Bab 2

1.7K 77 29
                                    

MASUK sahaja ke salon pagi esoknya, mata Riana sudah melilau mencari kelibat Sean. Di ruang depan salon, cuma ada Zaza dan Ida, pembantu salon sepertinya.

“Za, Sean mana?” Riana tahu Sean dah sampai ke salon. Dia nampak kereta Honda Sean dah terparkir di tempat letak kereta.

“Kat pantri kot. Tadi katanya nak buat air,” beritahu Zaza sambil tangan ligat mengelap cermin salon. Tak tunggu lama, Riana menapak ke arah pantri yang letaknya bersebelahan dengan stor di bahagian belakang salon. Sebaik sahaja sampai di pantri, dia nampak kelibat Sean sedang berdiri menghadap kabinet membelakangkannya. Mendengar bunyi sudu berdenting dan aroma kopi yang memenuhi ruang kecil pantri itu, dia tahu Sean sedang membancuh air.

“Sean!”Terhinggut bahu Sean, terkejut disergah Riana. Laju dia berpusing, memandang Riana dengan riak geram.

“Kau ni, tak reti nak beri salam?” marah Sean sambil menggeleng.

“Apa ni?” Riana balas soalan Sean dengan soalan. Sebungkus beg plastik yang berisi diangkat, ditunjukkan ke arah Sean.

Sean angkat bahu, capai muk yang berisi air kopi yang sudah siap dibancuh lalu disisip perlahan.

“Kau yang bawak masuk sini, kau tanya aku kenapa?” soal Sean acuh tak acuh.

“Sean...” Suara Riana dah serak. Mimik muka pun dah mendung semacam.
Bungkusan plastik itu diletakkan ke atas meja lalu dia mendekati Sean. Wajah rakannya itu dipandang tidak berkelip.

“Aku rasa macam nak peluk kau aje sekarang. Kenapa kau bukan abang aku? Kalau kau abang kandung aku, aku dah peluk-peluk dah kau...” Bibir Riana mencebik.

“Aik, kalau nak peluk, peluk ajelah. Aku rela aje.” Sean dah ketawa-ketawa. Mata Riana membulat. Sebelah tangan Riana sudah naik menepuk lembut lengan lelaki itu. Orang nak ‘berkasih-sayag-antara-adik-dan-abang’, dia boleh pula nak menggatal!

“Kan aku dah cakap aku yang nak belanja kau, dah kenapa kau pula yang bayar duit nasi lemak tu?” Bibir Riana sudah memuncung ke arah bungkusan makanan yang diletakkan tadi di atas meja. Punyalah dia terkejut masa dia singgah di gerai nasi lemak Achik Yati di hujung jalan berhampiran dengan salon mereka. Belum sempat dia nak beritahu mak cik penjual nasi lemak itu apa yang dia nak, Achik Yati dah awal-awal hulur plastik berisi dua bungkus nasi lemak dan seplastik karipap. Kata Achik Yati, awal-awal lagi Sean dah singgah gerai dia dan pesan semua itu. Siap bayarkan sekali. Riana cuma perlu ambil dan bawa ke salon sahaja.

Sean cuma senyum. Tanpa sebarang kata, dia bergerak ke arah singki. Selepas tangan dibasuh, dia capai sebatang sudu lalu dia terus labuh duduk di kerusi. Plastik bungkusan makan yang dibawa Riana tadi ditarik. Sebungkus nasi lemak dikeluarkan. Kemudian, dia keluarkan pula plastik berisi kuih karipap sardin. Sebiji karipap dicapai lalu disuap ke mulut.

“Hmmm... karipap Achik Yati ni memang best in the world-lah!”

“Sean...” Diseru lagi nama lelaki itu. Bukan Riana tak tahu, Sean buat itu semua sebab nak tolong dia. Mesti Sean dah tahu semalam dia dah habis banyak duit pada keretanya. Dan Sean juga tahu yang hidup dia memang bergantung pada gaji dan simpanan yang tak seberapa itu. Perbelanjaannya memang dia dah bajet awal-awal. Kalau lari bajet, memang masaklah dia!

“Dah, tak payah nak Sean...Sean dekat situ. Duduk, makan. Dah pukul berapa dah ni. Karang nak mula kerja dah,” ujar Sean sambil membuka bungkusan nasi lemaknya. Haruman nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang itu menerpa deria bau Riana.

Riana tarik kerusi, duduk bertentangan dengan Sean. Sebungkus lagi nasi lemak yang masih berada dalam plastik dikeluarkan, namun tidak segera dibuka. Sebaliknya, dia mengeluh panjang.

“Woi, tak baik mengeluh depan rezeki...” tegur Sean sambil mulut mengunyah nasi lemak.

“Thanks, Sean...” ucap Riana perlahan. Dah selalu sangat Sean tolong dia sampai dia dah tak tahu nak naik segan macam mana lagi dengan lelaki ini.
Sean diam, terus menyuap nasi lemak ke mulut. Dipandang sejenak wajah Riana yang nampak sedikit muram pagi itu. Kali ini, dia pula yang melepaskan keluhan panjang.

“Berapa total damage semalam?” soal Sean. Riana cuma angkat bahu. Sean menggeleng. Faham sangat apa maksud respons Riana itu.

“Riana, kau tahu aku sayang kau kan? So don’t take this the wrong way. Please-lah. Jual kereta tu. Semalam beratus-ratus habis. Esok lusa? Kau nak tunggu simpanan kau kering baru nak sedar ke?”

Riana lepaskan keluhan lagi. “Bukan aku tak nak, tapi...”

“Babe, they’re gone. Aku tahu kau sayang gila dekat kereta tu sebab ia ada banyak kenangan kau dengan orang tua kau. Tapi, aku yakin... orang tua kau pun tak nak kau berhabis duit macam itu aje. Riana, kenangan tu tetap akan ada. Kat sini...” Tangan kiri Sean naik mengetuk dahi sendiri.

“Itu yang penting pun. Aku jaminlah, babah kau takkan marah kau jual kereta tu,” sambung Sean lagi.

Riana diam, tunduk memandang jari jemari sendiri di atas paha. Akal memang mengakui kata-kata Sean itu. Memang betul apa yang dicakapkan lelaki itu. Kenangan dia bersama ibu bapa dia akan tetap ada dalam kotak fikirannya. Cumanya, itulah... hati dia ini degil sangat. Berat sungguh rasa nak berpisah dengan kereta yang dah banyak berjasa dengan dia itu.

Seperti Yang DinantiWhere stories live. Discover now