LEWAT! Kelam kabut Riana bangkit dari katil bila tengok waktu yang tertera atas skrin telefon. 6.45 pagi! Mujur sangatlah 'kawan baik' sedang datang melawat, jadi tak perlu nak kelam-kabut nak bersolat.
Keluar dari bilik, dia terus meluru ke bilik air. Sempat juga dia jeritkan nama Sara, risau kalau-kalau adiknya pun terlajak tidur sama. Sudahlah semalam tak sihat.
"Sara... bangun! Dah lewat ni!" Riana cuci muka, gosok gigi. Kejap lagi baru mandi. Yang penting, nak kena uruskan si adik dulu.
Selesai urusan di bilik air, Riana terus terpa bilik si adik. Terus dibuka pintu bilik tanpa diketuk seperti biasa. Panggilan dia tak bersahut, jadi dianggap sahaja yang Sara masih tidur dan demamnya masih tak kebah lagi.
Namun sebaik sahaja lampu bilik Sara menerangi bilik, hanya katil kosong yang dilihatnya. Dahinya berkerut. Dikerling meja belajar si adik. Elok kemas tersusun. Dan melihatkan beg sekolah Sara sudah tiada di atas meja, sedarlah dia yang Sara sudah ke sekolah. Riana mengeluh kesal.
Tak sempat dia nak periksa keadaan Sara pagi ini. Jauh di sudut hati, dia tahu... mesti Sara sengaja mengelak nak berjumpa dengannya. Sara tahu, kalau demamnya masih tak kebah, memang Riana akan seret dia ke klinik. Silap-silap hari bulan ke hospital terus!
Keluar dari bilik Sara, Riana atur langkah ke dapur. Langkahnya terhenti bila pandangan tertancap pada tudung saji di atas meja makan. Setahu dia, malam tadi semua makanan sudah disimpan dalam peti sejuk. Meja makan mereka memang kosong.
Tangan terus mengangkat tudung saji tersebut. Melihat ada sepinggan nasi goreng dengan telur mata dan satu termos yang dia yakin berisi kopi ada di bawah tudung saji, bibir Riana mengukir senyum nipis.
Sara!
Sempat pula dia bangun buat nasi goreng. Memang dia tidur mati agaknya sampai boleh tak dengar si adik berperang di dapur walhal dia berkongsi dinding yang sama dengan bahagian dapur.
Malam tadi memang dia kepenatan sangat. Entah kenapa, malam tadi jugalah ramai orang pakat-pakat nak makan luar. Selalunya pukul 12 malam pelanggan dah berkurangan tapi malam tadi, hingga pukul 1 pagi pun masih ada lagi yang nak makan malam. Sudahnya, pukul 2 lebih baru dia balik rumah. Bersihkan badan, jenguk Sara... lepas tu dia terus 'pengsan' atas katil! Sedar-sedar dah pukul 6.45 pagi!
Riana alihkan tudung saji ke tepi. Kerusi ditarik lalu dilabuhkan punggungnya. Pinggan berisi nasi goreng ditarik ke arahnya. Ketika itu, dia ternampak ada sehelai kertas dilipat dua berada di bawah pinggan nasi goreng tadi.
Helaian kertas dibuka. Mata terus menelik nota pesanan yang ditinggalkan Sara.
Your favourite. Nasi goreng cili pada dengan telur mata. Sara dah boleh goreng nasi maknanya demam Sara dah kebah.
So... don't worry too much okay?
Sara pergi sekolah dulu. Malas kejut along... nanti membebel aje! :p
See you later! Love you!
Xoxo
Your favourite sister, Sara...
Riana mendengus perlahan. Your favourite sister? Pftt! More to my only sister adalah! Getus hati Riana.
Penutup termos dibuka. Semerbak haruman kopi menerpa deria baunya. Dituangnya kopi tersebut ke dalam sebuah muk yang turut disediakan Sara.
Disisip perlahan kopi yang masih panas itu sambil fikirannya menerawang memikirkan Sara. Dia tak boleh nak halang hati dia daripada berasa risau.
Walaupun Sara cuba meyakinkan dia yang demamnya dah kebah dan si adik sudah semakin sihat, tapi jauh di sudut hatinya dia susah nak percaya.
![](https://img.wattpad.com/cover/143747306-288-k400061.jpg)
YOU ARE READING
Seperti Yang Dinanti
Chick-LitWords may lie. But action will always tell the truth. ~Ghazi❤Riana