#8

2.1K 96 2
                                    

READY STOK @0175003365

SUDAH hampir empat bulan dia tidak menjejakkan kaki di halaman rumah keluarganya. Cuti pertengahan semester yang lalu pun dia tidak pulang kerana mengikuti aktiviti perkhemahan di Gunung Ledang.  Kali ini dia pulang demi meminta restu sebelum peperiksaan akhir semester.

Semuanya masih seperti biasa. Perasaan rindu tidak terungkap kerana dia tidak dialu-alukan di sini. Hans menghirup udara segar kampung yang menghijau indah. Masih belum tercemar. Nyaman dan damai.

Dia ibarat gadis berwajah tembok. Tidak tahu malu. Masih lagi pulang walaupun kehadirannya tidak diperlukan. Datang tidak dipanggil. Sememangnya dia anak yang tidak tahu malu.

Dia tidak kisah dianggap begitu. Merindui emak dan ayah buatnya tetap pulang. Salahkah kiranya dia membuang malu itu demi untuk menemui emak dan ayah sendiri?

Hari sudah hampir kelam. Perlahan-lahan Hans mengetuk pintu rumah yang sudah agak usang itu. Suatu hari nanti dia akan menyediakan tempat tinggal yang lebih baik dari ini untuk emak dan ayah.

Lama dinanti, tiada pula menunjukkan apa-apa tanda ada orang di dalam rumah. Lalu diketuknya lagi. Kali ini lebih kuat lagi.

"Assalamualaikum...."

Lama menanti, akhirnya terdengar juga derap tapak kaki melangkah menuju ke pintu. Wajah emak sudah terjengul di balik pintu. Melihatkan Hans yang berdiri di hadapannya, serentak itu juga wajah Puan Amina berubah keruh.

"Huh, kau rupanya," dengus Puan Amina jelas tidak suka.

Hans tersenyum tawar. Seperti yang dijangka, Puan Amina tidak suka dengan kepulangannya. Hans menghulurkan tangan menyalami tangan Puan Amina. Malang sekali huluran itu tidak bersambut.

Tanpa berfikir panjang, tangan tua itu diraihnya juga lalu dicium penuh kasih. Tubuh kurus Puan Amina dipeluk erat dan wajah itu dicium berkali-kali bagai tidak puas lagaknya.

"Ish... apa ni? Macam tak pernah jumpa aku pulak," tingkah Puan Amina seraya menolak tubuh anaknya itu agar menjauh. Hans masih setia menghias wajah dengan senyuman. Tidak menunjukkan riak kecewa dilayan kasar begitu.

"Mak sihat? Ayah mana? Nedda ada kat rumah tak?" 

"Ayah kau macam biasalah ke masjid. Nedda tidur rumah kawannya malam ni. Yang kau ni buat apa balik?" Berbirat hati mendengar soalan itu. Namun dia sudah lali dengan layanan Puan Amina. Sudah imun.

"Study week sekarang ni. Tu yang Nissa balik. Cuti seminggu," jawabnya lembut. Dia mengangkat beg baju terus masuk ke dalam rumah.

"Huh, buat apa balik? Macamlah tak boleh study kat sana aje. Menghabiskan beras aje balik," tingkah Puan Amina.

Dia lebih suka  Hans tidak pulang langsung. Setiap kali memandang wajah itu, hatinya menjadi panas. Hans tidak secantik anak-anaknya yang lain. Hodoh! Selekeh!

Hans masih tetap tersenyum menutup duka di hati. Sememangnya dia sudah bersedia untuk semua ini. Pulangnya ke sini umpama mencarik-carikkan hati sendiri. Dia sanggup demi menatap wajah insan yang amat disayanginya.

"Nissa balik nak mintak restu mak dengan ayah."

"Nak mintak restu apa lagi? Tak payah restu aku pun kau boleh jawab jugak."

"Mak dah makan? Kalau belum ni ada Nissa bawak balik makanan sikit." Pulut kuning kegemaran emak diletakkan di atas meja.

"Banyak duit kau, Nissa. Kalau dah banyak sangat duit tu baik kau hulurkan kat aku yang tengah sesak sekarang ni. Ada jugak boleh menolong aku. Along kau tu pun nak guna duit."

Hanya Padamu, HannissaWhere stories live. Discover now