BALIK ke Cheras, aku terus tinggalkan Hanna di rumah dan keluar jumpa Mimie. Sebelum tinggalkan dia, aku sudah beritahu dia pasal rumah tu.
Itu adalah rumah aku yang aku beli dengan hasil titik peluh sendiri. Rumah Semi D dua tingkat dengan lima bilik tidur tu enam bulan siap dan baru lagi aku pindah. Masa beli tu, niat aku memang nak kahwin dengan Mimie dan bawa Mimie tinggal di situ. Mimie pun dah beberapa kali datang dan sukakan rumah tersebut.
"Aku nak keluar, tak tahu pukul berapa balik."
Sebelum keluar, macam-macam pesanan aku berikan. Aku suruh dia duduk di bilik atas, berdepan dengan bilik aku. Senang kalau keluarga aku datang melawat, boleh punggah barang dia masuk bilik aku.
Penyakit aku pula, bila keluar dengan Mimie, macam lupa jalan pulang. Melayan kerenah manja Mimie, duit dalam poket terbang pun aku tak kisah.
Sampai ke malam, baru aku teringat yang Hanna kat rumah tu aku tinggalkan tanpa sebarang makanan.
"Alaaa... awal lagi. Takkan dah nak balik." Mimie Merengek bila aku kata nak kena hantar dia sebab aku nak balik. Risau juga kang yang kat rumah tu mati kebulur. Apa aku nak jawab dengan mama dan Nek Yong.
Sebelum ni kan aku tinggal bujang, tak kisah balik pukul berapa. Kat rumah tu pula memang tak pernah masak, langsung tak ada bekalan.
"Esok I cuti lagi. Kita jumpa esok. I penat ni, drive all the way dari Cameron." Aku cuba beri alasan.
"Alah, bukan tak biasa drive jauh." Mimie mengomel dan kemudian dia berpusing ke arahku.
"You jangan cakap dengan I yang you nak balik sebab perempuan tu ada kat rumah."Suara Mimie sudah berubah nada. Tak tahu nak cakap nada macam mana tapi kedengarannya penuh dengan cemburu.
"Tak laaa... I tak kisah pun dengan dia. Betul I penat."
"Betul ni?" Mimie masih mahukan jaminan.
Berkali-kali aku mengangguk meyakinkan dia. Tak tahu lah macam mana lagi aku nak cakap kat Mimie yang hati aku ni memang tak nak Hanna.
"Sayang, apa kata kita kahwin kat oversea dalam masa terdekat ni. Tak payah cakap dengan sesiapa dulu. Macam main sembunyi-sembunyi la. Bila you dah ceraikan perempuan tu, baru kita beritahu keluarga. " Tiba-tiba Mimie beri cadangan mengejutkan aku.
Sebelum ni, bila aku ajak kahwin, dia minta tempoh lagi dua tahun. Sebab dia sayangkan kerjayanya sebagai peramugari. Aku dah beri syarat, kalau kahwin dia kena cari kerja lain. Aku tak nak asyik ditinggalkan.
Sebab dia minta tempoh itulah aku belum bawa dia jumpa keluarga aku lagi. Mana tahu tiba-tiba mama minta aku kahwin dengan Hanna.
Pelik pula aku bila Mimie ubah fikiran ajak kahwin cepat. Kalau dari dulu dia buat keputusan begini, agaknya sekarang ni kami dah kahwin dan hidup bahagia.
Kalau ikut plan asal masa nak kahwin dengan Hanna hari tu, tempoh dua tahun tu sempat la aku adjust mana yang patut dan cari alasan, berpisah dan kahwin dengan Mimie.
Tapi cadangan Mimie yang tiba-tiba ni macam agak rumit. Kahwin sembunyi-sembunyi tu bukan mudah macam dalam drama atau novel melayu.
"Sayang! You dengar tak niiiii...." Mimie goyang lengan aku sambil merengek manja.
"Ya, dengar. Nantilah, otak I tengah letih. Kita bincang lain kali." Aku pilih jalan selamat agar Mimie tak merajuk. Aku paling lemah kalau bab nak memujuk dia merajuk. Jenuh nak beli hadiah mahal-mahal.
Nasib baik Mimie tak merengek lagi bila aku beri jawapan begitu. Terus senyap dan lentokkan kepalanya atas bahu aku. Dia ni tak kira aku tengah memandu ke apa, asyik nak bermanja saja.
Lepas hantar Mimie, aku bungkuskan makanan ketika memandu pulang. Tiba di rumah, Hanna tunggu aku depan pintu.
