BAB 5

795 30 0
                                        

ISTIHANA hanya mendengar saja suara Deeja bergelak ketawa dengan daddynya yang sejak tadi asyik mengagah Deeja saja. Memang lelaki yang baik jika dapat bermain dengan anak sendiri sampai begitu sekali.

Dia pula, tak boleh nak jadi ibu yang baik barangkali kerana dia tidak sukakan budak-budak. Rimas apabila budak-budak asyik merengek. Telefon di atas tilam berbunyi.

"Nivi," panggil Istihana.

Nivi mengajaknya menonton wayang. Daripada jemu tak buat apa, lebih baik dia keluar. Istihana terus saja menukar pakaian. Mencalit sedikit mekap nipis ke mukanya. Disapu juga gincu berwarna burgundy ke bibirnya. Tudung pula dia hanya mengenakan tudung bawal.

Istihana berdiri di ruang depan rumahnya. Sesekali melihat telefonnya. Tidak sedar tingkahnya itu sedang diperhati Ilhan.

Istihana mendongak. Matanya bertembung dengan mata abang iparnya. Sekali lagi Istihana terkejut. Tak sedar abang iparnya itu masih ada di situ. Tak sedar juga sebenarnya Ilhan sedang memerhatikannya sejak tadi. Ketika itu juga ibu dan ayahnya pulang dari kebun. Istihana hanya memandang saja.

"Hah, nak ke mana pula tu?" tanya Puan Sofiah sinis.

Asal cuti saja nak keluar berjalan, desis hati Puan Sofiah. Matanya melilau ke atas dan bawah memandang tubuh Istihana.

"Nak keluar dengan Nivi," balas Istihana.

Berdoa agar ibunya tidak membebel. Tidak di depan abang iparnya yang baru dua hari di sini.

"Asyik-asyik nak keluar dengan Nivi. Kau tak ada kawan lain ke?" tanya Puan Sofiah.

Ya Allah, dah mula dah. Istihana gigit bibir bawahnya.

"Nivi tu baik, ibu," bela Istihana.

Tak salah berkawan dengan bangsa lain pun, asalkan hati baik. Tak semua orang Melayu baik. Senang kata tak semua manusia sempurna. Allah dah jadikan manusia ini tak sempurna. Kalau sempurna dalam semua hal, lain hal pula yang terjadi.

"Baik-baik pun kalau..."

"Piah, jangan kata macam tu. Semua manusia sama saja," sampuk Encik Ishak.

Disebabkan inilah Istihana tak pernah ajak Nivi datang ke rumahnya. Jika datang pun hanya menjemputnya dan tidak bertemu dengan ibunya. Tak mahu Nivi prejudis terhadap ibunya.

"Berkawan dengan si Nivilah asyik pakai seluar saja. Aku menyampah tengok kau pakai seluar. Serupa jantan," kata Puan Sofiah lagi. Mulutnya dijuihkan.

Tak kira tempat ibunya mahu membebel kepadanya. Ismalina yang rambutnya macam air karat itu tidak pula ditegurnya. Tapi, dia yang sentiasa menutup kepalanya, dicaci.

Kereta Surya muncul pula. Istihana berharap agar Nivi tidak keluar dari kereta. Nivi tidak keluar dari kereta, tapi Surya yang keluar. Lagilah muka ibunya itu macam udang kena bakar. Terherot-herot bibirnya.

"Pak cik," tegur Surya. Dia menyalami Encik Ishak.

"Dari mana ni?" tanya Encik Ishak.

Encik Ishak kenal dengan Surya. Kadang-kadang Surya dan Nivi selalu juga datang menjemput Istihana.

"Saya dari rumah nenek saya. Kebetulan saya kat kawasan ni, Nivi suruh jemput Isti dulu," beritahu Surya.

Istihana terus sarung sandalnya. Tak mahu ibunya kata apa-apa kepada Surya.

"Surya, cepatlah," ajak Istihana yang sudah berada di dalam kereta Surya.

Surya memohon diri. Tiga pasang mata itu memandang kereta Surya yang sudah menjauh.

JANGAN TAK BALAS CINTAKUTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang