Bab 4

347 35 0
                                    

Pada malam itu, perayaan berlangsung meriah dengan para penari mempersembahkan tarian mereka di sekeliling unggun api besar yang menerangi seluruh kawasan. Cahaya api yang marak menjadikan suasana malam lebih hidup, dipenuhi dengan kegembiraan dan kekaguman daripada para penonton.

"Cantiknya mereka!" seorang gadis bersuara kagum.

"Pakaian mereka pun nampak sangat menawan!" tambah seorang lagi.

"Boleh tak aku nak kahwin dengan salah seorang penari lelaki tu?" usik seorang lagi, membuatkan mereka ketawa bersama.

Namun, di sebalik keriuhan itu, Rayna kelihatan termenung jauh. Qira, yang berdiri di sebelahnya, menyedari perubahan pada sahabatnya itu.

"Tak seronok?"

"Bukan..." Rayna memandang ke arah api unggun, tetapi fikirannya jauh melayang. "Cuma... hidup mereka di sini sangat berbeza daripada kebiasaan kita."

"Kau teringin nak tinggal di sini?"

"Semestinya tidak. Aku lebih suka suasana kabus di pagi hari di rumah. Tenang dan damai."

Qira mengangguk, bersetuju. "Betul. Lagipun, di sini mereka kelihatan gembira, tapi ada kesengsaraan yang disembunyikan."

Rayna tersenyum pahit. "Aku ingat aku sorang yang perasan."

"Kau dah jumpa?" Qira bertanya, matanya memerhati wajah Rayna, mencari jawapan dalam riak sahabatnya itu.

Rayna menggeleng perlahan mengerti makna disebalik pertanyaan itu. "Susah. Aku pun perlu sembunyikan dari pengetahuan orang, apatah lagi dia yang tinggal di ibu kota. Entah-entah, dia yang aku cari pun tak wujud."

Qira mengemaskan genggamannya pada lengan Rayna. "Apa pun yang terjadi, aku akan sentiasa ada untuk kau."

"Aku cuma perlu elak guna terlalu banyak," balas Rayna perlahan sambil melihat ke tapak tangannya yang digenggam.

"Yang penting, kau jangan paksa diri sangat," kata Qira penuh keyakinan, memberi sokongan tanpa syarat.

Dalam keriuhan perayaan itu, seorang lelaki yang mencurigakan melintasi kawasan tersebut. Ada aura gelap yang mengelilinginya. Langkahnya lemah dan terhinjut-hinjut, seperti tiada tenaga yang tinggal dalam tubuhnya. Nafasnya berat, dan tangannya erat memegang dada, menggambarkan kesakitan yang amat.

Pada masa yang sama, Iker berjalan sambil merungut tentang nasib buruk yang terjadi padanya hari ini. "Kalau aku dapat orang tu, memang siap dia aku kerjakan. Dia bernasib baik sebab aku tak bersedia nak melawan. Dasar penakut," gumamnya sambil mendengus kasar.

Namun, di tengah-tengah kemeriahan perayaan, Iker terpaku seketika. Suasana riang yang dipenuhi alunan muzik dan sorakan orang ramai tiba-tiba terasa jauh, seolah-olah terhanyut oleh sesuatu yang lebih mendesak. Matanya tertancap pada satu sosok yang sedang terhuyung-hayang, lalu jatuh tepat ke dalam pangkuan Rayna.

Jantungnya berdegup kencang. Ada sesuatu yang tidak kena.

Tanpa berfikir panjang, Iker segera meredah orang ramai, menolak sesiapa sahaja yang menghalang jalannya. "Ke tepi!" suara garau dan tergesa-gesanya memecah bunyi riuh pesta. Langkahnya pantas, penuh tekad, seolah-olah hanya satu perkara yang penting saat ini—Rayna.

Semakin dekat dia menghampiri, semakin jelas kelihatan keadaan Rayna. Wajahnya pucat, tubuhnya menggigil, dan ekspresinya seolah-olah menahan kesakitan yang luar biasa. Iker dapat melihat bagaimana tangan gadis itu mengepal kuat kain di dadanya, nafasnya tidak teratur.

Tanpa menunggu lebih lama, Iker akhirnya tiba di sisi mereka. Dengan satu gerakan pantas, dia menolak lelaki yang terduduk di pangkuan Rayna. "Hei, kau buat apa kat dia?!" suara Iker keras, dipenuhi amarah dan kecurigaan.

RAYNAWhere stories live. Discover now