SEPERTI kisah yang selalu didongengkan dalam drama atau novel melayu, begitulah juga kisah aku. Sangat klise tapi cukup rencah.
Aku, Megat Akeef, yang diminta untuk mengahwini perempuan yatim piatu pilihan mama sedangkan waktu itu, aku sudah ada Mimie, pilihan hati yang sangat aku sayang.
"Mama kandungkan Akeef selama sembilan bulan sepuluh hari. Besarkan Akeef dari sekecil tapak tangan sehinggalah sebesar sekarang ni. Takkan permintaan mama yang satu ini pun Akeef tak boleh tunaikan?" Itulah ayat mama yang buatkan seluruh urat saraf aku jadi lemah. Ayat yang buatkan aku tak mampu nak kata tidak.
Tapi, dalam aku bersetuju depan mama tu, senyap-senyap aku gunakan talian hayat untuk membuatkan rancangan mama itu gagal. Aku call perempuan pilihan mama tu dan minta dia bantah. Aku suruh dia tolak.
"Kau tolong cakap yang kau tolak dan tak setuju kahwin dengan aku." Aku racun dia melalui panggilan telefon. Nombor telefon dia, aku minta dari mama, konon nak berbincang. Walhalnya, nak bagi racun serangga.
Dia diam lama. Tak tahulah apa yang dia sedang fikir. Yang penting apa yang aku fikir sekarang ni, aku nak rancangan tu gagal.
"Saya ingat awak setuju. Nek Yong dah tetapkan tarikh dan dah mulakan persiapan. Banyak yang dah ditempah." Dia bersuara setelah terdiam lama.
Perlahan saja suaranya tapi, aku punya lompat dari kerusi yang aku duduk bagaikan dia menjerit dengan tone suara penyanyi rock.
"Kita tak pernah bercinta kan? Ke aku yang hilang ingatan?" Aku tanya dia gaya menyinis. Geram punya pasal.
Tapi dia diam tak berkutik.
"Macam mana kau boleh ingat aku setuju kalau kita tak pernah bercinta? Kau ingat ni cerita dongeng zaman purba ke? Orang suruh kahwin, setuju jer macam lembu kena cucuk hidung." Roh setan dah merasuk mendorong aku membebel panjang. Walhal aku bukanlah jenis yang suka cakap banyak.
"Aku dah ada pilihan sendiri. Mana aku nak letak dia kalau aku kahwin dengan kau? Aku tak kira, kau kena cakap juga dengan nenek kau tu kata kau tak setuju. Kalau tak, aku akan pastikan hidup kau huru hara jika kahwin dengan aku."
Memang aku tahu tak sepatutnya aku bercakap kasar begitu. Confirm dia sentap. Tak pernah dalam hidup aku kurang ajar dengan perempuan macam ni. Inilah pertama kalinya. Betullah roh setan dah merasuk dalam tubuh aku.
"Awak cakap sendirilah dengan Nek Yong." Lama kemudian baru dia bersuara. Telinga kau tak dapat kesan apa-apa kelainan pada suaranya. Nadanya tenang macam biasa, seperti mula-mula dia jawab salam aku tadi.
"Kalau aku boleh cakap, baik aku cakap terus. Tak perlulah aku rugikan bil telefon call kau." Marah yang tak dapat dikawal, aku terus putuskan talian. Memanglah kurang ajar, tapi kalau dah marah, mana nak fikir soal kurang ajar atau terlebih ajar.
Nek Yong ni pun satu, kenapa nak cepat sangat. Atau ada apa-apa yang aku tak tahu? Kut la aku ni nak dijadikan kambing hitam. Mana tahu cucu kesayangannya tu dah ditebuk tupai ke, nak aku jadi pak sanggup. Ini lagi haru.
Nek Yong tu, nenek angkat perempuan tu, merangkap nenek aku belah mama. Bukanlah nenek betul pun tapi nenek tiri sebab tok ayah aku dulu kahwin ramai. Tapi, walau nenek tiri, Nek Yong ni lah yang bela mama dan adik-beradik mama yang lain sebab ibu mama meninggal usia muda dan masa tu mama masih kecil.
Jadinya, setiap kali hari raya atau ada keduri kendara, rumah Nek Yong itulah tempat kami berkumpul. Aku suka jer sebab rumah Nek Yong ni letaknya kat Brinchang, Cameron Highland sana. Sejuk!
Berbalik pada kisah aku ni pula, racun yang aku nak bagi tu tak menjadi. Sudahnya, aku terpaksa juga akur yang aku harus menjadi suami pada perempuan itu. Perempuan yang bernama Hanna Amiera.
Serius, aku kenal nama penuh dia pun sebab terpaksa hafal untuk majlis akad nikah. Kalau bukan aku yang patut lafaz akad, harus aku tak peduli pun nama dia apa.
YOU ARE READING
MEMANG SALAH DIRIKU
RomanceSalah siapa kalau diri sendiri yang memilih? Tak ada yang lebih sempurna dari aturan Tuhan untuk kita sebagai hambanya. Takdir dan jodoh itu milik DIA, jangan sesekali merasa diri sempurna untuk mengambil alih tugasNYA. Megat Akeef tidak pernah mahu...