Part II

10.8K 325 7
                                    

RAQIM bertindak mengikut arahan, dibawa bubur yang diberi kak long tadi ke atas sehabis mengemas dan kilat singki dibersihkan dia tadi.

Mata tercari dan ada. Inas sedang leka melayan Faith Iman. Faith yang sebelum ini cuma dilihat di skrin telefon dan hari ini baru isterinya berkesempatan menyentuh dan menggomol anak ke enam kak udanya itu selepas tiga bulan kelahiran Faith.

Kenapa selepas tiga bulan? Hrm...Raqim tahu Inas sengaja mengelak setiap kali kak udanya mengundang isterinya ke rumah. Bukan kerana dia tak ada masa, tetapi masalahnya datang daripada isterinya sendiri. Yang jelas, Raqim dapat rasa yang Inas tak bersedia untuk kecewakan hatinya lagi.

"Sayang..."

"Abang."

"Faith?"

"Faith Iman. Comel, kan?" Inas gerak-gerakkan tangan melepak Faith, nak Raqim sama geram dengan anak ke enam kak udanya itu.

"Comel. Mana ada baby yang tak comel."

"Anak kita nanti..."

"Kak long bagi bubur kacang durian untuk sayang. Makan?" Raqim pusing ayat, mengelak dari menjawab soalan tak lengkap Puan Isterinya itu.

"Uda dah ada Faith abang. Anak ke enam dia orang..." ungkit Inas lagi, macamlah selama ini Raqim tak pernah berusaha untuk ke arah itu.

"Kalaulah buat anak tu macam buat baju-baju untuk koleksi raya abang, sekarang juga abang buat untuk puaskan hati semua orang termasuk hati isteri abang yang sorang ni." Mangkuk bubur kacang diletakkan dan pandangan Raqim kini tak beralih pada wajah suram Puan Isterinya ini.

"Inas tahukan...abang tak suka cakap benda yang sama kalau kita dah tahu penghujungnya nanti kita kena terima semua tu sebenarnya kerja TUHAN, bukannya kita yang cuma mampu merancang?"

Isterinya itu jatuhkan kepala, tanda faham. Tapi jenis faham yang macam mana tu Raqim tak pastilah sebab dia tahu cerita anak ini takkan berhenti setakat di sini. Isterinya ini akan terus mendesak, mendesak dia dengan diam Inas yang sukar dimengerti.

"Makan?"

"Inas nak jaga Faith. Nanti sajalah Inas makan." Sentap Inas masih bersisa. Tak lalu lagi nak makan bila suami sendiri tak faham apa sebenarnya yang dia mahukan.

Susah sangat ke nak bagi sepenuh perhatian pada dia? Fokus betul-betul, usaha sungguh-sungguh bukan buat kerja separuh jalan. Inas cuma nak lebih perhatian daripada suaminya ini, itu pun susah sangat ke Raqim nak tunaikan?

"Abang ke dapur. Nak tolong ayah. Makan bubur ni nanti." Raqim malas nak panjangkan cerita. Dia bukan mahu mengelak, tapi seperti yang dia katakan tadi, siapa dia nak mengatur itu dan ini kalau belum sampai waktunya ALLAH nak beri mereka rezeki.

SESI membawang Inas malam itu disertai ke empat-empat puteri Encik Tarmizi yang lain. Duduk di dalam bilik paling hujung, bilik cucu-cucu yang agak luas untuk mereka berhimpun malam itu.

Kenduri pun dah selesai lepas asar tadi, jadi dapatlah mereka berehat awal sedikit malam ini. berkumpul, melepaskan rindu bila sudah berbulan tak berjumpa.

Masing-masing tak sekecoh selalu. Semua dalam mood mahu menjaga hati. cakap pun nak berkias dan berbisik. Inas perasan si kak long dah mula menyenggol siku si angah. Tak kurang kak uda yang berdecit bila pinggulnya diketil si kak ngah.

Macamlah Inas tak tahu, macam-macam persoalan yang berlegar di fikiran tiga kakaknya ini. Cuma dia yang buat-buat tak faham. Tak nak mulakan dulu cerita sebab bagi Inas dia tak ada simpan apa-apa cerita pun.

"Kenapa senyap? Selalunya mulut masing-masing macam pungkok ayam." Tubuh sendiri Inas peluk. Geram pula dia bila masing-masing macam kura-kura dalam cengkerang.

My Dear Puan IsteriWhere stories live. Discover now