#3

4.6K 124 1
                                    


NOMBOR telefon Adam didail dengan berat hati. Hajat emak sudah ditunaikan. Kini, Adam perlu diberitahu. Takut pula dimarah emak kerana tidak memberitahu Adam.

Hati jengkel dengan sikap abang nan seorang. Kalau bukan kerana emak, tidak ingin dia memberi sesen pun kepada abang yang tidak bertanggungjawab itu.

"Hello." Suara Adam menyapa di hujung talian. Ceria benar suara itu. Bagai sudah tahu apa yang bakal disampaikan.

"Along, aku dah masukkan duit dalam Maybank kau," beritahu Hans kasar. Tidak kuasa untuk berlembut dengan abangnya. Mereka berdua tidak pernah sebulu. Pantang berjumpa. Bercekau sahaja kerjanya. Ada sahaja yang hendak digaduhkan.

"Macam nilah adik along. Baru along sayang," ujar Adam selamba. Beginilah reaksi Adam bila mendapat duit. Benci benar dia dengan gelagat si abang.

"Huh, tak payahlah kau nak berlakon. Macam biasalah aku masukkan. Tak lebih tak kurang," balasnya mendatar.

"Okey, adikku sayang. Yang penting kau masukkan duit dalam akaun abang kau ni," ujar Adam disulam tawa besar. Sangat menjengkelkan.

"Tak kuasa aku nak melayan kau, long. Menyampah," ujar Hans lalu dipicit butang merah mematikan talian. Bengang.

Lagi lama dia bercakap, lagi sakit hati dibuatnya. Terletus keluhan di bibir mengenangkan nasib diri. Kenapa dia seperti dianaktirikan oleh emak dan ayah sendiri?

Hendak dikata dia bukan anak kandung mereka, sudah terbukti pada sijil kelahiran. Dia sering tertanya-tanya sendiri. Hanya satu jawapan yang pasti. Dia tidak secantik abang dan adiknya. Namun tegakah seorang ibu yang mengandungkannya selama sembilan bulan, melahirkan dengan penuh keperitan, membencinya hanya kerana paras rupa?

Adam tidak dinafikan punya rupa paras yang memukau hati mana-mana gadis yang memandang. Wajah kacukan milik Adam sering menjadi umpan untuk memancing si gadis. Ditambah pula dengan susuk tubuh tinggi lampai dan sasa. Sekali pandang boleh jatuh cinta pandang pertama. Mulut manis Adam menjadi pelengkap segalanya. Semua orang boleh cair padanya.

Adam juga bijak menggunakan kelebihan itu untuk memastikan segala hasratnya tertunai. Siapa yang mampu membantah kata-kata Adam kalau bukan Hans? Hanya dia yang nampak segala keburukan Adam. Sayangnya, dia tidak mampu membuktikan apa-apa pada sesiapa pun. Lalu mulutnya terkunci rapat.

Puan Amina pasti tidak akan percaya apa yang keluar dari mulut anak yang tidak disukai. Masakan Puan Amina akan mempercayai Hans lebih daripada anak kesayangannya.

Adik bongsunya, Hannedda juga dianugerahkan dengan rupa paras yang mampu membuat lelaki tergila-gilakannya. Ramai jejaka di kampung saling bergaduh demi merebut perhatian Hannedda.

Hanya Hans yang dipandang sepi. Tenggelam dalam kecantikan Hannedda. Antara mereka tiga beradik, hanya Hans yang tidak mengikut kecantikan emak dan ayahnya.

Dia akur dengan ketentuan Ilahi. Dia mungkin tidak cantik tetapi dia dikurniakan dengan akal yang lebih cantik daripada kebanyakan orang. Nyata Tuhan itu adil. Mungkin dia memberikan kekurangan pada paras rupa namun ditutup pula kekurangan itu dengan kelebihan akal fikiran. Entah gen siapa yang dikutipnya. Mungkin mengikut jejak datuk dan nenek agaknya.

Adam tidak sepandainya. Sudahlah tidak bijak, pemalas pula. Sudah berusia dua puluh lima tahun, masih lagi terkial-kial untuk menghabiskan diploma di Politeknik Merlimau.

Dek kerana keputusan SPM yang teruk, Adam tidak mendapat tempat di IPTA. Untuk ke IPTS pula keluarganya tidak mampu. Lalu dia hanya duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa. Jangankan hendak keluar mencari kerja, menolong di rumah langsung tidak.

