Bab 4

1.6K 67 20
                                    

Tiga tahun lalu...

RIANA lap permukaan singki sehingga kering. Kain pengelap yang sudah lembap di tangan dicampak ke dalam baldi bersama sarung tangan plastiknya. Tangan yang sedik basah dilapkan ke apron yang dipakai. Riana seluk poket apron, keluarkan buku nota kecil lalu diselak. Kemudian, dia memandang ke sekitar bilik air yang baru sahaja selesai dicuci.

Toilet bowl - checked

Bath tub- checked

Clean towel - checked

Toilet paper - checked

Shampoo, shower foam, tooth paste - checked

Ditandakan satu persatu check-list yang diserahkan padanya malam semalam. Selepas berpuas hati dengan semuanya, disimpan semula buku nota di tangan ke dalam poket apron. Baldi berisi kain pengelap dan gayung dicapai lalu dia melangkah keluar dari bilik air utama kondominium tersebut. Langkah kaki diatur ke bahagian dapur kondominium tiga bilik tersebut. Baldi di tangan diletakkan di atas kabinet sebelah singki. Kain pengelap di dalamnya dicapai lalu dicuci. Dia kemudiannya menghala ke arah pintu yang membawanya ke sebuah ruang yang sederhana saiznya, tempat di mana sebuah mesin basuh dan mesin pengering diletakkan. Kain pengelap yang sudah diperah itu disangkut ke penyidai yang dipasang di dinding ruang tersebut. Kemudian dibuka ikatan apronnya lalu disangkut ke penyidai yang sama. Baldi kosong di tangan ditelangkupkan di sebelah mesin basuh.

Masuk ke dapur, Riana hela nafas panjang. Tubuh yang sedikit tegang diregangkan. Baru terasa sakit pinggang setelah hampir 3 jam dia membersihkan rumah itu. Pandangan disoroti ke sekitar dapur. Rasanya dah tak ada apa-apa lagi yang perlu dia buat. Semuanya dah disiapkan seperti yang diarahkan oleh Auntie Devi.

Riana senyum nipis. Ini, kalau arwah mama dan babah masih hidup, mesti mereka tak percaya dia boleh buat kerja ini semua. Dulu, jangan kata nak bersihkan rumah, bersihkan bilik sendiri pun, kalau bukan mama dah mula bersuara ala pakai pembesar suara, jangan haraplah dia nak gerak. Bukan tak boleh buat, cuma malas dan suka ambil kesempatan. Sebab dia tahu, mama akan sentiasa ada untuk buat semua itu untuk dia.

Tapi, semua itu dah berlalu. Tragedi yang melanda keluarganya beberapa tahun lalu telah mengubah diri seorang Riana. Mama dan babah yang dirasakan akan sentiasa berada di sampingnya, sudah kembali menemui Pencipta mereka. Dan mahu tak mahu, dia kena bergantung pada diri sendiri. Dah tak boleh nak malas-malas sebab ada perut yang perlu diisi, ada bil yang perlu dibayar dan ada seorang adik yang perlu disara. Nak kerja besar, dia cuma ada sijil SPM. Walaupun agak cemerlang, tapi situasi semasa tak mengizinkan dia buat kerja yang terikat dengan jadual 8 pagi ke 5 petang. Kerja kilang yang mengikut syif itu, lagilah jangan harap.

Jadi, dia kenalah buat pelbagai kerja yang boleh mendatangkan pendapatan kepadanya. Pembantu kedai makan, tukang cuci, tukang lipat baju dekat departmental store! Apa sahajalah yang boleh mendatangkan duit.

Dan, semua itu membawa dia kepada dia yang wujud pada hari ini. Daripada Riana yang tak tahu buat apa-apa, dia dah jadi 'pakar' pembersihan pula sekarang. Bukan setakat bilik tidur, malah keseluruhan rumah!

Auntie Devi, tuan punya Shine & Clean Cleaning Service itu bukan orang lain lagi dalam hidup Riana. Ibu tunggal anak tiga itu merupakan jirannya. Selepas kematian mendiang suaminya, Uncle Rajesh, Auntie Devi mulakan khidmat pembersihan rumah dan pejabat. Disebabkan kerja yang dilakukan memang tip top, servis yang ditawarkan Auntie Devi sudah mula dikenali ramai. Makin banyak pula permintaan yang diterima sampai Auntie Devi terpaksa upah beberapa orang pekerja baru. Termasuklah dirinya. Cumanya dia bukanlah pekerja tetap Auntie Devi pun. Seminggu dalam sekali dua sahaja dia bantu Auntie Devi. Selebihnya, dia bekerja sebagai pembantu kedai di kedai makan Kak Rose. Cukuplah duit yang dapat tu nak tampung kehidupan mereka dua beradik.

Seperti Yang DinantiWhere stories live. Discover now