BALIK dari kerja hari tu agak lewat dan aku nampak lampu rumah gelap. Maksudnya Hanna belum balik. Pagi tadi mama ada beritahu yang dia jemput Hanna di rumah aku untuk ke rumah Al-Zaujah.
Terus aku call mama minta kepastian.
"Ya, Hanna ada kat rumah mama ni. Kami baru jer sampai. Lepas maghrib nanti mama suruh along tolong hantar."
Dengar saja ayat mama 'along tolong hantar', hati aku jadi kelabu. Lebih-lebih lagi, tadi aku ternampak facebook along posting gambar dia dan Hanna bergambar sakan dengan anak-anak rumah Al-Zaujah. Siap tag Hanna sekali.
Aku sendiri pun tak tahu akaun facebook Hanna, dia yang tahu dulu. Tadi pun, nasib baik aku ternampak nama Hanna HA yang ditag along, baru aku tahu itu nama facebook Hanna.
"Takpelah ma, Keef ke sana jemput Hanna." Mulut beri kata putus. Serentak itu, aku terus undur kereta keluar semula dari laman rumah menuju ke rumah mama.
Tiba rumah mama, Hanna tunggu depan pintu. Jaja pula menyibuk ikut sekali bergayut di lengan Hanna. Macam langsung tak boleh berenggan. Tak tahu kenapa, tengok situasi tersebut, aku jadi sakit hati. Dah la dari siang tadi hati membengkak jer tengok gambar mereka di facebook, mesra macam satu keluarga.
Sekarang ni aku jadi tak faham dengan hati sendiri. Betul-betul sakit bila tengok Hanna macam bahagia jer, macam tak terkesan langsung dengan apa yang terjadi walau aku layan dia sangat teruk. Sedang aku ni macam terseksa sungguh. Serba salah dan juga serba tak kena.
"Awak dah makan?" Hanna sambut aku dengan soalan.
Tapi sakit hati punya pasal, aku tak jawab. Terus berlalu masuk dan langkah terus ke dapur. Minta pinggan dari bibik dan layan diri sendiri makan.
Hanna kemudian datang hidangkan aku air. Muka dia tak usah cakap, macam sebelum-sebelum ni, langsung tak terkesan walau aku layan dia macam tak wujud.
Lepas makan dan solat maghrib, aku terus minta diri untuk pulang.
Ketika bersalaman dengan along, dia beri aku pesanan sentap.
"Jaga Hanna betul-betul. Susah nak jumpa perempuan istimewa macam dia. Kiranya kau lelaki bertuah."
Berkali-kali pesanan tersebut berputar dalam kepala ketika aku memandu pulang. Apa yang Hanna dah buat pada keluarga aku sebenarnya sampaikan baru sekali jumpa, along dah label dia istimewa.
Sekilas aku menoleh. Pesanan along dan tingkah mesra Hanna dengan semua keluargaku bagai menjana kuasa mencipta percikan api di hati aku.
Entahlah! Along hanya berpesan, tapi aku pula jadi panas hati.
"Lain kali kalau nak ke mana, tolong balik rumah sebelum aku balik kerja. Jangan nak jadi macam anak raja sangat nak kena aku jemput bagai. Aku ni dah la penat balik kerja, satu kerja pula nak menjemput kau." Aku lepaskan geram yang berbuku di dada. Sendiri yang cari susah pergi menjemput, Hanna yang aku jadikan mangsa amarah.
Serius, aku stres dengan situasi diri sendiri. Tak tahu aku nak marahkan apa sebenarnya. Walhal mama dah cakap yang along akan hantar Hanna, tapi aku yang tawar diri nak jemput. Sekarang, aku nak marah-marah pula dengan alasan penat.
"Maaf kalau menyusahkan awak. Tadi sebab mama kata along nak...."
"Along tak ada kena mengena dalam cerita ni." Aku matikan ayatnya di situ. Kalau ikutkan aku nak saja cakap yang aku tak suka dia rapat sangat dengan along. Sebab apa, aku sendiri pun tak tahu nak jawab.
Lama diam, dia kemudiannya buka cerita tentang lawatannya ke rumah Al-Zaujah.
"Saya suka ikut mama ke situ. Kasihan tengok anak-anak kecil tu. Tapi, nampak mereka sangat tabah dan redha dengan ujian hidup yang mereka terima." Gembira saja nadanya bercerita seolah marah aku tadi langsung tak memberi kesan padanya. Ayatnya tu macam ada sipi-sipi menyinis aku. Yalah, aku ni macam tak redha dengan ujian yang Tuhan berikan.
"Kalau mama pergi lagi, saya nak ikut, ya?" Dia sambung bicara dengan soalan.
Tapi aku diam tak membalas.
"Boleh ya, saya ikut mama lagi?" Dia seolah mahukan jawapan pasti dari aku.
"Boleh tak kau jangan semakkan fikiran aku yang dah sedia semak ni dengan aktiviti hidup kau? Kan aku dah cakap kau nak buat apa pun kau punya suka asalkan tak memalukan aku dan keluarga." Tiba-tiba saja aku jadi naik angin.
Dan lepas tu, dia terus senyap.
Sampai ke rumah, aku terus naik ke atas, mandi dan bersihkan diri.
Sebelum tidur, aku tergerak hati untuk stalk facebook Hanna sambil golek-golek atas katil. Peliknya, selama ni sebelum tidur aku suka stalk facebook Mimie. Tapi malam ni, fokus terarah pada Hanna pula.
Status Hanna baru update lima minit tadi, dia upload gambar dia dan anak-anak Al-Zaujah sedang ketawa dengan caption :
'Bahagia itu, apabila kita redha dengan setiap tulisan takdir dan faham apa makna syukur. Pun begitu, definasi bahagia antara kita mungkin saja berbeza.'
Berkali aku ulang baca ayat tersebut.
Adakah aku tidak redha dan tidak bersyukur maka aku rasa bahagia itu sangat jauh?
Entahlah!
Gambar yang Hanna upload aku besarkan untuk nampak wajah dia lebih jelas. Aku teliti satu persatu. Dia bukan tak cantik, putih licin saja mukanya. Bulu matanya panjang dan keningnya terbentuk elok. Muka dia memang tak make-up tapi nampak elok saja. Cumanya, hati aku ni tak pernah dan macam tak boleh nak suka dia. Mungkin sebab aku dah ada Mimie.
Senyum dia, nampak ikhlas. Aku tahu, dia tak pernah hidup susah pun dengan Nek Yong, tapi bila hidup dengan aku dan aku layan dia dengan teruk, dia tak pernah pun mengeluh. Itukah yang dimaksudkan dengan redha?
Ya, mungkin sebab itulah aku nampak dia seperti orang yang hidup bahagia walau hakikatnya kami ni tak pernah bahagia pun.
Dan mungkin juga, Hanna ni sedar diri yang dia ni anak dibuang keluarga dan dikutip oleh keluarga Nek Yong.
YOU ARE READING
MEMANG SALAH DIRIKU
RomansaSalah siapa kalau diri sendiri yang memilih? Tak ada yang lebih sempurna dari aturan Tuhan untuk kita sebagai hambanya. Takdir dan jodoh itu milik DIA, jangan sesekali merasa diri sempurna untuk mengambil alih tugasNYA. Megat Akeef tidak pernah mahu...