Prolog

3.4K 99 13
                                    

Prolog

“SAYANG...” Dengan mata yang masih terpejam, dia mendepakan tangan ke sisi. Kosong. Sejuk. Dia meraba-raba lagi ruang di sebelah, mencari susuk tubuh yang menjadi penemannya sejak beberapa bulan ini. Namun apa yang dicari tiada di tempat yang sepatutnya. Cepat mata dibuka. Terkelip-kelip matanya cuba untuk menyesuaikan retina dengan kegelapan di bilik tidurnya itu.

“Sayang?” Sekali lagi dia menyeru gelaran yang hanya disebut untuk orang yang benar-benar memberi makna kepada perkataan itu dalam hatinya. Namun tiada sahutan. Dengan dia bangun sambil sebelah tangan memetik suis lampu meja di atas bed side table. Mata melilau ke sekeliling. Hanya perabot tak bernyawa yang menjadi sapaan mata. Kelibat yang hendak dilihatnya tak kelihatan.

“Riana?” Kali ini, nama ‘sayangnya’ disebut dengan nada yang sedikit kuat. Namun hanya sepi yang menjawab panggilannya.

Langkah dibawa ke bilik mandi yang tertutup pintunya. Tombol pintu dipulas. Melihatkan pintu yang tak berkunci, dia yakin orang yang dicari tiada di dalam namun hati cuba menidakkan apa yang akal cuba perkatakan. Ditolak juga daun pintu dan betul seperti apa yang akal warasnya katakan... si dia tiada di dalam. Dia bergerak ke arah almari pakaian. Saat pintu almari ditolak, dia terasa macam nak putus nafas bila melihat ruang yang menjadi tempat penyimpanan pakaian Riana selama beberapa bulan ini sudah kosong. Kepala menoleh ke arah dressing table bersebelahan pintu gelangsar balkoni. Tiada lagi kelihatan barang-barang Riana di atasnya. Yang tinggal kini cuma barang peribadi miliknya.

Dengan langkah lemah, Ghazi menapak semula ke katil. Kepala ditundukkan saat duduk dilabuhkan ke atas tilam. Kedua-dua belah tangan memanggung kepala. Tak perlu nak fikir beria sangat. Dah jelas depan mata. Riana dah pergi tinggalkan dia. Cuma yang menjadi persoalannya sekarang ini... mengapa? Ya... memang mereka bergaduh besar semalam. Ya... memang dia ada keluarkan kata-kata yang menyakitkan hati malam tadi. Sebab itukah Riana pergi membawa diri? Tapi bukankah malam tadi juga dia dan Riana...

Ghazi raup wajah. Serabut! Otak ligat memutarkan apa yang terjadi malam tadi. Mencari kalau-kalau ada salah tingkahnya di mana-mana. Tapi... serius tak ada. Rasanya apa yang terjadi antara dia dan Riana berlaku dengan kerelaan. Tak ada siapa yang memaksa atau terpaksa. Dan Riana juga... tak menghentikan apa yang berlaku. Setiap respons yang diberikan menunjukkan Riana juga menginginkannya. Jadi... di mana silapnya?

Ghazi bingkas berdiri. Dia perlu cari Riana. Riana dah berjanji tak akan tinggalkan dia. Tapi kenapa buat juga? Kalau betul dia ada salah, kenapa Riana tak bersemuka terus dengan dia? Kenapa ambil jalan pengecut macam ni?

Ghazi depakan tangan, ingin mencapai telefon di atas bed side table. Namun pergerakannya terhenti saat pandangan tertancap pada comforter di atas katil. Keningnya berkerut.

“What the hell?” Tangan segera menarik comforter berwarna krim itu. Dibelek comforter itu dengan perasaan bercampur baur.  Ghazi terkaku. Otak kembali memutarkan kejadian malam tadi.

Dia... Riana... dan...

Lutut terasa longgar. Terus dia kembali terduduk di atas tilam.  Tak semena-mena kepala terasa sakit. Dia menggeleng... cuba menidakkan apa yang sedang disampaikan otak. Tapi kalau bukti dah ada di depan mata, apa lagi yang hendak dinafikan.

Ghazi genggam comforter di tangan. Kuat. Gigi diketap, geram. Rahangnya jelas kelihatan. Satu persatu kenangan bersama Riana yang dilalui beberapa bulan kebelakangan ini terlayar di kotak fikiran. Ada pelbagai ‘wajah’ Riana yang muncul di ingatannya.  Riana yang lembut. Riana yang ceria. Riana yang penuh dengan rahsia. Riana yang mengakui cintakan dia. Dan dia dah tak tahu... yang mana satu Riana yang sebenarnya?

“Damn it, Riana! What the hell is going on?"

TBC...

****
Note:
1. Latest from me. Insya Allah, will be published soon.

2. Vote and share on FB. Tag my name and u will stand a chance to get free copy of SYD once it is published.

3. Terima kasih sebab sudi support saya.

4. Love u.

Sincerely,
FH

Seperti Yang DinantiWhere stories live. Discover now