"SERANG!"
Athran menekan punat merah yang sudah tersedia pada papan pemandu burung semberani berkali-kali. Wajahnya berkerut. Picu senjata yang berada pada bahagian luar kenderaan keluli itu mengeluarkan pancaran cahaya gemerlapan berwarna biru firus. Pancaran biru firus yang berteknologi tinggi itu lantas dihalakan tepat ke arah sasaran yakni pada jasad burung semberani berjentera pihak lawan. Paparan imej radar pada skrin berwarna hijau dengan garis-garis putih menunjukkan lokasi kedudukan burung semberani berjentera pihak lawan. Athran menunggang burung semberani berjentera yang berwarna biru langit berceloreng putih dengan nombor pendaftaran BA-07 pada permukaan burung semberani berjentera terbabit. Mata Athran dibundarkan sebesar-besarnya sebagai tanda fokus pada sesuatu kerja yang sedang dilakukannya.
Ada beberapa buah jasad burung semberani berjentera kepunyaan puak Blue Aquamarine turut mulai meninggalkan sarang warhouse masing-masing. Jasad burung semberani berjentera itu meluncurnya laju menuju ke lapisan troposfera dan ada juga yang menuruni hingga ke lapisan atmosfera, terkadang melalui ruang-ruang antara gumpalan awan untuk bersembunyi. Inilah kebijakan bersembunyi yang digelar sebagai 'teknik lindungan awan'. Orang-orang yang diburunya oleh mereka itu tidaklah diketahui bentuk rupanya ataupun kedudukan kristalnya di bahagian mana. Waima, orang-orang yang diburunya itu pula tidaklah diketahui sebab musabab mereka harus berperang sesama sendiri walaupun berpijak pada bumi yang sama. Mereka menggunakan prinsip 'Yang Menurut Perintah' sahaja. Hanya melalui perbezaan celoreng warna badan pada jasad burung semberani berjentera masing-masing yang memisahkan ketiga-tiga puak ketumbukan terbabit. Kalau mereka berselisih di awangan, maka dilepaskanlah pancaran cahaya yang berbagai warna tetapi tetap mengundang bahaya.
Ada secebis kegeraman dan rasa ingin memenangi perlawanan itu. Dengan sepenuh hati dan perasaan teruja yang memuncak, dia dengan bersungguh-sungguh menumpaskan satu persatu burung semberani berjentera perang pihak lawan walaupun burung semberani berjenteranya itu sedang mengalami sedikit kerosakan di bahagian enjin pada sebelah kiri. Lampu amaran pada pepapan pemandu mulai berkelip-kelip. Daripada pantulan cermin sisi belah kiri, Athran dapat melihat sedikit gumpalan asap berwarna kelabu cerah yang berkepul-kepul pada belah kiri enjin burung semberani berjenteranya itu. Asap yang berkepul-kepul itu kemudiannya semakin lama semakin bertukar menjadi warna hitam.
Dia tahu lawannya bukanlah calang-calang ketumbukan. Dia juga tahu lawannya juga terdiri daripada pelbagai latar belakang dan juga kemahiran yang tak terbanding dengan dirinya. Ada yang berpangkat sarjan perang, ada juga yang berpangkat komander, tidak sedikit pula yang berpangkat 'heavyweight'. Pengalaman dan ilmu pengetahuan berkenaan peperangan ini sudah semestinya mudah ditelah. Buku 'Seni Peperangan' hasil tulisan Sun Tzu semestinya sudah dikunyah lalu dihadam oleh golongan senior ini. Namun, berbekalkan sumber kekuasaan kristal biru Aquamarine, mereka percaya semangat kebersamaan dan percaturan yang tepat ini mampu menewaskan puak Penentang Jingga Topaz Union dan juga Puak Penyelaras Emerald Hijau.
Semasa Athran sedang sibuk menekan punat butang dan berada pada posisi menyerang, tiba-tiba sahaja sepasang anak matanya yang terbundar besar itu terpana oleh kejelitaan wajah serta keanggunan susuk tubuh seseorang. Aura kejelitaan makhluk ciptaan tuhan yang satu ini terlihat daripada salah satu burung semberani berjentera puak Penentang Orange Topaz. Entah muncul daripada manakah perasaan ini, hatinya tiba-tiba sahaja dicampakkan dengan perasaan berdebar tatkala melihat sosok jiwa yang satu ini. Jiwanya dirasakan mulai berbunga mekar dengan bibit-bibit yang dirasakan cinta pandang pertama mulai menerpa. Serangan demi serangan daripada picu senjata burung semberani berjenteranya terhenti secara tiba-tiba. Jantung Athran bagai berderap kencang ketika kedua organ matanya mulai terpandangkan sosok kejelitaan seseorang yang kenit dan comel. Insan yang satu ini kelihatannya sedang bertarung dengan burung semberani miliknya. Tetapi sayangnya gadis genit itu berketurunan puak Penentang Orange Topaz Union.
YOU ARE READING
Riwayat Caturdasa : Cyberlord of the Chips
FantasyPengembaraan seorang pemuda bernama Athran dalam usaha menyatukan tiga bangsa yang kerap bertelagah demi memenangi peperangan 'Cyberlord of the Chips' dalam menentang robot AI yang memberontak. Cover by : @Abyss-of-Crazy