Setelah dibambu oleh pak lang, abang ayah mereka, barulah Adam menyambung pelajaran di peringkat diploma jurusan IT. Itupun setelah berkali-kali memohon. Kalau tidak hanya makan tidur di rumah. Bagaikan bos besar pula lagaknya. Dasar pemalas!
💞
💞
WAWA yang sedang mengenakan tudung di kepala mengerling ke arah Hans yang sedang sibuk melayan kartun Bleach di laptop. Yati dan Beton sudah lama menunggu di tingkat bawah untuk pergi makan di dataran Cendekiawan.

"Kau tak lapar ke, Hans?" Soalan Wawa itu ibarat angin lalu. Langsung tidak menyapa pendengaran Hans yang sedang khusyuk menghayati kartun.

"Khusyuk ke pekak budak ni?" omel Wawa geram.

"Kau kutuk aku ke?"

"Dengar pulak kalau orang kutuk. Kalau aku tanya baik-baik tak pulak kau dengar," tempelak Wawa geram.

Hans sudah tersengih-sengih. Kepala yang tidak gatal digaru-garu perlahan. Tidak pula dia perasan Wawa sedang bercakap dengannya.

"Kau cakap dengan aku ke? Aku ingat kau cakap dengan Yati ke Beton," ujarnya mendatar. Mata sudah kembali tertancap pada skrin laptop. Dia langsung tidak perasan riak wajah Wawa yang sudah seperti mahu meletup saat itu.

"Cuba kau tengok baik-baik dalam bilik ni. Tengok betul-betul," tekan Wawa. Wajah yang putih melepak itu sudah memerah geram. Geram dengan perangai selenga kawannya itu. Macam mana kawannya itu boleh menjadi pelajar terbaik pun dia tidak faham.

Mendengar kata-kata Wawa itu, Hans memandang sekitar bilik.

"Dah puas kau tengok? Kau rasa siapa lagi yang ada dalam bilik ni selain kau dengan aku?" Baru Hans tersedar yang Yati dan Beton sudah tiada lagi di dalam bilik. Pelik. Bila masa pula mereka menghilangkan diri pun dia tidak sedar.

"Sejak bila diorang dah master ilmu ghaib ni? Aku tak sedar pun bila diorang hilang," jujur Hans berkata.

"Kau memang, kalau layankan kartun memang tak ingat dunia. Langsung tak sedar apa jadi. Agaknya kalau jadi gempa bumi pun kau tak sedar," sindir Wawa.

"Syok sangat."

"Macam budak-budak," selar Wawa masih lagi terkial-kial membetulkan tudung di kepala. Setiap kali keluar sudah menjadi kebiasaannya dimarahi teman-teman kerana lambat siap. Semuanya kerana tudung tidak jadi.

"Kau ni betul tak lapar? Jomlah pergi makan kat Cende," ajak Wawa masih tidak puas hati.

"Kau pergilah. Aku tak lapar pun. Lagipun aku tengah diet sekarang ni. Dah rasa mengah bila naik tangga," ujar Hans sekadar mencipta alasan. Padahal sedari tadi perut sudah berkeriuk meminta makanan. 'Sabar ya anak-anak cacing. Kejap lagi kita makan biskut,' bisiknya lirih.

Hans yang hanya memakai singlet biru muda dan berseluar pendek hitam menampakkan susuk tubuh yang ramping dipandang Wawa lama. Dari atas ke bawah diteliti habis.

"Diet? Perlu ke? Lainlah aku ni yang gedempol." Sungguh dia tidak faham akan gelagat manusia. Yang kurus nak berdiet, yang gemuk macam dirinya tidak pula terfikir semua itu.

"Alah, dah nak buat macam mana bukan aku yang lapar. Kau lapar, kau kenalah makan. Aku rasa Yati dengan Beton mesti dah menyumpah-nyumpah kau kat bawah. Dah lama diorang tunggu kau siap," kata-kata Hans itu membuatkan Wawa mengambil handphonenya di atas katil. Dilihatnya sudah ada sepuluh panggilan tidak dijawab.

"Alamak, mati aku kena bebel. Panjang bebel Yati nanti. Aku gerak dulu."

Hans hanya tersenyum melihat Wawa yang kalut menuruni tangga. Wawa...Wawa...

Dia menutup pintu yang tidak sempat ditutup oleh Wawa. Perut yang sedari tadi meronta meminta makanan perlu diisi segera. Ditarik laci meja di mana dia menyimpan semua stok biskut. Dia hanya menjamah nasi sehari sekali sahaja. Di sebelah malam hanya biskut menjadi menunya.

Dia perlu berjimat tidak seperti orang lain. Elaun MARAnya sudah separuh diberikan kepada Adam. Kalau Adam tidak mengacau duit elaunnya, dia tidak perlu mengikat perut begini. Bibir hanya mampu tersenyum hambar sambil mengunyah biskut tiger mengenang nasib diri. Dugaan...

Hanya Padamu, HannissaWhere stories live. Discover now