BAB 7

871 27 0
                                    

SELEPAS seminggu, barulah Ilhan kembali ke kampung. Banyak sangat yang dia mahu uruskan. Kononnya nak buka syarikat hartanah kecil-kecilan. Walaupun nak buka syarikat kecil, jalannya tak mudah.

Melihat Ismalina yang nampak gembira bersama keluarganya, dia lega. Dia cuma menjalankan tugasnya sebagai suami untuk menggembirakan Ismalina.

Ilhan menghampiri Ismalina yang sedang mengagah Deeja yang berada di dalam strollernya.

"Semua orang kat rumah sihat ke?" tanya Ismalina. Dia senyum.

Walaupun dia teringin mahu bertemu dengan keluarga mentuanya, tapi sayang dia tidak berkesempatan. Perkahwinan mereka adalah perkahwinan rahsia. Tiada siapa pun tahu.

"Sihat." Ilhan senyum jua.

"Awak okey selama saya tak ada?" tanya Ilhan.

Dia bimbang juga. Dalam telefon, Ismalina mengatakan okey, tapi hakikatnya dia tidak tahu. Kepala Ismalina diusap-usapnya.

"Okeylah," kata Ismalina.

Dia senyum. Ah, hanya dia yang tahu betapa dia tidak dapat menahan sakit lagi. Cuba untuk kuat demi keluarganya yang tidak tahu apa-apa. Ismalina tidak sanggup untuk memberitahu hal sebenarnya.

"Kalau tak okey, cakaplah. Jangan sembunyi," ujar Ilhan.

"Ya, saya akan cakap," balas Ismalina.

Istihana keluar dari rumah. Dia duduk di kerusi luar. Memandang pasangan suami dan isteri yang sedang berbual di kerusi simen di halaman rumah. Tidak dinafikan, Ismalina dan Ilhan nampak sepadan. Macam Fazura dan Fattah Amin.

Istihana ketawa kecil. Sampai ke situ dia berfikir. Sekarang orang sibuk tentang perkahwinan mereka yang nampak simple and humble. Sampaikan dia juga selalu mengulang menonton majlis kahwin mereka.

"Dah lama balik kerja?" tanya Ilhan ketika melangkah masuk sambil mendukung Deeja.

Ilhan pandang adik iparnya itu. Mata yang dihiasi alis lentik itu dipandang tunak.

"Hmm." Istihana menggumam.

Malas nak menjawab. Memandang pun tidak ke arah Ilhan.

"Tak payah tanya dia, Han. Mulut dia bukannya ada. Nasib baik dia tak sumbat kapas dalam telinga dia. Kalau tak, apa yang kita cakap langsung tak masuk dalam kepala dia," kata Puan Sofiah yang muncul entah dari mana.

Tersentak Istihana. Sabarlah Isti. Itu ibu kau. Istihana memujuk diri sendiri. Lagipun, abang iparnya ini ada sekali. Biarlah dia yang jahat, asalkan ibunya itu tidak dilabel jahat.

"Ibu, Isti tak sempat nak menjawab lagi, ibu dah cakap dia macam tu," bela Ismalina.

Kasihan melihat Istihana. Selepas pulang ke sini, barulah dia sedar perbezaan kasih sayang yang dihulurkan oleh ibunya kepada mereka berdua. Terlalu jauh. Ibunya tak pernah bermanis muka ketika melayan Istihana. Berbeza dengan layanan ibu kepadanya.

Jika nak dibandingkan mereka berdua, Istihana jauh lebih baik kerana tinggal di sini. Tahu sakit dan demam mereka. Dia? Pulang ke sini hanya selepas dia sakit. Sakit nak mati!

Hati Ismalina kasihan dengan layanan ibunya kepada Istihana.

"Belalah dia," juih Puan Sofiah.

Istihana bangun dan menyarung seliparnya. Kalau dia di situ lagi, tentu makin mendidih telinganya. Dengan hentakan kaki yang kuat, Istihana berjalan ke kerusi simen tadi.

"Tengok tu, dia melawan dalam diam." Puan Sofiah mahu berjalan ke arah Istihana.

"Ibu, sudahlah tu," kata Ismalina.

JANGAN TAK BALAS CINTAKUWhere stories live. Discover now