Staf berpangkat pembantu macam dia ini, ada 3 orang juga. Dua orang sedang berada di stor di bahagian belakang salon.

Seperti Yang DinantiWhere stories live. Discover now