"AWAK tak apa-apa?" Athran seakan-akan mendengar satu punca suara yang berulang-ulang tetapi tidak dikenali.
Lembut sahaja bunyinya. Gema intonasi suara itu pula berada sayup-sayup dari kejauhan. Semakin lama, punca suara itu semakin mendekat. Kedengarannya seperti seseorang yang sedang berbisik di antara hujung terowong dan dapat didengari di hujung terowong yang satu lagi. Suara lembut penuh gemalai itu bisa merobek sukma sesiapa sahaja yang mendengarkannya. Lembut serta cukup menggoda jiwa.
Pada masa yang sama, kedengaran juga bunyi derapan tapak kasut yang sedang bergesel dengan butir-butir pasir. Sesekali, bunyi derapan itu diselang-selikan dengan bunyi kenyaringan angin yang berhembus pada permukaan pasir lalu menghasilkan gumuk pasir. Derapan tapak kasut terbabit yang bergesel dengan butiran pasir pantai di Permatang Tengah Lautan telah menghasilkan seakan sumber gema yang cukup nyilu tetapi sedikit menenangkan. Gema derapan yang bergesel pasir itu beralun-alun gelombangnya, apalagi gumuk-gumuk pasir yang terbentuk itu turut disepak oleh derapan kasut itu. Semakin lama, bunyi itu juga semakin mendekat ke arah Athran.
Kelopak mata Athran yang lebam dibahagian kiri cuba dibuka perlahan-lahan. Telinganya yang berbentuk tirus meruncing itu digerak-gerakkan bagi mencari sumber suara mulus bak buluh perindu itu. Bahagian mulut dan bibirnya sudah terobek sedikit akibat terhentak pada papan pemuka pemandu semasa proses pendaratan yang agak keras tadi. Ada sedikit kesan darah mengalir pada bahagian bibirnya. Bahagian pipinya pula tergarit sedikit dengan cebisan rangka bangkai burung semberani berjenteranya sehingga memperlihatkan luka-luka garitan seperti dicakar haiwan berbulu.
Bahagian kaki kiri Athran masih tersepit di celahan tempat duduk burung semberani berjentera yang terhempas itu. Kaki kirinya dicengkam oleh bahagian bawah badan burung semberani berjenteranya yang berlekuk dengan serpihan besi yang sudah ranap ketika proses pendaratan tadi. Asap putih berkepul-kepul masih menyelubungi bahagian enjin burung semberani berjenteranya itu. Mujur sahaja burung semberani berjentera itu tidak meletup. Jikalau tidak, pastinya jasad badan Athran sudah lagi tidak bernyawa lalu dihantar oleh Sang Pencipta ke dunia abadi.
Daripada kejauhan, kelihatan bayang-bayang seakan-akan susuk tubuh seseorang yang sedang menuju ke arahnya. Athran seakan-akan sedang melihat logamaya yang dilatari pemandangan padang pasir yang panas terik. Imej seseorang yang sedang mengharungi fenomena logamaya - imej sesuatu objek jauh yang bergegar-gegar ke kiri dan kanan pada pandangan mata Athran. Fenomena Logamaya merupakan sejenis fenomena optik semulajadi yang mana sinaran cahaya dilenturkan untuk menghasilkan gambaran objek jauh atau langit yang palsu. Semakin lama, bayang-bayang logamaya berupa seorang gadis genit itu semakin jelas.
Semakin mendekat dengan bangkai burung semberani berjentera Athran, wajah gadis itu juga semakin jelas dan nyata. Gadis genit itu mempunyai sesungut pendek dan kecil pada kedua belah kening. Anak matanya yang sedikit sepet, bertelinga runcing, kulit mukanya yang putih dan mulus, namun rambutnya diikat secara ikal mayang lalu menampakkan warna keoren-orenan. Pada bahagian dada gadis itu, terlihat sebentuk kristal Oren yang bersinar. Gadis genit itu juga dilihat sedang mengalas sebuah beg yang mempunyai tanda bulan sabit merah.
"Si..si....siapa kau?" Athran menyoal gadis misteri di hadapannya. Tangannya calar balar akibat terkena serpihan bangkai burung semberani berjentera perangnya dengan permukaan pasir tadi. Athran sempat menjeling seketika di luar tingkap burung semberani berjenteranya yang sudah terkopak. Kelihatan tubuh rakan-rakannya. Ada yang sudah bergelimpangan tidak jauh daripada tempat Athran terhempas, ada juga yang sudah rentung di kerusi burung semberani berjentera masing-masing tetapi masih boleh dicam pada kristal biru di dahi, dan ada juga hanya tinggal jasad tanpa roh.
YOU ARE READING
Riwayat Caturdasa : Cyberlord of the Chips
FantasyPengembaraan seorang pemuda bernama Athran dalam usaha menyatukan tiga bangsa yang kerap bertelagah demi memenangi peperangan 'Cyberlord of the Chips' dalam menentang robot AI yang memberontak. Cover by : @Abyss-of-Crazy