1 | D R A M A K O R E A ?

372 19 7
                                    

RAISYA mengheret bagasi besar berjenama Polo sehingga ke hadapan pintu rumah. Wajah dikalihkan ke belakang dan dia memandang ke seluruh pelosok rumah. Perasaan sebak terus menjentik tangkai hatinya.

" Adik," Panggil Hazziq, lembut.

Bahu kiri Raisya ditepuk untuk menyedarkan adiknya daripada lamunan. Dia menggeleng sedikit sambil tersenyum simpul apabila melihat Raisya jauh mengelamun.

" Umi dengan babah dah tunggu dekat kereta. Adik gi cepat."

Hazziq merampas pemegang bagasi daripada tangan adiknya dan dibawa ke luar rumah. Dia kemudiannya menarik tangan adiknya yang masih tercegat di muka depan pintu dengan muka bingung.

" Gi cepat. Angah nak kunci pintu dulu ni."

Raisya tersengih. Dia menyarungkan kasut kulit sekolahnya yang berwarna hitam sebelum berlalu dari situ dan menuju ke arah kereta Toyota Vellfire di halaman rumah. Pintu ditarik dan dia membawa dirinya masuk ke dalam kereta. Dia melabuhkan duduk di sebelah ibunya.

" Fail daftar adik dah bawa?" Soal Puan Husna. Sekotak air susu full cream dihulurkan kepada Raisya.

Raisya mengangguk sebelum menyambut huluran ibunya dengan senyuman manis. Terselah sepasang lesung pipit di pipi mulusnya.

" Jangan risau. Babah dah letak kat belakang susu yang along beli dekat dalam bonet. Babah campurkan yang low fat dengan full cream." Ujar babahnya pula.

Raisya tergelak halus. Macam tahu-tahu sahaja keperluan seharian dia. Sehari tak minum susu memang dirasakan tidak lengkap hidupnya. Sebab itulah abang sulungnya, Hazriq sanggup melabur banyak duit untuk membeli beberapa kotak susu sebagai stoknya nanti.

" Suka sangat susu. Kalau sehari tak minum memang tak boleh hidup ek? Susu ke oksigen lagi penting untuk hidup? And, adik ada keturunan vampire ke? Nampak macam addicted sangat dengan susu." Sampuk abang keduanya, Hazziq dengan bertubi-tubi soalan.

" Sibuk je dia. Biarlah." Raisya menjeling abangnya. Jauh benar perangai dengan abang sulungnya, Hazriq yang sentiasa lembut bicara. Angahnya ini dahlah perangai tak semengah, kasar pula tu. Ada je dia nak cari topik untuk berperang mulut dengan Raisya.

" Dah dah. Haa tunggu apa lagi. Jomlah cepat gerak. Kalau lambat nanti jammed pula." Cepat-cepat Encik Hisyam menghentikan perbualan anaknya yang sudah ada unsur perbalahan. Bukan apa, dia malas nak mendengar gelak kejam Hazziq bila dapat mengusik adiknya.

Dengan bacaan bismillah, Hazziq memusing stereng kereta. Dia mula memfokuskan fikirannya kepada pemanduan.

Raisya hanya diam membatu sepanjang perjalanan. Dia risau dan sangat takut sekarang ini. Macam mana dia nak hidup dekat sekolah barunya nanti? Sekolah tersebut dahlah sekolah yang terkenal di seluruh Malaysia kerana keputusan para pelajarnya yang cemerlang. Mampukah dia untuk terus bertahan?

" Adik, bangun. Kita dah sampai ni." Lembut sahaja bicara Puan Husna dalam mengejutkan anaknya yang lena di lengannya. Kepala anaknya yang dibalut tudung putih diusap penuh kasih sayang.

Raisya mencelikkan matanya. Dia mengusap sedikit matanya sebelum pandangannya dikalihkan ke luar tingkap kereta. Tanpa disedari, mulutnya sudah ternganga luas tanda penuh kekaguman. Pintu pagar utama sahaja dah begitu cantik apatah lagi dalamannya. Betulkah ini sekolahnya?

Laluan utama yang ditumbuhi pokok tinggi melangit di bahagian kiri dan kanan. Dua buah padang yang dipenuhi rumput menghijau menandakan tanah yang subur. Suasana kabus pagi yang melitupi blok-blok yang salah satunya mempunyai tulisan berwarna emas iaitu Wisma Bitara. Ya Allah, ini sekolah ke universiti swasta?

That HeadprefectWhere stories live. Discover now