BAB 2

939 27 1
                                    

"TENGOK tu, pakai baju ketat pulak hari ni," tegur Puan Sofiah di dapur ketika Istihana masuk ke dapur.

Dia mahu mengisi air ke dalam botol airnya.

Istihana pandang ke badannya. Ketat apa pula macam ni? Baju kurung moden, biasalah. Nak kata ketat sangat pun tidak. Dia pun tak selesa nak pakai ketat-ketat.

Air dari penapis air masuk ke dalam botol airnya.

"Aku dah pesan banyak kali dah supaya jangan pakai macam tu. Sebab tulah doa kau nak minta kerja lain tak dapat. Sebab tak ikut cakap aku," bebelnya lagi.

"Tak ketat mana pun, ibu. Baju kurung moden macam nilah," balas Istihana.

Kalau dia mengamuk sekarang pun tak jadi apa juga. Penyudahnya, ibunya akan cakap dia anak derhaka sebab melawan cakapnya.

"Tak ketat kau kata? Tu, cuba tengok punggung kau tu. Tertonggek-tonggek," juih Puan Sofiah.

"Apa lagi ni, Piah? Pagi-pagi buta dah membebel dekat Isti. Isti, cepatlah pergi kerja. Nanti lambat pula."

Encik Ishak kasihan dengan anaknya itu. Bebelan isterinya ini semakin melampau. Ada saja yang tak kena dengan Istihana. Padahal jika nakkan apa-apa, kepada Istihana itulah dia merungut. Dapatlah apa yang dia mahukan. Istihana tak pernah berkira dengan ibunya.

"Isti pergi dulu, ayah," kata Istihana, menyalami tangan ayahnya.

Ketika mahu menyalami tangan ibunya, Puan Sofiah menggawangkan tangannya tanda dia tidak mahu bersalam.

Malas melayan tingkah ibunya. Jika diikutkan hatinya, dia tidak mahu langsung menyalami. Tapi, itu ibunya. Mahu ataupun tidak, dia kena hormat.

Motosikalnya terus dipecut. Hanya motosikal ini saja yang mampu dia beli setakat ini. Gajinya bukannya lumayan pun. Menjadi kerani di sebuah kilang, banyak mana sangatlah yang dia harapkan. Asalkan gajinya dibayar mengikut waktunya saja dia sudah bersyukur.

"Lambat hari ni, Isti," tegur pak gad yang bernama Pak Usup.

"Lagi lima minit Pak Usup," kata Istihana terus berjalan laju ke dalam kilang. Nanti tak pasal-pasal merah pula rekodnya.

Selepas itu, Istihana berjalan ke kantin. Dia mahu membeli kuih untuk dimakan nanti. Malas nak melayan suara-suara garau yang sedang mengusiknya.

Operator di sini memang suka mengganggu perempuan. Tak kira siapa. Tambahan pula, dia yang datang dari pejabat. Jarang-jarang mereka nampak muka. Lagilah seronok mengacau.

"Amboi, cik adik manis ni, sombongnya." Suara gatal mula berbunyi.

Istihana hanya senyum sebelum dia keluar dari kantin. Dia melabuhkan duduknya di atas kerusi. Letih apabila terpaksa berkejaran kerana dia terlewat datang hari ini.

"Hai, berpeluh nampak," tegur kawan sekerjanya, Nivi.

Nivi kacukan India dan Cina. Muka macam orang India, tetapi berkulit putih serupa Cina. Jadinya, Nivi terlalu cantik, ibarat pelakon Tamil. Ada iras-iras Samantha Ruth Prabu.

"Hmm, berkejar-kejar, Nivi," ujarnya sambil senyum.

"Kenapa lambat hari ni? Kalau tidak, kau selalu datang awal?" tanya Nivi.

Istihana jongket bahu. Malas dia mahu bercerita kepada Nivi, meskipun Nivi tahu masalahnya. Nanti, harinya tak ceria pula. Asyik teringatkan apa yang berlaku pagi tadi. Nak datang kerja pun kena bebel dahulu. Padahal dia tak ada buat salah apa pun.

"KAU tak mahu balik ke?" tanya Nivi.

Hairan kerana Istihana masih menghadap komputer.

"Sikit lagi ni. Aku nak habiskan kira-kira barang ni. Esok bolehlah aku relaks sekejap," ujar Istihana.

JANGAN TAK BALAS CINTAKUWhere stories live. Discover now