"Awak dah makan?" Dia tanya aku dulu sebelum sempat aku buka mulut. Buat seketika, aku tak tahu nak cakap apa.
Yalah, dia pastinya belum makan apa-apa sejak tengah hari tapi masih nak tanya aku dah makan atau belum. Atau, dia memang nak 'bahasakan' aku untuk beritahu yang dia belum makan disebabkan dan nak salahkan aku?
"Aku dah makan. Ni aku bungkuskan kau makanan." Aku hulurkan bungkusan makanan yang terpegang di tangan dan berlalu ke ruang tamu setelah makanan tersebut berpindah ke tangannya.
Seketika rehat di sofa, aku bangkit untuk naik ke atas tapi tiba-tiba saja langkahku melencong arah menuju ke dapur. Saja mahu mengintai apa yang dia buat di dapur, senyap dari tadi.
Dan dari balik dinding, aku nampak dia sedang makan penuh fokus. Nasi goreng yang aku beli sudah hampir licin di pinggan. Pastilah dia kelaparan. Yalah, dari rumah aku ni, kalau nak keluar cari makanan, perlukan kenderaan. Tak ada kedai yang berdekatan.
Separuh dari hati aku jatuh kasihan melihat dia yang macam orang kebulur tu tapi yang separuh lagi kata 'Ah! Baguslah tu. Biar dia tak tahan hidup dengan aku dan dia sendiri undur diri.'
Tak jadi masuk ke dapur, aku berundur dan panjat tangga naik ke bilik.
Cari tuala untuk mandi, tak jumpa. Biasa aku sangkut pada penyangkut tepi pintu bilik air, tapi kat situ kosong. Bakul baju kotor pun tak ada kat tempat biasa.
Aku toleh ke arah dressing table sebelah kiri yang bersambung dengan wardrobe, nampak tersusun rapi. Dia masuk bilik aku ke?
Kaki terus melangkah ke ruang tepi warddrobe yang aku ubah suai jadikan tempat aku buat kerja. Meja yang sentiasa bersepah itu nampak kemas tersusun.
Tapi, hati aku bukan memuji sebaliknya jadi geram. Berani sungguh dia masuk bilik aku tanpa kebenaran dan usik barang-barang aku.
Pantas saja aku keluar dari bilik dan turun semula ke bawah.
"Hannaaa!!!" Kuat aku jeritkan namanya.
Sampai di anak tangga paling bawah, dia sudah berdiri tegak depan aku dengan muka terkejut. Agaknya sebab suara aku yang macam petir sampai boleh dengar hingga ke hujung taman perumahan ni.
"Kau masuk bilik aku?" Terus aku sergah dia dengan soalan.
Pantas saja dia mengangguk. Langsung tak takut mengaku. Dia ni memang jenis bebal ke atau sengaja buat-buat tak faham yang aku tengah marah?
"Saya ambil baju kotor untuk cuci dan kemas..."
"Siapa suruh??" Melengking suara aku mencantas penjelasannya. Tak bagi tahu pun aku tahu dia masuk buat apa. Tak tahu kenapa, benda kecil begitu pun, aku boleh mengamuk bagai dirasuk.
Sejak dari hari pertama mama suruh aku kahwin dengan dia, sampailah ke hari ini, apa saja yang berkaitan dengan dia memang boleh buat aku naik hantu walaupun ianya hal yang sangat kecil.
"Maaf. Saya... cuma..."
"Lain kali, kalau aku tak suruh, jangan berani masuk bilik aku dan sentuh barang aku!" Aku pintas bicaranya yang sangkut-sangkut itu.
Yang makin buat aku geram, walau cara dia bercakap tu macam orang takut-takut, walau aku sergah dengan suara macam nak telan orang, muka dia tetap cool. Tak ada pun riak takut atau riak mahu menangis.
Sebaliknya, dia hanya angguk kepala tanda faham arahan. Dan tingkahnya itu buat aku mati akal untuk marah lagi. Terus aku tinggalkan dia dan kembali naik ke atas.
YOU ARE READING
MEMANG SALAH DIRIKU
RomantiekSalah siapa kalau diri sendiri yang memilih? Tak ada yang lebih sempurna dari aturan Tuhan untuk kita sebagai hambanya. Takdir dan jodoh itu milik DIA, jangan sesekali merasa diri sempurna untuk mengambil alih tugasNYA. Megat Akeef tidak pernah mahu...